Isnin, 4 September 2017

YA RABBI YA - 'CATCHY' YANG MENJADI

Dalam keadaan sempadan muzik semakin menipis dan menghilang, terlalu banyak elemen muzik yang aneh dan mengujakan menerobos masuk ke dalam negara seraya menentukan trend-trend terkini muzik di negara kita.

Sedangkan pada tahun 80-an dahulu pun kita dapat saksikan betapa elemen muzik dari luar sangat mempengaruhi industri muzik negara kita, inikan pula pasca tahun 2000. Tentulah jauh lebih besar dan hebat.

Melihat kepada situasi, saya kira pendekatan Kumpulan Inteam dalam penghasilan lagu berunsur ketuhanan dengan pendekatan muzik moden sangat kena pada tempatnya. Ya, kita tak akan dapat lari daripada cakap-cakap yang tidak habis membicarakan tentang elemen muzik yang dibenarkan di dalam agama. Namun, adalah jauh lebih teruk jika kita membiarkan anak-anak muda kita tersasar dengan muzik yang tidak berhala tuju dan mengarut. Tengoklah budak-budak Raver, nak ke mana joget sotong bangangnya itu ? Karut, bukan ?

Lagu Ya Rabbi Ya ini berentak moden, dan pada pandangan saya adalah juga diselitkan unsur-unsur hipster yang tidak keterlaluan dan juga tidak dinafikan, elemen 'rap' yang dilihat semakin banyak diterapkan ke dalam lagu-lagu bersifat ketuhanan. Ada yang menjadi, malah ada juga yang janggal sama sekali pada halwa telinga kita.



Sudah dengar ?

Apa macam ? 'Catchy' bukan ? Rasa nak bertepuk tangan pun ada.

Dua jempol saya angkat kepada pencipta lagu dan penulis liriknya. Malangnya di dalam video klip ini tidak dinyatakan siapa mereka itu.

Jauhlah lebih baik daripada anda mengulang-ulang bait lirik 'nak menunggu mati dek kerana putus cinta dengan seorang perempuan itu'. Sedang P.Ramlee dahulu pernah dikecam kerana meminta Tuhan untuk mencabut nyawanya di dalam lagu Kau Laksana Bulan, juga kerana kecewa dengan percintaannya, lalu kenapa kita perlu tertarik lagi sekali dengan lirik sebegitu.

Eloklah sekiranya kita sesekali atau banyak kali mendengar lagu sebegini yang boleh membangkitkan semangat hidup kita untuk ke arah yang lebih baik.

Mungkin juga, para penyanyinya sendiri mendapat semangat hidup kita untuk menempuh industri muzik Malaysia yang penuh dengan liku dan cabarannya, kan ?

Tiada ulasan: