Sabtu, 9 Mei 2026

BABI

Kalau sayalah.

Ini kalau sayalah.

Saya pun tahu kekuatan saya bukan pada majoriti, dan saya pula tinggal di sebuah negeri yang beraja Melayu dan demografi penduduk negeri itu masih majoritinya dipegang oleh bangsa Melayu. Oleh itu, kenapa saya nak ambil risiko membuatkan majoriti membenci saya sesungguh hati ? Bukankah politik itu cerita tentang ambil hati dan meraih sokongan? Kalau nak bermusuh, musuhnya adalah dari kalangan ahli politik sendiri, bukan dari kalangan pengundi. Mengapa mencari musuh dengan para pengundi ?

Ekonomi ?

Alahai, kita semua bukan bodohlah nak percaya kenyataan bahawa ia semata-mata potensi ekonomi yang kononnya bakal merugikan hasil negeri sekiranya dibatalkan. Mengapa tak mengambil peluang dalam industri makanan halal ? Ini lebih menguntungkan. Sijil halal tu kalau kau dah dapat, kau dah berjaya membuka potensi kehadiran para pembeli daripada kalangan majoriti. Tengok sajalah bangsa kau yang berjualan di medsos itu. Dengan berbahasa Melayu, mereka telah membuka peluang niaga yang jauh lebih besar sasaran pembelinya. Bahasa Melayu adalah bahasa duit kalau kau gunakan dengan betul di dalam negara ini. Kenapa nak menafikan hakikat ini? Kau mencipta ekosistem perniagaan sesama kau sahaja konon nak pegang tengkuk ekonomi negara, namun kau tetap perlu bergantung kepada kuasa pembeli dari kalangan majoriti. Majoriti tetap majoriti, itu hal yang tidak boleh dinafikan sama sekali.

Darihal ceritera babi ini. Sultan Selangor telah mengeluarkan 'ultimatum' kepada pentadbir kerajaan negeri supaya yang dikatakan cukup itu bererti cukuplah. Baginda sultan tak akan membenarkan perniagaan seperti itu beroperasi di negerinya. Daripada kau beria-ia menggunakan politikus untuk membantah dan dilihat kurang ajar di mata orang-orang Melayu, mengapa tidak kau mengambil jalan berwibawa dengan menunjukkan bahawa sebenarnya kau ni 'baik jugalah' dengan 'mentaati' perintah sultan. Adakah engkau semua dah terlalu sombong untuk melihat beberapa lapis kesan dan akibat daripada perbuatan engkau sendiri ? Apa yang kau takutkan dengan sebuah 'ketaatan' ? Tak biasa dengar perkataan 'taat' ke ? 

Sebenarnya perihal menghormati titah sultan ni, ada peribahasa Melayu yang engkau boleh pakai iaitu 'ibarat tarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak'. Orang Melayu ni pemikiran dia sebenarnya mudah saja - jangan buat perkara yang dilihat mencabar maruah orang Melayu dan jangan memperlekehkan agama Islam. Dua perkara ni kau berhati-hati, orang boleh anggap kau OK jugalah. Setakat ini, tak ada satu pun dari kalangan politikus kau yang menegur sesama sendiri supaya jangan melampaui batas. Kerana batas yang telah dilanggar akan memberi kesan kepada jangka masa kekuasaan engkau. Peduli apa dengan status ekonomi, 'ranking' dan pandangan orang luar terhadap potensi negara di bawah pentadbiran engkau. Asalkan batas itu telah dirempuh, maka itu boleh mengundang bahaya kepada 'survival' politik engkau. Dan masalahnya ialah, mereka yang berfikiran begini adalah MAJORITI, bukan minoriti. 

Orang Melayu pernah buang UMNO, jadi apa yang menghalang mereka daripada membuang engkau orang semua ? Hanya dengan alasan 'di bawah pentadbiran kami, Malaysia jauh lebih baik'? Mereka akan mempersetankan kesemuanya. Dan isu babi inilah salah satu daripadanya.

BABI

Kalau sayalah. Ini kalau sayalah. Saya pun tahu kekuatan saya bukan pada majoriti, dan saya pula tinggal di sebuah negeri yang beraja Melayu...