Satu ketika dahulu, kalau saya bertandang, saya berhajat untuk bertemu dengan Faisal Tehrani (Tuhan telahpun beberapa kali mengkabulkan hajat saya ini). Sekarang, saya lebih selesa mengambil rasa rambang sahaja, kerana dengan rasa sebegitu, saya lebih teruja dan tidak menjangkakan apa-apa atau sesiapa. Ada masa dan ketikanya, saya akan bertemu dengan beberapa penulis yang saya tidak jangkakan mereka akan ada di situ (sama ada sebagai pengunjung mahupun sedang mempromosi buku mereka). Ada ketikanya, saya bertemu selebriti terkenal yang turut mengambil peluang berjualan di situ (Contohnya Datuk Imuda yang pasti saya beli baju yang tercetak lukisannya setiap kali singgah di reruainya) atau sama-sama terlibat dalam sesi bertemu ramah dengan peminat (saya sempat berjumpa dengan Sabri Yunus dan menyampaikan rasa kekaguman pada upaya kreatifnya). Tak ketinggalan juga, figur-figur agama yang berada di reruai buku-buku islamik di samping mereka turut menyampaikan pesan-pesan kepada para pengunjung. Saya berkesempatan bertemu dengan Dr. Zulkifli (terkenal dengan Bayan Linnas) dan meminta beliau untuk mendoakan saya agar diringankan dari bebanan hutang.
Di pesta ini juga, ada buku-buku yang dahulunya sangat mahal tetapi dijual murah pula oleh penerbitnya kerana hendak menghabiskan stok buku yang tidak terjual pada tahun lepas. Biasanya, buku-buku ini amat berharga tetapi tidak begitu mendapat sambutan kerana harganya yang mahal. ITBM adalah antara penerbit yang kerap berbuat begini dalam tahun-tahun terkini penganjuran PBAKL ini. Ada juga penerbit-penerbit muda yang semakin mendapat tempat di hati penggemar buku kerana aktifnya mereka menerbitkan bahan bacaan dan promosi yang cukup kuat di medsos. Contohnya The Patriots.
PBAKL juga bagi saya bukan sekadar pesta itu, tetapi suasana sepanjang perjalanan menuju ke pesta tersebut. Sebelum ini, saya memandu kereta ke PWTC dan sering menghadapi masalah untuk mencari tempat letak kereta. Tetapi, dengan sedikit pencarian maklumat pergerakan kenderaan ke PWTC, saya memilih untuk menggunakan pengangkutan awam bersama-sama keluarga saya, dan secara jujurnya, ia lebih mengujakan meskipun kesesakan pengguna itu boleh dijangkakan.
Saya berharap PBAKL ini kekal di PWTC, kerana di situlah auranya teguh dan kukuh. Dan dengan izin Tuhan, saya akan ke sini, tidak lama lagi. Insya Allah...

Tiada ulasan:
Catat Ulasan