Rabu, 5 Ogos 2020

PURA-PURA MENCARI ISTERI

Kes pembunuhan adalah 'biasa'. Di mana-mana pun ada kes pembunuhan. Apa yang menjadikan ia luar biasa ialah pelakunya semakin ramai dari kalangan yang bukan 'biasa membuat jenayah.' Contohnya kes yang terbaru ini:


SHAH ALAM - Seorang lelaki direman bermula Jumaat sehingga 6 Ogos ini bagi membantu siasatan berkaitan kes pembunuhan isterinya di dalam sebuah kereta di Taman Mas Putra Perdana, Rabu lalu.

Kejadian dikatakan berlaku selepas suspek marah kerana isterinya mahu memfailkan penceraian mereka.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, suspek berusia 41 tahun dipercayai menjerut leher isterinya dengan menggunakan tudung yang dipakai mangsa sehingga mati di dalam kereta jenis Perodua Myvi berwarna putih

"Suspek kemudian membawa isterinya berusia 40 tahun itu dengan kenderaan tersebut menghala ke Tasik PKNS, Pinggiran Cyberjaya kira-kira jam 4.30 petang.

"Lelaki itu meletakkan mayat isterinya di tempat duduk pemandu dan mengambil dompet serta telefon mangsa sebelum meninggalkannya dalam keadaan enjin dihidupkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun katanya, lelaki berkenaan bersama anak perempuannya yang berusia 14 tahun keluar menaiki Grab dan pergi semula ke lokasi terbabit pada Khamis jam 1.23 pagi sebelum menghubungi polis.

Menurutnya, pemeriksaan polis di lokasi kejadian mendapati tiada sebarang kecederaan pada badan mangsa melainkan telefon bimbit dan beg duit telah tiada, tetapi gelang emas masih berada di pergelangan tangan kiri.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan hasilnya mendapati punca kematian adalah 'compression of neck'," katanya.

Beliau berkata, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang telah menahan lelaki tersebut di pekarangan Hospital Serdang pada jam 12.30 tengah hari.

"Suspek telah menunjukkan tempat barang milik isterinya yang telah dibuang di hadapan Masjid Putra Perdana dan sehelai baju kemeja batik berwarna hitam," katanya.

Tambahnya, suspek juga menunjukkan tempat dia membuang telefon bimbit jenis Samsung milik mangsa di dalam tasik di Taman Putra Perdana namun polis tidak menemuinya.

"Suspek juga mengaku telah memecahkan telefon tersebut menggunakan seketul batu untuk merosakkan telefon itu sebelum membuangnya ke dalam tasik," katanya.

Beliau berkata, pasangan itu telah berkahwin pada 2005 dan dikurniakan seorang anak perempuan.

Menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. [1]


Perhatikan langkah-langkah menghapuskan bukti yang diambil oleh lelaki itu. Seram juga kita memikirkannya. 

Bayangkan.

Kita mungkin terlalu marah. Dek kerana marah, kita terlajak perbuatan sehingga menyebabkan kematian ahli KELUARGA kita sendiri. Sudahlah keluarga, ISTERI kita pula. Ketakutan dan rasa panik pasti datang.

Namun, tindakan yang diambil oleh lelaki itu bukanlah menyerah diri dan mengaku akan perbuatannya, sebaliknya dia merancang untuk memanipulasi keadaan dan mencipta 'kes' lain pula.

Mungkin kita boleh katakan, lelaki ini penuh dengan dendam dan benci kepada isterinya. Perbuatannya menjerut leher isteri itu bukan di luar kawalan, sebaliknya memang niatnya untuk membunuh. 

Tetapi, betulkan begitu ?

Saya pernah menonton sebuah filem berjudul INSOMNIA arahan Christopher Nolan. Ya, Christopher Nolan pernah mengarah filem bersifat 'biasa-biasa' namun mencengkam dan menghantui. 

Dalam filem itu, ada babak polis memeriksa mayat mangsa bunuh dan menyimpulkan bahawa di pelaku di luar kawalan, namun apabila tersedar dari perbuatannya yang telah menyebabkan kematian, secara perlahan-lahan si pelaku iaitu Robin William (ya, kau ingat Robin William tahu main watak komedi saja ?) memanipulasi tubuh mayat untuk mengelirukan polis.

Pasukan mencari bahan bukti yang dibuang ke dalam tasik


Saya kira perbuatan lelaki itu sama seperti Robin William.

Mungkin bukan kerana dendam.

Mungkin bukan kerana benci.

Hanya terlajak perbuatan yang memusnahkan segala-galanya.

Pada zaman ini, kita amat risau akan stres dan penyakit mental yang semakin meningkat dalam kalangan masyarakat. 

Stres di tempat kerja.

Stres di rumah.

Stres di jalanraya.

Stres dengan status kewangan.

Kesemuanya ini membentuk ketidakstabilan emosi.

Dan ketidakstabilan emosi boleh membangkitkan sisi gelap manusia. 

Mereka cenderung untuk melakukan sesuatu yang di luar batasan undang-undang dan hanya menyedarinya sebagai satu kesalahan setelah datang semula kewarasan akal. Ketika itu, segala-galanya sudah terlambat...

Kita kena mencari penawar bagi penyakit mental yang sedang kita hadapi sekarang. Mungkin kita semua hanya menanti masa untuk sesuatu yang sangat berat menghempap diri kita, dan kita tidak sengaja melakukan sesuatu yang akan membuatkan kita sesal selama-lamanya.

Moga-moga Tuhan menjauhkan.

Semoga Tuhan mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarhamah... 

Sumber :