Selasa, 24 Ogos 2021

PENJAWAT AWAM MENOLAK VAKSIN

  • Baru-baru ini, heboh kisah mengenai 779 guru di Johor yang menolak suntikan vaksin. 
  • Perkara ini sedikit-sebanyak memberi gambaran negatif terhadap penjawat awam yang terpengaruh dengan dakyah anti-vaksin.
  • Saya kira tentu kerajaan berada di dalam dilema sama ada ingin mewajibkan suntikan vaksin ke atas penjawat awam ataupun tidak.
  • Sebelum ini, kerajaan secara jelas menyatakan pengambilan vaksin adalah hak individu. Ertinya, kita boleh untuk tidak mengambil vaksin.
  • Tetapi, pendirian sebegitu tentulah akan melambatkan proses imuniti berkelompok yang diharap-harapkan dapat dicapai sekitar bulan Oktober.
  • Kita fahamlah kaedah itu - tak mengapa kalau ada sekumpulan manusia di Malaysia ini yang menolak vaksin seandainya imuniti berkelompok tetap dapat dicapai. 
  • Cuma, kelompok itu juga saya kira ada pembahagiannya. Kelompok perkhidmatan awam adalah sangat kritikal dan mereka memerlukan perlindungan yang paling maksimum daripada jangkitan Covid-19 ini. Bayangkan satu bangunan kerajaan perlu ditutup daripada beroperasi dek kerana jangkitan tersebut, dan segala urusan tergendala. Bukankah susah ? Lebih teruk lagi, dalam bangunan tersebut ada geng menolak vaksin tegar. Apa jadi kalau mereka dijangkiti dan mendapat simptom yang teruk ? Pulak tu, dialah orang yang sangat penting di dalam satu-satu unit tersebut ? Adakah perkara seperti ini difikirkan atau diambilkira ?
  • Sebab itulah salah seorang anggota TDM tempoh hari ditamatkan daripada perkhidmatan kerana tidak ahu divaksin, sedangkan anggota TDM wajib divaksin. 
  • Kita perlu tengok dan renung semula perkara yang sering kita sebut sebagai hak asasi itu. Dalam keadaan pandemik berleluasa, ada beberapa perkara yang melibatkan kepentingan satu-dua pihak perlu diketepikan dan kepentingan masyarakat wajib diutamakan.
  • Saya harap kerajaan tidak beri muka terhadap mereka yang membahayakan keselamatan umum seperti ini. Teruskan saja syarat-syarat wajib vaksin untuk hidup bermasyarakat semula. 
  • Dia pandai menolak kepakaran orang kan ? Dah tentulah dia tak punya masalah untuk hidup cara dia.
  • Cuma, jangan terlampau kurang ajar dan sanggup menipu dengan memalsukan sijil vaksin pula. Apa sial kau orang semua tak mahu vaksin tapi menipu sijil vaksin ? Bukankah itu perbuatan sebangang-bangang manusia ?

Khamis, 19 Ogos 2021

DITAKLUKI COVID-19 - PENGALAMAN YANG TAK TERLUPAKAN (BAHAGIAN AKHIR)

13 OGOS 2021

Di dalam lampiran dokumen yang diserahkan kepada saya, terdapat beberapa tarikh yang telah ditetapkan untuk saya ikuti prosedurnya. Dan pada tarikh ini, saya diarahkan untuk ke CAC Bukit Indah semula untuk proses potong gelang. Manakala anak dan isteri saya pula akan menjalani ujian calitan kedua. Kali ini, ujian yang akan mereka ambil ialah RTK-AG. Seperti yang saya maklumkan sebelum ini, keputusan RTK-AG sekejap saja. Sebelum itu, keputusan ujian calitan pertama iaitu PCR Test telahpun dikemaskini di dalam aplikasi MySejahtera milik isteri saya. Disebabkan saya memasukkan nama mereka berdua di dalam senarai tanggungan, maka saya juga boleh melihat keputusan ujian itu di dalam aplikasi saya. 

Alhamdulillah. Kedua-duanya negatif. Justeru, ujian kedua ini diperlukan untuk 'double confirm'. Lalu berangkatlah saya sekeluarga ke CAC sekali lagi. Memandangkan saya sudah tahu kelebihan yang akan saya peroleh iaitu pemeriksaan secara pandu lalu, saya terus meletakkan kereta sementara di barisan kereta yang telahpun memanjang. Mereka semua juga mempunyai kelebihan yang sama. Saya turun dari kereta seorang diri dan bergegas ke lokasi pengambilan nombor giliran. Seperti biasa, orang masih dengan perangai yang sama iaitu berkerumun tidak ketahuan punca. Tak ubah macam semut menghurung air gula.

Saya berbaris di dalam barisan nombor khas untuk warga emas dan ibu mengandung. Setelah menyemak temujanji yang didaftar secara 'online', saya mendapatkan 3 nombor dan terus berpatah balik ke kereta. Berbaris untuk mengambil nombor sudah mengambil masa hampir setengah jam dan saya terpaksa mengharungi barisan kereta yang telah mula panjang daripada tadi.

Satu hal sedikit menjengkelkan saya ialah pengumuman yang dibuat oleh petugas kesihatan di mana ia ditujukan kepada pengunjung yang mahu memotong gelang. Kesemua pengunjung tersebut harus pergi ke Dewan Tun Dr. Ismail yang terletak bersebelahan dengan KPJ Jalan Abdul Samad. Hal ini kerana proses pemotongan gelang telah dipindahkan operasinya di sana. Bayangkan begitu ramai pengunjung yang telah bersusah-payah mencari parkir, akhirnya perlu beredar dari situ dan pergi ke lokasi lain yang jelas jauh daripada CAC tersebut. 

Selesai mendaftar dan imbas kod itu-ini, saya diarahkan ke khemah 7 untuk anak dan isteri saya jalani ujian calitan kedua. Kami boleh memilih untuk tunggu sebentar bagi mendapatkan keputusan atau pulang sahaja kerana mereka tetap akan menghubungi kita untuk memberitahu keputusan ujian tersebut. Jadi, saya memilih untuk pulang sahaja kerana dalam keserabutan begitu, keputusan yang dijangkakan sekejap itu tetap akan mengambil masa kerana ramai orang lain yang turut mengambil ujian calitan kedua.

Kemudian kami terus ke khemah terakhir di mana ia sepatutnya khemah potong gelang. Sebaliknya, hanya pemasangan gelang sahaja dibuat di situ. Seperti yang saya katakan sebelum ini, pemotongan gelang akan dibuat di lokasi lain. Setelah menyemak beberapa dokumen kami, petugas di khemah tersebut mengarahkan kami pulang sahaja dan saya yang sepatutnya potong gelang hari ini, tangguhkan sahaja ke hari di mana anak isteri saya akan potong gelang, iaitu pada 15 Ogos 2021.

Saya ikutkan saja...

15 OGOS 2021

Dewan Tun Dr. Ismail terletak bersebelahan dengan KPJ Jalan Abdul Samad. Terdapat juga beberapa buah sekolah di situ. Saya kira, kalau budak-budak masih bersekolah, pastilah sesak kawasan tersebut jika hendak dijadikan lokasi pemotongan gelang KKM. Mujurlah PdPR masih berjalan. 

Hari semalam, anak dan isteri saya telah dimaklumkan tentang keputusan ujian calitan kedua mereka, dan kedua-dua mereka adalah negatif. Alhamdulillah. Beban jiwa kami terangkat sedikit dan kami lebih tenang berbanding hari-hari sebelumnya. 

Keesokan hari, kami akan potong gelang. Hari yang ditunggu-tunggu.

******************

Sekitar 6.30 pagi saya telah bergerak ke sana, dan sampai sekitar jam 7 pagi. Seawal itu juga, saya perhatikan satu barisan yang panjang telah terbentuk. Wah, pukul berapa orang-orang ini bergerak dari rumah ?

Saya memerhatikan dengan risau sekiranya tidak ada laluan khas untuk ibu mengandung. Ya, nampaknya tidak ada. Saya bertanya kepada seorang petugas di situ yang turut pening memikirkan keadaan saya kerana keluarga saya terbahagi kepada dua kategori di mana saya kategori positif manakala anak dan isteri saya kategori negatif. Kedua-dua kategori ini berbaris di laluan yang berbeza dengan prosedur yang juga berbeza.

Akhirnya, saya ambil keputusan untuk selesaikan urusan saya dahulu kerana menurut petugas tersebut, kategori positif jauh lebih lama masa yang diambil kerana ia melibatkan pemeriksaan oleh doktor, manakala kategori negatif tidak perlu berbuat begitu.

Saya pun mengambil tempat di dalam barisan positif yang sudahpun panjang sementara anak isteri saya menunggu di dalam kereta. Aii... seperti di CAC, saya dapati pengurusan pengunjung juga tidak begitu baik kerana laluan barisan kami bersimpang siur tanpa panduan yang jelas. Dan yang lebih merisaukan saya, saya dapati barisan positif sangat panjang berbanding negatif, dan ramai pula anak-anak kecil yang terlibat sama. Apa nak jadi kalau positif lebih ramai dari negatif ?

Beberapa ketika kemudian, seorang petugas lengkap dengan pakaian PPE mengutip surat kuarantin daripada kami semua, dan surat saya telah ditulis dengan nombor giliran yang akan dipanggil. Dari 7.30 sehingga 9.00 pagi saya berdiri di bawah terik mentari pagi yang memedihkan mata. Ada yang sudah tidak peduli, langsung duduk sahaja di atas jalan tar yang kotor itu. ruang untuk duduk diisi beransur-ansur dan keutamaan diberikan kepada warga emas dan berkerusi roda dahulu. Saya dapati pada ketika itu, tidak ada pula orang mengandung yang positif. Mujurlah. Cuma saya kasihankan dengan budak-budak yang tidak tahu apa-apa. Mereka positif, tetapi nampaknya seperti tidak bergejala. Mereka bermain-main seolah-olah tak ada apa-apa bahaya sedang menanti mereka. Ibu bapa mereka bersusah-payah mengatur anak masing-masing supaya tertib dan sopan di tengah keramaian manusia.

Sekitar jam 9.30, saya akhirnya dapat duduk sebelum dipanggil oleh petugas yang memeriksa surat dan borang pelepasan kuarantin yang perlu diisi ketika menunggu itu. Apabila giliran saya tiba, seperti biasa mereka memeriksa tahap kepekatan oksigen dengan oximeter dan tekanan darah saya. Mereka juga membuat saringan dengan bertanyakan soalan-soalan biasa iaitu simptom-simptom Covid-19 yang mungkin sedang kita alami. 

Saya nyatakan tidak ada, dan saya terus diajukan ke meja pemotongan gelang. Urusan saya selesai apabila gelang saya dipotong dan saya dinasihati untuk tidak terus bersenang-lenang di luar sebaliknya digalakkan kuarantin kendiri untuk beberapa hari bagi memantau sebarang simptom yang mungkin timbul selepas hari ini.

Tibalah pula urusan untuk anak dan isteri saya. Saya menuju ke bahagian kaunter pemotongan gelang bagi kategori negatif. Oh ya, borang pemotongan gelang mereka namakan sebagai Annex-17. Saya daftarkan nama mereka berdua dan terus bertanya tentang keadaan isteri saya sama ada perlu keluar dari kereta atau ada kemudahan lain. Mujurlah petugas tersebut menyatakan yang mereka boleh ke kereta untuk memotong gelang isteri saya. Alhamdulillah.


Saya mengambil borang Annex-17 itu dan terus masuk ke dalam dewan. Tidak begitu ramai orang berbanding yang positif. Lebih mengerikan, saya lihat barisan positif sudah sampai ke pintu pagar utama. Kalau saya boleh andaikan mungkin hampir seratus lebih manusia yang sedang beratur itu, dan mereka semua adalah POSITIF.

Urusan semakan dan pengesahan borang anak isteri saya berjalan lancar dan seorang petugas mengikut saya untuk ke kereta dan memotong gelang isteri dan anak saya. 

Segala-galanya selesai. Seterusnya adalah ikhtiar kami 100% untuk menjaga diri dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan. Aplikasi MySejahtera saya juga menunjukkan yang saya telah selesai menjalani kuarantin dan status saya kembali kepada low-risk, no symptom berbanding confirmed case, Cat 1 sebelum ini.

Pengalaman ini hakikatnya sangat mengerikan, sekaligus memenatkan. Saya kira tak ada ruginya kalau kita sentiasa berjaga-jaga berbanding berlagak macam bagus dan lebih pandai dari orang lain, termasuklah mempercayai teori-teori karut tentang vaksin. Saya bersyukur kerana lebih awal sebelum itu, saya telahpun mengambil suntikan pertama vaksin saya. Mungkin sedikit sebanyak ia membantu saya daripada terkena simptom-simtpm yang berbahaya itu. Alhamdulillah.

Kepada anda yang secara tiba-tiba disahkan kontak rapat ataupun positif, harapnya sedikit sebanyak penceritaan saya ini dapat memberi gambaran kasar tentang langkah-langkah yang boleh anda ambil. Kalau anda bekerja, pastikan pengurusan sumber manusia pejabat anda ambil maklum tentang perkara ini kerana mungkin anda akan diberikan cuti kuarantin dan dokumen-dokumen tertentu perlu disemak oleh mereka.

Wallahua'lam.

Rabu, 18 Ogos 2021

DITAKLUKI COVID-19 - PENGALAMAN YANG TAK TERLUPAKAN (BAHAGIAN 3)

 7 - 12 OGOS 2021

Duduk di rumah itu adalah hal yang menyenangkan. Namun, apabila ia ditambah dengan satu lagi istilah - kuarantin, ia menjadi sangat berbeza, dan sangat melelahkan.

Leceh, dan payah.

Adat yang namanya manusia, makin ditahan makin berontak jiwa hendak melepaskan diri. Itulah yang berlaku kepada mereka yang diarahkan untuk menjalani kaurantin kendiri di rumah. Mereka yang diarahkan berbuat demikian adalah mereka yang berstatus kontak rapat ataupun positif namun tidak bergejala nyata atau terlalu teruk, termasuklah diri saya ini. Penghujungnya, ramai yang 'tewas' dan memilih untuk menipu kerajaan sekaligus menipu rakyat Malaysia yang tidak tahu mereka telahpun dipakaikan gelang merah jambu yang amat berkuasa itu. 

Kenapa saya katakan berkuasa ? Kerana jika kita berbuat sesuatu dengan niat untuk menjahanamkan gelang itu, kita boleh didenda dan dipenjara. Nah, itulah kuasa gelang tersebut di era pandemik dalam negara kita ini. Mereka yang cenderung untuk melanggar perintah kuarantin tersebut bukanlah mereka yang benar-benar susah pun, sebaliknya ramai dari kalangan mereka itu adalah yang degil, bodoh dan kurang ajar. Itu sahaja.

Kenapa mereka degil ? Kerana mereka fikir gelang itu tidak membawa sebarang erti kepada mereka, sekalipun mereka positif Covid-19. 

Kenapa mereka bodoh ? Kerana mereka lupa bahawa mereka bakal membahayakan nyawa dan kehidupan orang lain.

Kenapa mereka kurang ajar ? Kerana mereka tidak menghormati undang-undang dan kemaslahatan awam.

Saya sekeluarga menjalani hari pertama kuarantin dengan aman tanpa sebarang isu yang ketara melainkan sedikit pening kepala untuk mendapatkan makan dan minum. Isteri saya sebegitu sarat, justeru kerja memasak menjadi payah baginya, dan keadaan saya yang positif pula membuatkan isteri saya menjadi takut untuk makan masakan saya. Aduhai betapa hinanya orang positif virus ni ya. Tapi tak apalah, lebih baik menyesal sekarang daripada menyesal kemudian hari.

DITAKLUKI COVID-19 - PENGALAMAN YANG TAK TERLUPAKAN (BAHAGIAN DUA)

 6 OGOS 2021

Tidur yang tidak tenang itu membuatkan saya lebih mudah untuk bangun awal pagi. Beberapa penceritaan yang telah disampaikan oleh rakan-rakan dan saudara-mara yang telahpun berkunjung ke Covid Assessment Center membuktikan satu hakikat bahawa ia sentiasa sesak dengan kenderaan dan manusia. Oleh itu, untuk memastikan bahawa saya sekeluarga tidak terperangkap bersama-sama mereka yang lewat, seawal 6.30 pagi saya bersama-sama anak dan isteri telah ke CAC Bukit Indah. Ah, itu tidak terlalu awal. Ada yang berkongsi keadaan di CAC Pasir Gudang di mana seawal 4 pagi, kereta telahpun berbaris panjang kerana mereka boleh memilih untuk pemeriksaan pandu-lalu.

Sebelum sampai ke CAC, saya singgah seketika di stesen minyak untuk membeli bekal makanan kerana pada hemat saya, hal ini pasti berlanjutan hingga ke tengah hari dan kami semua masih belum sarapan. Tanpa sarapan, sesiapa pun akui hidupnya sehari-hari itu akan menjadi teramat 'miserable'. 

Jam 7.00 pagi, kami tiba di CAC. Lengang dan kenderaan belum berpusu-pusu memasuki perkarangan parkirnya. Pun begitu, sekumpulan pengunjung telahpun berada di khemah saringan yang terletak di luar kawasan dewan. Ya, CAC itu terletak di kawasan Dewan Raya Taman Bukit Indah. Saya sekeluarga keluar dari kereta dan segera menuju ke lokasi saringan tersebut yang terdiri daripada binaan khemah sementara yang sederhana besar. Ia terbahagi kepada dua bahagian di mana salah satunya dengan jelas tertulis: KES POSITIF COVID BARU. Jadi saya pun duduklah di situ. Isteri dan anak saya juga tidak punya pilihan melainkan duduk juga di situ memandangkan bahagian yang satu lagi tidak diketahui untuk kategori apa.

Sumber foto: https://www.facebook.com/CRJDT/photos/pcb.790210308239870/790210278239873/
CAC Bukit Indah (Sumber: https://www.facebook.com/CRJDT/photos/pcb.790210308239870/790210278239873/)

Perasaan kami gundah-gulana kerana di sekeliling kami, ramai pengunjung yang secara nyata menunjukkan simptom Covid-19 dan malangnya, penjarakan langsung tidak ada dan tidak ada pula petugas ketika itu kerana waktu operasi CAC belum bermula. Isteri saya duduk mengeras macam batu kerana tidak mahu sebarang kontak dengan pengunjung lain. Lebih merisaukan dirinya, hari semalam dia dan anak saya telahpun saya bawa untuk ujian RTK-AG. Kalau sudah sebegitu rapat dan di rumah pula, saya kira RTK-AG memadai untuk mengetahui sama ada isteri dan anak saya telah dijangkiti ataupun tidak. Alhamdulillah keputusannya negatif. Dan keadaan di CAC yang sedang kami hadapi ini pasti mendatangkan kemungkinan untuk ia bertukar positif pula.

Selasa, 17 Ogos 2021

DITAKLUKI COVID-19 - PENGALAMAN YANG TAK TERLUPAKAN (BAHAGIAN SATU)

4 OGOS 2021

Saya baru usai mengerjakan solat Isyak ketika pegawai penyelia di jabatan saya menghubungi saya melalui Whatsapp pada malam 3 Ogos 2021 dan menyampaikan khabar yang kurang baik - seorang pegawai lain di unit saya telah dijangkiti COVID-19. Keputusan ujian calitannya yang positif itu membuatkan saya tersentak. Dahi saya bersimbah peluh kerisauan. Kerana apa, kawan ? Kerana siang tadi saya masuk ke pejabat bersama-sama dengannya.

Sebelum itu, kumpulan 'Whatsapp' kami telahpun gegak-gempita apabila dimaklumkan bahawa pegawai tersebut adalah merupakan kontak rapat dengan salah seorang ahli keluarganya yang positif COVID-19. Cuma pada diri beliau sahaja tidak diketahui sama ada positif atau tidak, sehinggalah keputusan ujiannya telah dimaklumkan pada malam tersebut.

Perkhabaran itu membuatkan saya membulatkan tekad untuk turut sama membuat ujian calitan pada keesokan harinya. Kalau saya masih bujang, hal ini semua tidaklah begitu mencemaskan. Apa yang menjadikan saya hilang arah seketika ialah kerana saya mempunyai seorang anak dan isteri yang sedang sarat mengandung. Aduhai... mengapa perkara ini boleh berlaku sedangkan selama setahun lebih saya sehabis daya berjaga-jaga, namun di pejabat juga akhirnya tempat saya dikategorikan sebagai kontak rapat? Betullah kata orang, kluster tempat kerja ini memang merumitkan. 

Keesokan harinya, saya segera mencari maklumat tentang klinik-klinik yang menawarkan khidmat ujian calitan dengan harga yang berpatutan. Almaklum, pertengahan bulan. Hendak menghabiskan ratusan ringgit untuk sebuah ujian calitan adalah sesuatu yang amat serius untuk dipertimbangkan. Hendak mengabaikan, rasa risau memenuhi dada. 

Hasil pencarian menemukan saya dengan sebuah klinik yang agak murah perkhidmatannya dan tidak begitu jauh dari rumah saya. Saya pun bergegas ke sana dengan motorsikal saya dan sesampai sahaja di sana, saya terus berurusan di kaunternya. Usai mendaftar, saya disuruh menunggu seketika di ruang sebelah klinik. Pada ketika ini, saya sekeluarga bersepakat untuk biarkan saya sahaja yang menjalani ujian calitan bagi menjimatkan sedikit perbelanjaan. Sekiranya posifit (minta dijauhkan), barulah anak dan isteri saya menyusul.