Khamis, 19 Ogos 2021

DITAKLUKI COVID-19 - PENGALAMAN YANG TAK TERLUPAKAN (BAHAGIAN AKHIR)

13 OGOS 2021

Di dalam lampiran dokumen yang diserahkan kepada saya, terdapat beberapa tarikh yang telah ditetapkan untuk saya ikuti prosedurnya. Dan pada tarikh ini, saya diarahkan untuk ke CAC Bukit Indah semula untuk proses potong gelang. Manakala anak dan isteri saya pula akan menjalani ujian calitan kedua. Kali ini, ujian yang akan mereka ambil ialah RTK-AG. Seperti yang saya maklumkan sebelum ini, keputusan RTK-AG sekejap saja. Sebelum itu, keputusan ujian calitan pertama iaitu PCR Test telahpun dikemaskini di dalam aplikasi MySejahtera milik isteri saya. Disebabkan saya memasukkan nama mereka berdua di dalam senarai tanggungan, maka saya juga boleh melihat keputusan ujian itu di dalam aplikasi saya. 

Alhamdulillah. Kedua-duanya negatif. Justeru, ujian kedua ini diperlukan untuk 'double confirm'. Lalu berangkatlah saya sekeluarga ke CAC sekali lagi. Memandangkan saya sudah tahu kelebihan yang akan saya peroleh iaitu pemeriksaan secara pandu lalu, saya terus meletakkan kereta sementara di barisan kereta yang telahpun memanjang. Mereka semua juga mempunyai kelebihan yang sama. Saya turun dari kereta seorang diri dan bergegas ke lokasi pengambilan nombor giliran. Seperti biasa, orang masih dengan perangai yang sama iaitu berkerumun tidak ketahuan punca. Tak ubah macam semut menghurung air gula.

Saya berbaris di dalam barisan nombor khas untuk warga emas dan ibu mengandung. Setelah menyemak temujanji yang didaftar secara 'online', saya mendapatkan 3 nombor dan terus berpatah balik ke kereta. Berbaris untuk mengambil nombor sudah mengambil masa hampir setengah jam dan saya terpaksa mengharungi barisan kereta yang telah mula panjang daripada tadi.

Satu hal sedikit menjengkelkan saya ialah pengumuman yang dibuat oleh petugas kesihatan di mana ia ditujukan kepada pengunjung yang mahu memotong gelang. Kesemua pengunjung tersebut harus pergi ke Dewan Tun Dr. Ismail yang terletak bersebelahan dengan KPJ Jalan Abdul Samad. Hal ini kerana proses pemotongan gelang telah dipindahkan operasinya di sana. Bayangkan begitu ramai pengunjung yang telah bersusah-payah mencari parkir, akhirnya perlu beredar dari situ dan pergi ke lokasi lain yang jelas jauh daripada CAC tersebut. 

Selesai mendaftar dan imbas kod itu-ini, saya diarahkan ke khemah 7 untuk anak dan isteri saya jalani ujian calitan kedua. Kami boleh memilih untuk tunggu sebentar bagi mendapatkan keputusan atau pulang sahaja kerana mereka tetap akan menghubungi kita untuk memberitahu keputusan ujian tersebut. Jadi, saya memilih untuk pulang sahaja kerana dalam keserabutan begitu, keputusan yang dijangkakan sekejap itu tetap akan mengambil masa kerana ramai orang lain yang turut mengambil ujian calitan kedua.

Kemudian kami terus ke khemah terakhir di mana ia sepatutnya khemah potong gelang. Sebaliknya, hanya pemasangan gelang sahaja dibuat di situ. Seperti yang saya katakan sebelum ini, pemotongan gelang akan dibuat di lokasi lain. Setelah menyemak beberapa dokumen kami, petugas di khemah tersebut mengarahkan kami pulang sahaja dan saya yang sepatutnya potong gelang hari ini, tangguhkan sahaja ke hari di mana anak isteri saya akan potong gelang, iaitu pada 15 Ogos 2021.

Saya ikutkan saja...

15 OGOS 2021

Dewan Tun Dr. Ismail terletak bersebelahan dengan KPJ Jalan Abdul Samad. Terdapat juga beberapa buah sekolah di situ. Saya kira, kalau budak-budak masih bersekolah, pastilah sesak kawasan tersebut jika hendak dijadikan lokasi pemotongan gelang KKM. Mujurlah PdPR masih berjalan. 

Hari semalam, anak dan isteri saya telah dimaklumkan tentang keputusan ujian calitan kedua mereka, dan kedua-dua mereka adalah negatif. Alhamdulillah. Beban jiwa kami terangkat sedikit dan kami lebih tenang berbanding hari-hari sebelumnya. 

Keesokan hari, kami akan potong gelang. Hari yang ditunggu-tunggu.

******************

Sekitar 6.30 pagi saya telah bergerak ke sana, dan sampai sekitar jam 7 pagi. Seawal itu juga, saya perhatikan satu barisan yang panjang telah terbentuk. Wah, pukul berapa orang-orang ini bergerak dari rumah ?

Saya memerhatikan dengan risau sekiranya tidak ada laluan khas untuk ibu mengandung. Ya, nampaknya tidak ada. Saya bertanya kepada seorang petugas di situ yang turut pening memikirkan keadaan saya kerana keluarga saya terbahagi kepada dua kategori di mana saya kategori positif manakala anak dan isteri saya kategori negatif. Kedua-dua kategori ini berbaris di laluan yang berbeza dengan prosedur yang juga berbeza.

Akhirnya, saya ambil keputusan untuk selesaikan urusan saya dahulu kerana menurut petugas tersebut, kategori positif jauh lebih lama masa yang diambil kerana ia melibatkan pemeriksaan oleh doktor, manakala kategori negatif tidak perlu berbuat begitu.

Saya pun mengambil tempat di dalam barisan positif yang sudahpun panjang sementara anak isteri saya menunggu di dalam kereta. Aii... seperti di CAC, saya dapati pengurusan pengunjung juga tidak begitu baik kerana laluan barisan kami bersimpang siur tanpa panduan yang jelas. Dan yang lebih merisaukan saya, saya dapati barisan positif sangat panjang berbanding negatif, dan ramai pula anak-anak kecil yang terlibat sama. Apa nak jadi kalau positif lebih ramai dari negatif ?

Beberapa ketika kemudian, seorang petugas lengkap dengan pakaian PPE mengutip surat kuarantin daripada kami semua, dan surat saya telah ditulis dengan nombor giliran yang akan dipanggil. Dari 7.30 sehingga 9.00 pagi saya berdiri di bawah terik mentari pagi yang memedihkan mata. Ada yang sudah tidak peduli, langsung duduk sahaja di atas jalan tar yang kotor itu. ruang untuk duduk diisi beransur-ansur dan keutamaan diberikan kepada warga emas dan berkerusi roda dahulu. Saya dapati pada ketika itu, tidak ada pula orang mengandung yang positif. Mujurlah. Cuma saya kasihankan dengan budak-budak yang tidak tahu apa-apa. Mereka positif, tetapi nampaknya seperti tidak bergejala. Mereka bermain-main seolah-olah tak ada apa-apa bahaya sedang menanti mereka. Ibu bapa mereka bersusah-payah mengatur anak masing-masing supaya tertib dan sopan di tengah keramaian manusia.

Sekitar jam 9.30, saya akhirnya dapat duduk sebelum dipanggil oleh petugas yang memeriksa surat dan borang pelepasan kuarantin yang perlu diisi ketika menunggu itu. Apabila giliran saya tiba, seperti biasa mereka memeriksa tahap kepekatan oksigen dengan oximeter dan tekanan darah saya. Mereka juga membuat saringan dengan bertanyakan soalan-soalan biasa iaitu simptom-simptom Covid-19 yang mungkin sedang kita alami. 

Saya nyatakan tidak ada, dan saya terus diajukan ke meja pemotongan gelang. Urusan saya selesai apabila gelang saya dipotong dan saya dinasihati untuk tidak terus bersenang-lenang di luar sebaliknya digalakkan kuarantin kendiri untuk beberapa hari bagi memantau sebarang simptom yang mungkin timbul selepas hari ini.

Tibalah pula urusan untuk anak dan isteri saya. Saya menuju ke bahagian kaunter pemotongan gelang bagi kategori negatif. Oh ya, borang pemotongan gelang mereka namakan sebagai Annex-17. Saya daftarkan nama mereka berdua dan terus bertanya tentang keadaan isteri saya sama ada perlu keluar dari kereta atau ada kemudahan lain. Mujurlah petugas tersebut menyatakan yang mereka boleh ke kereta untuk memotong gelang isteri saya. Alhamdulillah.


Saya mengambil borang Annex-17 itu dan terus masuk ke dalam dewan. Tidak begitu ramai orang berbanding yang positif. Lebih mengerikan, saya lihat barisan positif sudah sampai ke pintu pagar utama. Kalau saya boleh andaikan mungkin hampir seratus lebih manusia yang sedang beratur itu, dan mereka semua adalah POSITIF.

Urusan semakan dan pengesahan borang anak isteri saya berjalan lancar dan seorang petugas mengikut saya untuk ke kereta dan memotong gelang isteri dan anak saya. 

Segala-galanya selesai. Seterusnya adalah ikhtiar kami 100% untuk menjaga diri dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan. Aplikasi MySejahtera saya juga menunjukkan yang saya telah selesai menjalani kuarantin dan status saya kembali kepada low-risk, no symptom berbanding confirmed case, Cat 1 sebelum ini.

Pengalaman ini hakikatnya sangat mengerikan, sekaligus memenatkan. Saya kira tak ada ruginya kalau kita sentiasa berjaga-jaga berbanding berlagak macam bagus dan lebih pandai dari orang lain, termasuklah mempercayai teori-teori karut tentang vaksin. Saya bersyukur kerana lebih awal sebelum itu, saya telahpun mengambil suntikan pertama vaksin saya. Mungkin sedikit sebanyak ia membantu saya daripada terkena simptom-simtpm yang berbahaya itu. Alhamdulillah.

Kepada anda yang secara tiba-tiba disahkan kontak rapat ataupun positif, harapnya sedikit sebanyak penceritaan saya ini dapat memberi gambaran kasar tentang langkah-langkah yang boleh anda ambil. Kalau anda bekerja, pastikan pengurusan sumber manusia pejabat anda ambil maklum tentang perkara ini kerana mungkin anda akan diberikan cuti kuarantin dan dokumen-dokumen tertentu perlu disemak oleh mereka.

Wallahua'lam.

Tiada ulasan: