Selasa, 17 Ogos 2021

DITAKLUKI COVID-19 - PENGALAMAN YANG TAK TERLUPAKAN (BAHAGIAN SATU)

4 OGOS 2021

Saya baru usai mengerjakan solat Isyak ketika pegawai penyelia di jabatan saya menghubungi saya melalui Whatsapp pada malam 3 Ogos 2021 dan menyampaikan khabar yang kurang baik - seorang pegawai lain di unit saya telah dijangkiti COVID-19. Keputusan ujian calitannya yang positif itu membuatkan saya tersentak. Dahi saya bersimbah peluh kerisauan. Kerana apa, kawan ? Kerana siang tadi saya masuk ke pejabat bersama-sama dengannya.

Sebelum itu, kumpulan 'Whatsapp' kami telahpun gegak-gempita apabila dimaklumkan bahawa pegawai tersebut adalah merupakan kontak rapat dengan salah seorang ahli keluarganya yang positif COVID-19. Cuma pada diri beliau sahaja tidak diketahui sama ada positif atau tidak, sehinggalah keputusan ujiannya telah dimaklumkan pada malam tersebut.

Perkhabaran itu membuatkan saya membulatkan tekad untuk turut sama membuat ujian calitan pada keesokan harinya. Kalau saya masih bujang, hal ini semua tidaklah begitu mencemaskan. Apa yang menjadikan saya hilang arah seketika ialah kerana saya mempunyai seorang anak dan isteri yang sedang sarat mengandung. Aduhai... mengapa perkara ini boleh berlaku sedangkan selama setahun lebih saya sehabis daya berjaga-jaga, namun di pejabat juga akhirnya tempat saya dikategorikan sebagai kontak rapat? Betullah kata orang, kluster tempat kerja ini memang merumitkan. 

Keesokan harinya, saya segera mencari maklumat tentang klinik-klinik yang menawarkan khidmat ujian calitan dengan harga yang berpatutan. Almaklum, pertengahan bulan. Hendak menghabiskan ratusan ringgit untuk sebuah ujian calitan adalah sesuatu yang amat serius untuk dipertimbangkan. Hendak mengabaikan, rasa risau memenuhi dada. 

Hasil pencarian menemukan saya dengan sebuah klinik yang agak murah perkhidmatannya dan tidak begitu jauh dari rumah saya. Saya pun bergegas ke sana dengan motorsikal saya dan sesampai sahaja di sana, saya terus berurusan di kaunternya. Usai mendaftar, saya disuruh menunggu seketika di ruang sebelah klinik. Pada ketika ini, saya sekeluarga bersepakat untuk biarkan saya sahaja yang menjalani ujian calitan bagi menjimatkan sedikit perbelanjaan. Sekiranya posifit (minta dijauhkan), barulah anak dan isteri saya menyusul.

Saya andaikan ruang menunggu ujian calitan itu pastilah tertib dan tertutup. Yalah, namanya pun ujian calitan Covid-19. Hal-hal melibatkan virus tersebut pastilah di ruang yang tertutup. Itu pada hemat saya. Rupanya tidak. Ruang tersebut adalah lot kedai yang mungkin telah dibeli oleh klinik tersebut. Terdapat dua buah meja yang diletakkan di tepi pintu masuk dan di pertengahan ruang bangunan tersebut yang akan diletakkan kit ujian calitan itu nanti. Ada sebuah almari yang menempatkan PPE untuk kegunaan petugas klinik tersebut. Sangat buruk dan saya tak ubah seperti pekerja asing yang sedang menunggu giliran untuk tandatangan kontrak kerja buruh di sebuah tapak binaan yang tidak ketahuan apa projeknya. Di ruang belakang, terdapat beberapa guni simen dan sisa binaan yang tidak dilupus dengan baik. Aii..., paling kurang pun pasanglah apa-apa 'partition' yang boleh menutup ruang buruk itu. Barulah rasa berbaloi menghabiskan ratusan ringgit untuk calitan yang amat sekejap itu. Namun, saya kira kata kunci 'sekejap' itulah yang membuatkan pihak klinik tidak peduli pada rupa paras ruang tersebut.

Setelah beberapa puluh minit menunggu, datang seorang petugas yang saya andaikan salah seorang doktor di klinik tersebut. Giliran saya tiba selepas seorang India yang berbadan sasa dirodok hidungnya dengan kit ujian calitan RTK-Antigen. Saya difahamkan bahawa jenis ujian calitan di Malaysia ini ada dua, iaitu PCR Test dan RTK-AG. Kedua-duanya mempersembahkan keputusan kepada kita dengan tempoh masa yang berbeza.

Menurut petugas klinik tersebut, keputusan RTK-AG adalah cepat dan mengambil masa lebih kurang setengah jam sahaja. Ia sesuai untuk mereka yang paling kurang sudah punya simptom dijangkiti COVID-19, meskipun batuk ringan. Manakala ujian PCR adalah lebih lama untuk keputusannya diperoleh dan ia amat sesuai untuk mereka yang tidak bergejala namun sahih kontak rapat dengan pesakit yang telah positif sebelumnya.

Saya memilih untuk mengambil PCR Test memandangkan saya tidak mengalami apa-apa simptom. Apabila sampai sahaja giliran saya, saya diminta untuk duduk tegak dan mendongakkan kepala sedikit sebelum alat yang entah apa namanya itu masuk dengan jayanya ke dalam kedua-dua lubang hidung saya dan juga tekak saya. Perit dan pedih, namun pengalaman saya yang pernah dimasukkan kamera ke dalam lubang hidung saya membuatkan perit dan pedih itu tidak terasa sangat. Hanya seperti air yang tersalah sedut ke dalam hidung sahaja.

Petugas itu memaklumkan yang saya akan memperoleh keputusan ujian tersebut selewat-lewatnya esok hari melalui 'Whatsapp'. Jadi saya terus pulang ke rumah dan tidak menyimpan apa-apa fikiran buruk mengenainya kerana tanpa simptom, COVID-19 ini tidak terasa seperti ada apa-apa. Mungkin itulah yang bahayanya.

Di rumah, saya jalani sahaja kehidupan saya seperti biasa. Isteri saya juga bahkan tidak mengesyaki apa-apa setelah saya sahkan bahawa meskipun diistilahkan kontak rapat, ruang kerja saya dan pegawai yang positif itu jauh dan tidak berlaku sebarang urusan yang memerlukan saya mendekatinya pada hari bekerja tersebut.

5 OGOS 2021

Keesokan harinya, seawal jam 8.30 pagi saya telah mengikuti majlis bacaan Yasin yang dianjurkan oleh unit jabatan saya untuk pegawai saya yang telah disahkan positif itu. Anaknya masih kecil. Entah macam mana sengsaranya batang tubuh si anak itu hendak melawan batuk dan nafas yang semput dek kerana virus celaka itu. Sedangkan orang dewasa sendiri merasakan payahnya seperti kucing yang dicekik oleh manusia jahanam, inikan pula budak-budak.

Usai majlis tersebut saya membelek-belek telefon saya, menelusuri suapan Facebook yang entah apa-apa, sebelum datang satu mesej di 'Whatsapp' saya. Seorang yang tidak dikenali, dan dia melampirkan sesuatu di dalam mesej tersebut. Rupa-rupanya dia adalah salah seorang petugas di klinik tersebut dan keputusan ujian calitan saya telahpun keluar. Apabila saya lihat sahaja keputusan tersebut, jantung saya seakan-akan terhenti seketika. Mata saya berpinar-pinar.

'DETECTED'.

Ah, sudah. Saya positif ???

Inilah keputusan yang saya peroleh


Saya menunjukkan keputusan itu kepada isteri saya, dan dia pun turut sama terkedu, terkesima dan terduduk. 

segera dia mengundurkan diri ke dalam bilik anak saya. Riak wajah kerisauan di wajahnya menjelaskan segala. Tadi malam kami berbaring di atas katil yang sama. Apakah akan ada kemungkinan yang isteri saya juga dijangkiti ? Begitu juga dengan anak saya yang malam tadi sungguh seronok kami bergusti ?

Kami hilang punca. Kami cuba mencari langkah-langkah seterusnya. Apakah perlu ke hospital ? Seperti yang saya katakan sebelum ini, seandainya saya masih bujang, hal ini tidak begitu merisaukan. Saya tanggung sendiri semuanya. Tapi apabila melibatkan anak dan isteri, ia adalah beban yang maha dahsyat, terutama untuk seorang isteri yang sedang mengandung.

Kami mula menghubungi beberapa kenalan rapat dan saudara terdekat yang pernah berpengalaman menghadapi kesukaran ini. Pada masa yang sama saya juga memaklumkan keputusan saya itu kepada pengurusan sumber manusia jabatan saya. Mereka membantu saya dengan menghubungkan saya dengan salah seorang doktor di pusat kesihatan universiti dan doktor tersebut akan membantu saya untuk memahami prosedur pemantauan COVID-19 oleh KKM.

Saya membelek aplikasi MySejahtera dan terdapat satu bahagian yang membolehkan saya untuk memuatnaik keputusan ujian calitan sekiranya ada. Lalu saya terus memuatnaik lampiran tersebut dan beberapa ketika kemudian, MySejahtera saya terus bertukar kepada 'Confirmed Case-Cat 1'. Cat-1 adalah kategori di mana saya tidak memperlihatkan sebarang simptom yang ketara seperti batuk, selsema, muntah-muntah, sakit dada dan sebagainya yang berkaitan dengan COVID-19.

Lewat petang, seorang doktor menghubungi saya dan memperkenalkan dirinya sebagai Dr. Atikah. Beliau menasihati saya agar segera ke CAC atau Covid Assessment Center yang bertempat di Bukit Indah, Johor Bahru. Di situ, saya sekeluarga akan dipakaikan gelang merah jambu yang memberi maksud saya sekeluarga diarahkan untuk menjalani kuarantin di rumah untuk satu tempoh masa yang ditetapkan oleh KKM. 

Malam itu, tidur kami langsung tidak lena...

BERSAMBUNG

Tiada ulasan: