Rabu, 18 Ogos 2021

DITAKLUKI COVID-19 - PENGALAMAN YANG TAK TERLUPAKAN (BAHAGIAN DUA)

 6 OGOS 2021

Tidur yang tidak tenang itu membuatkan saya lebih mudah untuk bangun awal pagi. Beberapa penceritaan yang telah disampaikan oleh rakan-rakan dan saudara-mara yang telahpun berkunjung ke Covid Assessment Center membuktikan satu hakikat bahawa ia sentiasa sesak dengan kenderaan dan manusia. Oleh itu, untuk memastikan bahawa saya sekeluarga tidak terperangkap bersama-sama mereka yang lewat, seawal 6.30 pagi saya bersama-sama anak dan isteri telah ke CAC Bukit Indah. Ah, itu tidak terlalu awal. Ada yang berkongsi keadaan di CAC Pasir Gudang di mana seawal 4 pagi, kereta telahpun berbaris panjang kerana mereka boleh memilih untuk pemeriksaan pandu-lalu.

Sebelum sampai ke CAC, saya singgah seketika di stesen minyak untuk membeli bekal makanan kerana pada hemat saya, hal ini pasti berlanjutan hingga ke tengah hari dan kami semua masih belum sarapan. Tanpa sarapan, sesiapa pun akui hidupnya sehari-hari itu akan menjadi teramat 'miserable'. 

Jam 7.00 pagi, kami tiba di CAC. Lengang dan kenderaan belum berpusu-pusu memasuki perkarangan parkirnya. Pun begitu, sekumpulan pengunjung telahpun berada di khemah saringan yang terletak di luar kawasan dewan. Ya, CAC itu terletak di kawasan Dewan Raya Taman Bukit Indah. Saya sekeluarga keluar dari kereta dan segera menuju ke lokasi saringan tersebut yang terdiri daripada binaan khemah sementara yang sederhana besar. Ia terbahagi kepada dua bahagian di mana salah satunya dengan jelas tertulis: KES POSITIF COVID BARU. Jadi saya pun duduklah di situ. Isteri dan anak saya juga tidak punya pilihan melainkan duduk juga di situ memandangkan bahagian yang satu lagi tidak diketahui untuk kategori apa.

Sumber foto: https://www.facebook.com/CRJDT/photos/pcb.790210308239870/790210278239873/
CAC Bukit Indah (Sumber: https://www.facebook.com/CRJDT/photos/pcb.790210308239870/790210278239873/)

Perasaan kami gundah-gulana kerana di sekeliling kami, ramai pengunjung yang secara nyata menunjukkan simptom Covid-19 dan malangnya, penjarakan langsung tidak ada dan tidak ada pula petugas ketika itu kerana waktu operasi CAC belum bermula. Isteri saya duduk mengeras macam batu kerana tidak mahu sebarang kontak dengan pengunjung lain. Lebih merisaukan dirinya, hari semalam dia dan anak saya telahpun saya bawa untuk ujian RTK-AG. Kalau sudah sebegitu rapat dan di rumah pula, saya kira RTK-AG memadai untuk mengetahui sama ada isteri dan anak saya telah dijangkiti ataupun tidak. Alhamdulillah keputusannya negatif. Dan keadaan di CAC yang sedang kami hadapi ini pasti mendatangkan kemungkinan untuk ia bertukar positif pula.

Satu jam menunggu dalam kesengsaraan, akhirnya CAC mula beroperasi tepat jam 8 pagi. Orang sudah mengerumuni kawasan pengambilan nombor giliran. Ya, apabila bercakap tentang nombor giliran, orang kita memang gila macam monyet. Semua mahu dapat nombor yang terawal dan tidak mahu menunggu lebih lama daripada orang lain. Perbuatan orang-orang ini mendatangkan kemarahan petugas CAC.

"Saya tak nampak PENJARAKAN !!! Mana PENJARAKAN ???"

Petugas itu bertempik dengan suara wanita besinya. Agaknya kalau dia mahu, pasti dia membaling mikrofon itu ke muka pengunjung yang degil itu seperti Mat sabu membaling mikrofon kerana terlalu teruja.

Datang beberapa petugas lain yang cuba untuk menyusun barisan berdasarkan beberapa kategori kunjungan. Ah, kategori ini juga memeningkan kepala. Sebabnya:

a) Suara hingar-bingar manusia yang ramai menenggelamkan suara petugas yang menyalurkan suaranya melalui mikrofon ke sebuah pembesar suara. Sepatutnya ada 3-4 pembesar suara barulah jelas untuk kawasan yang diketahui akan dikerumuni manusia.

b) Kebanyakan pengunjung yang datang adalah mereka yang teramat keliru. Masing-masing membawa dokumen entah apa dan tidak tahu hendak dirujuk kepada siapa. Lebih malang lagi orang-orang tua yang langsung tak ketahuan punca. Mereka datang semacam berkunjung ke Mydin sahaja lagaknya, banyak duit tapi tak tahu nak beli apa.

c) Ada yang mengandaikan bahawa mereka adalah di bawah kategori tertentu. Setelah berbaris bagai nak rak, rupa-rupanya mereka di bawah kategori lain. Kekeliruan ini menyebabkan orang berkerumun mendapatkan petugas yang juga keliru seperti kami. Akhirnya semua pening kepala.

Beberapa puluh minit yang telah rugi kerana hendak mengatur manusia yang tak ubah seperti kawanan kambing yang kehilangan tuan, akhirnya beberapa barisan terbentuk. Saya berbaris di barisan kategori positif Covid baru dan isteri saya berbaris di barisan kategori ibu mengandung. Sepatutnya dalam hal membuat barisan ini, PBT sepatutnya menyediakan tapak 'signage' supaya petugas kesihatan mudah menyusun barisan.

Saya memerhatikan dengan penuh kerisauan keadaan isteri saya berjalan terkangkang-kangkang mengikut barisan yang panjang itu. Beberapa ketika kemudian, dia telah mendapat nombor giliran daripada petugas yang menguruskan nombor tersebut. Lantas isteri saya memanggil saya.

"Tak payah beratur, kita boleh pandu-lalu sahaja sebab abang bawa orang mengandung."

Alhamdulillah. Rezeki budak di dalam perut. Tak perlulah saya bersesak-sesak dengan orang lain. Namun begitu, ia tidaklah begitu menyenangkan. Kerana apa ? Kerana mereka yang telah sedia tahu kelebihan yang mereka miliki untuk pandu-lalu telahpun mempersiapkan barisan mereka sepanjang-panjangnya hingga ke penghujung jalan. Saya terpaksa membuat pusingan di laluan lain untuk mengelakkan pertembungan dua hala dengan kenderaan lain. Akhirnya saya tiba di penghujung jalan dan mengikut barisan kereta yang panjang itu.

Segera saya teringat pada cerita kawan saya yang melalui pengalaman memeritkan meskipun hanya pandu-lalu. Mengapa saya kata memeritkan ? Kerana dia datang seawal jam 7.30 pagi dan hanya selesai urusannya sekitar jam 5.30 petang. Kalau kita memandu selama itu, mungkin kita telahpun sampai ke negeri Perak.

Ketika saya berada di dalam barisan kereta yang panjang itu jam sudah menganjak ke pukul 9 pagi. Ah, saya andaikan pasti saya juga akan mengalami perkara yang sama seperti kawan saya itu. Tetapi, sangkaan saya meleset, pergerakan kereta agak cepat dan tidak terlalu lama. Sekitar jam 11 pagi, saya telahpun sampai ke khemah pendaftaran pandu lalu di mana dua orang petugas ditempatkan di situ untuk menyemak segala dokumen yang telah kita bawa. Saya lampirkan sekali salinan keputusan ujian calitan saya yang positif itu manakala anak isteri saya maklumkan kepadanya bahawa mereka kontak rapat. Petugas tersebut akhirnya mengarahkan saya memandu terus ke khemah 5 untuk pemeriksaan sebelum ujian calitan PCR dijalankan ke atas kami.

Sampai sahaja di khemah 5, beberapa standard pemeriksaan dijalankan ke atas kami seperti memerika jumlah oksigen dalam darah dengan oximeter dan pemeriksaan tekanan darah serta nadi. Beberapa borang perlu kami isi sepanjang pemeriksaan itu dan saya nasihatkan kepada anda sekiranya anda perlu ke CAC, siapkan beberapa batang pen dan papan alas atau apa sahaja yang keras untuk memudahkan anda mengisi borang seandainya anda dibenarkan untuk membuat pemeriksaan pandu-lalu.

Akhirnya, setelah hampir setengah jam menunggu, kami diarahkan untuk ke khemah 7 bagi proses ujian calitan. Seperti yang kita sedia maklum, CAC akan membuat dua kali ujian calitan. Kebiasaannya, ujian calitan pertama adalah PCR Test memandangkan ramai di antara pengunjung tidak mengalami sebarang simptom. Ujian kedua pula adalah RTK-AG. Untuk pengetahuan anda, ujian RTK-AG itu hanya dijalankan sekiranya keputusan ujian calitan pertama adalah NEGATIF. Sekiranya ujian pertama hasilnya POSITIF, mereka tidak akan membuat ujian kedua. Tidak perlu 'double confirm' di sini kerana PCR Test adalah menyeluruh dan teliti serta dianalisis di makmal.

Hidung dan tekak isteri serta anak saya dirodok sekali lagi selepas ujian RTK-AG yang telah mereka buat di klinik swasta semalamnya. Anak lelaki saya yang sedikit takut dengan ujian calitan itu tersedak-sedak ketika alat itu menerobos masuk ke daerah hidungnya yang jarang dikorek itu. Akhirnya, anak dan isteri tidak berhenti bersin. Mujurlah semuanya memakai topeng. Jika tidak, pasti air liur mereka merata-rata di dalam kereta.

Sampai giliran saya, mereka dengan tegas menyatakan bahawa saya tidak perlu membuat ujian. Alasan mereka keputusan ujian saya yang terdahulu telahpun positif, dan saya mengambil PCR Test. Itu sudah cukup. Kerana itulah saya faham bahawa sekiranya kita telahpun positif untuk ujian di luar, CAC tidak akan bersusah-payah membuat ujian lagi. Saya bertanya sama ada akan berlaku 'false alarm' dalam ujian di klinik swasta. Mereka menjawab tidak kerana ia dilakukan di bawah kendalian makmal yang diiktiraf KKM. Penjelasan itu mematikan semua persoalan di dalam benak. Ya, saya memang positif tanpa keraguan lagi.

Oleh itu, saya diminta memandu ke khemah 8 untuk kes Covid bawah 10 hari. Di CAC Bukit Indah, kes Covid dibahagikan kepada dua iaitu kes bawah 10 hari dan kes selepas 10 hari. Saya tak pasti perbezaan apa yang ketara di situ. Cuma dari kejauhan, saya nampak beberapa orang pengunjung telahpun bergantung kepada tong oksigen untuk bernafas. Malah ada yang telahpun terbaring di atas katil yang mereka sediakan di bawah satu khemah triage khas. Mungkin itulah mereka yang telahpun positif lebih 10 hari beserta simptom yang amat ketara.

Sampai di khemah 8, saya ditanya dengan pelbagai soalan melibatkan simptom dan sejarah penyakit. Saya nyatakan dengan jujur bahawa menghidap asma. Mendengar sahaja perkataan asma, petugas tersebut (saya dah tak dapat beza mana doktor mana jururawat sebab semuanya memakai sut PPE) segera meletakkan nama saya untuk dirujuk ke Hospital Permai untuk pemantauan. Katanya orang menghidap asma berisiko tinggi. Saya mula risau. Aduh, nak masuk wad juga ke ? 

"Sekarang wad Covid sedang penuh. Mungkin encik akan dapat panggilan lagi 2-3 hari," petugas itu menjelaskan.

Selesai menandatangani beberapa dokumen pengesahan, saya diarahkan memandu ke khemah 10. Khemah ini adalah untuk pemasangan gelang pemantauan. Aha, gelang inilah yang merisaukan rakyat Malaysia. Dengan gelang ini, status seseorang itu berubah daripada manusia bebas kepada manusia kurungan. Kerana itu ada yang sebegitu degil memotong gelang tersebut dan akhirnya menyusahkan jutaan rakyat yang lain. Orang yang pentingkan diri sendiri layak dicampak ke dalam api neraka. Saya kira semua orang bersetuju, betul tak ?

Di khemah 10, saya diberi penjelasan tentang beberapa perkara:

a) Kuarantin saya sekeluarga adalah selama 8 hari (mungkin sekejap kerana saya tidak bergejala)

b) Pada hari ke-8, kami perlu ke sini untuk ujian calitan kedua buat anak dan isteri saya, SEANDAINYA keputusan ujian calitan pertama adalah NEGATIF. Sekiranya positif, tidak perlu ujian calitan kedua.

c) Pada hari ke-8 juga, gelang saya akan dipotong, manakala gelang anak isteri saya akan dipotong pada hari ke-10, itupun bukan di CAC yang sama, sebaliknya di DEWAN Tun Dr. Ismail bersebelahan dengan KPJ Jalan Abdul Samad.

Selesai menandatangai dokumen pengesahan kuarantin di rumah, saya sekeluarga meninggalkan perkarangan CAC tersebut dan bermulalah hidup kami sebagai manusia terkurung...

BERSAMBUNG

Tiada ulasan: