Rabu, 18 Ogos 2021

DITAKLUKI COVID-19 - PENGALAMAN YANG TAK TERLUPAKAN (BAHAGIAN 3)

 7 - 12 OGOS 2021

Duduk di rumah itu adalah hal yang menyenangkan. Namun, apabila ia ditambah dengan satu lagi istilah - kuarantin, ia menjadi sangat berbeza, dan sangat melelahkan.

Leceh, dan payah.

Adat yang namanya manusia, makin ditahan makin berontak jiwa hendak melepaskan diri. Itulah yang berlaku kepada mereka yang diarahkan untuk menjalani kaurantin kendiri di rumah. Mereka yang diarahkan berbuat demikian adalah mereka yang berstatus kontak rapat ataupun positif namun tidak bergejala nyata atau terlalu teruk, termasuklah diri saya ini. Penghujungnya, ramai yang 'tewas' dan memilih untuk menipu kerajaan sekaligus menipu rakyat Malaysia yang tidak tahu mereka telahpun dipakaikan gelang merah jambu yang amat berkuasa itu. 

Kenapa saya katakan berkuasa ? Kerana jika kita berbuat sesuatu dengan niat untuk menjahanamkan gelang itu, kita boleh didenda dan dipenjara. Nah, itulah kuasa gelang tersebut di era pandemik dalam negara kita ini. Mereka yang cenderung untuk melanggar perintah kuarantin tersebut bukanlah mereka yang benar-benar susah pun, sebaliknya ramai dari kalangan mereka itu adalah yang degil, bodoh dan kurang ajar. Itu sahaja.

Kenapa mereka degil ? Kerana mereka fikir gelang itu tidak membawa sebarang erti kepada mereka, sekalipun mereka positif Covid-19. 

Kenapa mereka bodoh ? Kerana mereka lupa bahawa mereka bakal membahayakan nyawa dan kehidupan orang lain.

Kenapa mereka kurang ajar ? Kerana mereka tidak menghormati undang-undang dan kemaslahatan awam.

Saya sekeluarga menjalani hari pertama kuarantin dengan aman tanpa sebarang isu yang ketara melainkan sedikit pening kepala untuk mendapatkan makan dan minum. Isteri saya sebegitu sarat, justeru kerja memasak menjadi payah baginya, dan keadaan saya yang positif pula membuatkan isteri saya menjadi takut untuk makan masakan saya. Aduhai betapa hinanya orang positif virus ni ya. Tapi tak apalah, lebih baik menyesal sekarang daripada menyesal kemudian hari.

Pada waktu seperti ini, perkhidmatan penghantaran makanan adalah nadi utama untuk kami teruskan kehidupan meskipun kami tahu bahawa kami pasti kehabisan banyak wang untuk membayar caj penghantaran dan harga makanan yang mendadak naiknya seperti orang yang mengenakan riba kepada peminjam wang.

Satu hal yang menjadikan saya sedikit menyampah dengan penghantar makanan ini, ada dari kalangan mereka yang tidak mahu menghantar makanan yang saya pesan ke pintu rumah saya. Padahal dengan jelas saya membuat pilihan 'contactless delivery' untuk setiap pesanan saya. Sepatutnya, mereka ikut permintaan saya itu memandangkan penghantaran mereka telah dibayar oleh saya dan sekian banyak pembeli yang lain.

Apabila saya meminta mereka untuk naik ke atas (oh ya, saya tinggal di rumah flat), mereka memberi alasan tidak boleh naik ke atas atas sebab SOP yang ditetapkan syarikat mereka yang menggunakan nama binatang dari Cina itu.

Apa ? SOP ? Tidak pernah dinyatakan di mana-mana tentang SOP tersebut. Kalau betullah ada SOP sebegitu, nampak sangat pembuat sistemnya bangang kerana mereka adakan pilihan 'contactless delivery' tanpa mengambil kira semua keadaan kediaman. Kalau rumah teres senanglah cerita dan tidak menjadi masalah. Bagaimana pula halnya dengan rumah flat ?

Ada yang menyatakan bahawa mereka yang berkata begitu sebenarnya berbohong, sebaliknya mereka sedang kejar 'trip', sebab itulah mereka malas hendak naik ke atas. Itu kata oranglah. Benar atau tidak, saya tidak tahu.

Kerana itu saya lebih selesa menggunakan perkhidmatan yang satu lagi itu. Mereka ada sistem untuk memberi penilaian kepada setiap penghantar dan wajah mereka juga dipaparkan. Sekiranya mereka bagus, kita boleh berikan penilaian yang terbaik dan boleh pula memberi tip secara potongan sekiranya kita mahu. Kalau penghantar itu buat tahi dengan khidmatnya sendiri, tahulah nasibnya.

Ah sudah, saya melarat kepada cerita penghantaran makanan pula.

Baiklah, kembali kepada cerita kuarantin.

Gelang merah jambu ini benar-benar membuatkan saya tak ubah seperti banduan tanpa penjara. Hendak turun ke bawah dan membuang samah ke dalam tong besar juga adalah risiko yang perlu saya perhatikan:

a) Adakah penghuni rumah lain sedang bersidai di tembok rumah mereka dan memerhatikan gelagat penghuni rumah lain ?

b) Adakah mereka sedang bermain telefon pintar sambil bersidai sekaligus meninggikan peluang mereka untuk mengambil gambar saya yang kelihatan seperti sedang melanggar perintah kerana keluar rumah ?

c) Adakah terdapat orang lain yang turut sama turun untuk membuang sampah ? Hal ini kerana warga flat cenderung untuk bertegur sapa ketika membuang sampah kerana berkongsi kerajinan adalah sesuatu yang 'rare' bagi warga rumah flat.

Atas sebab beberapa pertimbangan ini, saya memutuskan untuk membuang sampah di malam hari saja, Itupun apabila hari sudah menghampiri tengah malam. Nama atau batang tubuh kita dipetik dalam kumpulan 'whatsapp' perumahan kerana kontorversi gelang merah jambu adalah sesuatu yang ngeri untuk dibayangkan.

Hari-hari kuarantin berikutnya adalah sama sahaja. Sedikit menguntungkan bagi kami apabila jabatan kami membenarkan kami menjalani cuti kuarantin berdasarkan tarikh yang ditetapkan oleh KKM tanpa perlu bekerja dari rumah. Justeru, kami sekeluarga dapat benar-benar berehat dan melegakan kepala otak daripada kesibukan tugasan pejabat.

Menariknya, apabila bermula sahaja hari kuarantin, aplikasi MySejahtera saya mengeluarkan 'push notification' yang merupakan pemantauan harian saya. Selama ini saya tertanya dengan cara apa KKM hendak memantau mereka yang diarahkan kuarantin kendiri di rumah ini ? Takkan sekadar duduk di rumah sahaja ? Rupa-rupanya mereka memantau melalui MySejahtera. Di dalam aplikasi tersebut, ada satu paparan baru akan tersedia setiap hari pada waktu pagi dan petang di mana ia meminta kita untuk menjawab beberapa soalan tentang simptom Covid-19. Dan di dalam paparan itu juga ia meminta kita untuk mengisi beberapa hal iaitu:

a) Bacaan saturasi oksigen SPO2 (yang hanya boleh dibaca dengan alat oximeter)

b) Rekod tekanan darah

c) Kadar nadi

d) Suhu badan

Perkara di atas sekaligus memerlukan kita untuk mengadakan beberapa alat bagi mendapatkan bacaan-bacaan tersebut iaitu:

a) Oximeter (boleh didapati di farmasi dengan harga serendah RM90 dan ke atas)

b) Alat bacaan tekanan darah (Jenama yang biasa ialah Omron)

c) Pembaca suhu

Dengan kesemua alat ini, saya dapatlah melengkapkan maklumat pemantauan saya itu dengan baik. Mujurlah juga sepanjang tempoh kuarantin ini, saya tidak memperlihatkan sebarang tanda yang menunjukkan situasi saya bertambah buruk atau teruk. Tuhan masih beri izin untuk saya bernafas dengan selesa dan merasai makanan tanpa hilang rasanya. Ada kawan saya yang turut positif terpaksa merasa keperitan tersebut apabila tidak ada satu makanan yang berasa di tekaknya dek kerana virus celaka itu. Kasihan sekali. Mudah-mudahan kesihatannya bertambah baik.

Begitu juga halnya dengan anak dan isteri saya, mereka berdua baik-baik sahaja tanpa sebarang simptom yang nyata. Namun begitu, untuk menghadapi semua ini bukan semudah yang disangka. Ia dipenuhi dengan syak wasangka. Justeru, saya mengambil langkah seterusnya dengan sentiasa menjalankan kerja-kerja sanitasi di kawasan mana sahaja yang saya pegang. Malahan saya tidak menanggalkan topeng muka di rumah sampaikan kulit di celahan telinga saya melecet dan memedihkan.

Satu hal yang menarik, isteri saya satu ketika dahulu telah membeli sebotol Isopropil 70 di farmasi. Dia mendapat maklumat entah dari laman web mana tentang isopropil yang boleh digunakan untuk membuat 'sanitizer'. Wah, semacam bantuan yang telah diberi lebih awal oleh Tuhan kepada kami. Saya kira ini adalah masa yang cukup baik untuk membuat sanitizer bagi memudahkan saya menyembur segala permukaan yang saya sentuh. Saya mencari maklumat di Youtube tentang bancuhan yang ideal untuk menghasilkan cecair sanitizer. Nombor 70 tersebut memberi indikasi jelas bahawa campuran isopropil haruslah seperti berikut:

70% - isopropil

30% - air

Kiraan peratusan ini mengikut sukatan bekas yang akan kita gunakan. Air yang digunakan adalah lebih baik air suling atau distilled water. Boleh juga air yang dimasak asalkan bukan air paip.

Isopropyl alcohon ini juga dijual dalam botol yang lebih kecil

Selepas saya menyiapkan bancuhan tersebut, saya gunakannya ia dengan sangat kerap, terutamanya di bilik air dan tandas. Saya wajib berhati-hati sekiranya saya hendak membuang lebihan ubat gigi selepas menggosok gigi, ataupun sekiranya saya meludah atau membuang kahak mahupun hingus. Kesemuanya harus dilakukan dengan kadar yang paling minimum. Jangan bersepah di sana-sini. Selepas mencuci permukaan itu, saya semburkan dengan sanitizer tersebut sebagai ikhtiar saya sendiri.

Pengalaman saya yang pernah dikuarantin kerana menerima rawatan radio-iodin bagi kanser tiroid saya dahulu membuatkan saya tahu untuk mengambil langkah seterusnya iaitu mengasingkan penggunaan pinggan, mangkuk, gelas dan sudu-garfu. Kesemuanya saya asingkan di satu tempat supaya anak dan isteri saya tidak menggunakan barang-barang tersebut. Begitu juga dengan berus gigi yang saya asingkan lebih jauh daripada tempat mereka menyimpannya.

Memang sukar sama sekali. Namun, apalah yang sukar sangat berbanding dengan risiko jangkita yang boleh kita dapati sekiranya kita tidak berhati-hati ? Lebih baik susah dahulu senang kemudian jika kita tidak mahu menyesal di kemudian hari.

Hal ini berterusan sepanjang tempoh kuarantin saya sehinggalah tibanya hari di mana saya diminta untuk hadir bersama keluarga bagi proses pemotongan gelang...

BERSAMBUNG

Tiada ulasan: