Memaparkan catatan dengan label buku. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label buku. Papar semua catatan

Rabu, 13 Mei 2026

PBAKL 2026


Setiap kali ia hampir, saya berasa sangat teruja. Meskipun ia menjanjikan perkara yang serupa sahaja, iaitu timbunan buku untuk dibeli mahupun dibelek sahaja, tetapi saya tetap teruja. Setiap tahun, saya berdoa semoga saya tetap dapat sampai dan merasai pengalaman bergelumang dengan sekalian banyak manusia yang masing-masing punya hajat memburu buku ataupun sekadar bersuka-suka hendak merasa kesesakan manusia. Tetapi kebiasaannya, akan ada satu-dua buku yang akan dibeli meskipun anda bukanlah seorang ulat buku.

Satu ketika dahulu, kalau saya bertandang, saya berhajat untuk bertemu dengan Faisal Tehrani (Tuhan telahpun beberapa kali mengkabulkan hajat saya ini). Sekarang, saya lebih selesa mengambil rasa rambang sahaja, kerana dengan rasa sebegitu, saya lebih teruja dan tidak menjangkakan apa-apa atau sesiapa. Ada masa dan ketikanya, saya akan bertemu dengan beberapa penulis yang saya tidak jangkakan mereka akan ada di situ (sama ada sebagai pengunjung mahupun sedang mempromosi buku mereka). Ada ketikanya, saya bertemu selebriti terkenal yang turut mengambil peluang berjualan di situ (Contohnya Datuk Imuda yang pasti saya beli baju yang tercetak lukisannya setiap kali singgah di reruainya) atau sama-sama terlibat dalam sesi bertemu ramah dengan peminat (saya sempat berjumpa dengan Sabri Yunus dan menyampaikan rasa kekaguman pada upaya kreatifnya). Tak ketinggalan juga, figur-figur agama yang berada di reruai buku-buku islamik di samping mereka turut menyampaikan pesan-pesan kepada para pengunjung. Saya berkesempatan bertemu dengan Dr. Zulkifli (terkenal dengan Bayan Linnas) dan meminta beliau untuk mendoakan saya agar diringankan dari bebanan hutang.

Di pesta ini juga, ada buku-buku yang dahulunya sangat mahal tetapi dijual murah pula oleh penerbitnya kerana hendak menghabiskan stok buku yang tidak terjual pada tahun lepas. Biasanya, buku-buku ini amat berharga tetapi tidak begitu mendapat sambutan kerana harganya yang mahal. ITBM adalah antara penerbit yang kerap berbuat begini dalam tahun-tahun terkini penganjuran PBAKL ini. Ada juga penerbit-penerbit muda yang semakin mendapat tempat di hati penggemar buku kerana aktifnya mereka menerbitkan bahan bacaan dan promosi yang cukup kuat di medsos. Contohnya The Patriots.

PBAKL juga bagi saya bukan sekadar pesta itu, tetapi suasana sepanjang perjalanan menuju ke pesta tersebut. Sebelum ini, saya memandu kereta ke PWTC dan sering menghadapi masalah untuk mencari tempat letak kereta. Tetapi, dengan sedikit pencarian maklumat pergerakan kenderaan ke PWTC, saya memilih untuk menggunakan pengangkutan awam bersama-sama keluarga saya, dan secara jujurnya, ia lebih mengujakan meskipun kesesakan pengguna itu boleh dijangkakan.

Saya berharap PBAKL ini kekal di PWTC, kerana di situlah auranya teguh dan kukuh. Dan dengan izin Tuhan, saya akan ke sini, tidak lama lagi. Insya Allah... 

Ahad, 7 Mac 2021

AL-KISAH BUDAK BUANG BUKU

  • Tular sebuah peristiwa bodoh di mana seorang budak yang membuang buku-bukunya ke dalam sungai setelah usai menghadapi peperiksaan SPM.
  • Pada masa yang sama, sekumpulan budak ditahan polis kerana merempit macam setan di jalanraya selepas menghadapi peperiksaan SPM.
  • Budak-budak bodoh ini mahu tunjukkan apa kepada dunia ? Mereka telah bebas daripada 'cengkaman' sekolah ?
  • Selama mereka hidup bersekolah menengah, budak-budak ini menganggap sekolah hanyalah penjara yang menyekat idea dan kekuatan liar mereka ?
  • Saya berani katakan YA. Itulah sebenarnya pegangan budak-budak ini.

Selasa, 2 Mac 2021

KATANYA MANIPULASI SEJARAH ?

  • Baru-baru ini, Ketua Pemuda UMNO membangkitkan isu buku teks Sejarah Tingkatan 4 yang didakwa terdapat unsur-unsur menaikkan imej Komunis.
  • Wah, kita pun tahu kan orang Melayu ni pantang dengar nama komunis. Komunis ni bagi orang Melayu sama berat najisnya dengan babi. Begitulah lebih kurang. Sekalipun babi itu menjadi kata makian harian orang Melayu, namun binatang itu sendiri terlalu sensitif untuk orang Melayu. Begitulah komunis.
  • Bertitik tolak daripada kenyataan yang dibuat si Asyraf itu, saya pun mencarilah maklumat daripada buku Sejarah itu sendiri. Dan ini yang saya ketemukan:


  • Subtopik ini adalah di bawah topik besar Persekutuan Tanah Melayu. Saya tak faham apa yang dimaksudkan oleh si ketua pemuda tentang mengagungkan 'perjuangan komunis' sedangkan jika diteliti di dalam buku ini, topik berkaitan komunis menceritakan tentang bagaimana ia dilalui dan diatasi satu ketika dahulu. 
  • Kalaulah subtopik ini yang dimasukkan dengan perjuangan komunis, saya rasa kenyataan ketua pemuda itu amatlah dangkal. Disebabkan dangkal itulah, dia secara tiba-tiba mengadakan satu sidang virtual dengan menjemput 'so-called' pakar sejarah yang mengiyakan kenyataan si ketua pemuda.
  • Cuba anda baca isi yang saya lampirkan ini. Di mana yang dikatakan mengagungkan perjuangan komunis ? Mereka ini semua pejuang yang menuntut kemerdekaan tanahair. Cuma wadah mereka bukan melalui UMNO. Apa UMNO suci sangat ke masa tu sampai menidakkan wadah perjuangan orang lain ? Gagasan mereka sama iaitu menghalau British keluar dari pentadbiran Tanah Melayu seluruhnya dan raja-raja Melayu bangkit bersama rakyat kerana sebelum itu, rakyat sudah sepakat menentang Malayan Union.
  • Hello ketua pemuda, masa ini Utusan Melayu pun menentang parti awak tau. Lupa ke ? Pergi bacalah buku tulisan Zainudin Maidin tentang Utusan Melayu. 
  • Sejarah tercatat, perlembagaan yang parti awak persetujui bersama British itu tidak mendapat sokongan mereka. Ini hakikat. Takkan tak boleh terima hakikat yang UMNO juga pernah ditentang ? Rasa malu ke ? Rasa suci sangat ke ? Orang dahulu jauh lebih bagus dari awak yang kerja nak menjilat aje.
  • Kenyataan di dalam buku itu semuanya hakikat yang pernah dilalui, kenapa nak digelapkan ? Memang perlembagaan persekutuan dahulu pernah dibantah sampai berlakunya Hari Hartal. 
  • Celah mana mengagungkan komunis ?
  • Kalau awak cuba menafikan orang-orang ini yang pernah sama-sama berjuang untuk kemerdekaan, awak sangat kurang ajar dan biadap.
  • Eh, kalau awak nak pertikai, haaa satu masa dahulu Majalah Tiga pernah membawa isu perjuangan haluan kiri ini. Bahkan siap ada temuramah salah seorang daripada ahli API (Angkatan Pemuda Insaf). Mereka sedih kerana perjuangan mereka tak diangkat dengan begitu meluas sedangkan mereka antara yang terawal bangkit menentang. Nah, pergilah buat laporan polis tentang episod itu. Awak semua kan suka buat laporan polis terhadap isu lapuk.
  • Orang-orang ini tidak bersama awak, tidak bermakna mereka itu bersama komunis.
  • Awak pandai, nak dapat sokongan Melayu, awak main sentimen komunis sepanjang masa. Nak nampak relevan, jemputlah pakar sejarah untuk bersama-sama awak. Kenapa tak jemput penggubal buku teks itu sendiri ? Takut kena balun berjemaah ke ? 













Isnin, 1 Mac 2021

ORANG-ORANG BIASA

 


  • Karya penulis terkenal Indonesia yang satu ini keluar di dalam suapan Facebook saya, dan saya langsung tertarik.
  • Saya pernah menguliti tetralogi Laskar Pelangi beliau, dan semenjak dari itu, saya sangat suka dengan gaya penulisannya yang galak dengan metafora dan personafikasi yang bijak.
  • Diakui, di awal pembabitan dirinya di dalam dunia sastera dahulu, novel Laskar Pelanginya seakan-akan melebih-lebih darihal penghuraian satu-satu situasi yang membabitkan latar masyarakat dan latar tempat Laskar Pelangi. Segala istilah berbaur saintifik dihamburkan di sana-sini.
  • Namun, bukan namanya penulis kalau tidak meningkat mutu penulisannya. Orang-orang Biasa yang merupakan buah tangan terbaru beliau benar-benar telah meletakkan Andrea Hirata pada satu tahap yang luar biasa.
  • Beliau tidak perlu terlalu puitis dalam bercerita. Bahkan, ada banyak dialog yang dipaparkan di dalam novel ini sangat berunsur kekampungan dan dekat di hati kita selaku pembaca dari kalangan orang-orang biasa. Nah, target tercapai.
  • Kulit hadapan novel ini memaparkan susuk tubuh manusia serba hitam dan serupa monyet. Haa..., hal tersebut ada kena-mengena dengan kisah rakan bersepuluh yang hidup tidak punya apa-apa kebanggaan hendak merompak sebuah bank demi mendapatkan wang bagi membiayai pelajaran anak salah seorang rakan mereka yang miskin. Oh ya, mereka semua sama-sama miskin. Jadi ini kisah orang miskin, tidak punya pelajaran tinggi yang mahu merompak bank.
  • Pun begitu, bukan merompak bank itu yang menjadi subjek utama penceritaan novel ini. Sebaliknya, novel ini memaparkan kepada pembaca tentang para manusia yang tidak dipandang oleh masyarakat umum cuba untuk berbuat sesuatu yang luar biasa, meskipun mereka hanyalah orang-orang biasa. Luar biasa itu bergantung kepada tingkatan usaha yang dijalankan, bukan hasil akhir. Hasil akhir hanya akan diketahui setelah habis berusaha. Jika terlalu membayangkan hasil tetapi tumpuan pada usaha tidak cukup baik, harapan untuk gagal total amat tinggi.
  • Mereka tidak menjangkakan sebuah kejayaan dalam kerja keji itu, tetapi usaha mereka yang luar biasa itulah yang membuktikan bahawa di tangan orang-orang biasa, sebuah mimpi mampu melahirkan tindakan yang luar biasa.
  • Andrea Hirata masih berbicara soal mimpi dan usaha. Itulah semangat di dalam novelnya.