Isnin, 1 Mac 2021

ORANG-ORANG BIASA

 


  • Karya penulis terkenal Indonesia yang satu ini keluar di dalam suapan Facebook saya, dan saya langsung tertarik.
  • Saya pernah menguliti tetralogi Laskar Pelangi beliau, dan semenjak dari itu, saya sangat suka dengan gaya penulisannya yang galak dengan metafora dan personafikasi yang bijak.
  • Diakui, di awal pembabitan dirinya di dalam dunia sastera dahulu, novel Laskar Pelanginya seakan-akan melebih-lebih darihal penghuraian satu-satu situasi yang membabitkan latar masyarakat dan latar tempat Laskar Pelangi. Segala istilah berbaur saintifik dihamburkan di sana-sini.
  • Namun, bukan namanya penulis kalau tidak meningkat mutu penulisannya. Orang-orang Biasa yang merupakan buah tangan terbaru beliau benar-benar telah meletakkan Andrea Hirata pada satu tahap yang luar biasa.
  • Beliau tidak perlu terlalu puitis dalam bercerita. Bahkan, ada banyak dialog yang dipaparkan di dalam novel ini sangat berunsur kekampungan dan dekat di hati kita selaku pembaca dari kalangan orang-orang biasa. Nah, target tercapai.
  • Kulit hadapan novel ini memaparkan susuk tubuh manusia serba hitam dan serupa monyet. Haa..., hal tersebut ada kena-mengena dengan kisah rakan bersepuluh yang hidup tidak punya apa-apa kebanggaan hendak merompak sebuah bank demi mendapatkan wang bagi membiayai pelajaran anak salah seorang rakan mereka yang miskin. Oh ya, mereka semua sama-sama miskin. Jadi ini kisah orang miskin, tidak punya pelajaran tinggi yang mahu merompak bank.
  • Pun begitu, bukan merompak bank itu yang menjadi subjek utama penceritaan novel ini. Sebaliknya, novel ini memaparkan kepada pembaca tentang para manusia yang tidak dipandang oleh masyarakat umum cuba untuk berbuat sesuatu yang luar biasa, meskipun mereka hanyalah orang-orang biasa. Luar biasa itu bergantung kepada tingkatan usaha yang dijalankan, bukan hasil akhir. Hasil akhir hanya akan diketahui setelah habis berusaha. Jika terlalu membayangkan hasil tetapi tumpuan pada usaha tidak cukup baik, harapan untuk gagal total amat tinggi.
  • Mereka tidak menjangkakan sebuah kejayaan dalam kerja keji itu, tetapi usaha mereka yang luar biasa itulah yang membuktikan bahawa di tangan orang-orang biasa, sebuah mimpi mampu melahirkan tindakan yang luar biasa.
  • Andrea Hirata masih berbicara soal mimpi dan usaha. Itulah semangat di dalam novelnya.

Tiada ulasan: