Khamis, 11 Mac 2021

ISRAK MIKRAJ 1442H


  • Malam ini ialah malam 27 Rejab 1442H.
  • Telah disepakati bahawa pada tarikh ini, nabi kita telah diperjalankan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa sebelum dibawa naik ke Sidratul Muntaha untuk menghadap Allah dan menerima perintah solat yang kita amalkan selama ini.
  • Kisah yang penuh dengan elemen ghaib itu kita imani tanpa ragu-ragu. Pun begitu, perbahasan ilmu tetap berjalan di mana ada pendapat lain yang mengatakan bahawa mikraj nabi ke langit itu bukan bersekali roh dan jasad, sebaliknya hanya roh sahaja. Mereka nak berbahas begitu dengan dalil-dalil yang mereka kemukakan, janganlah kita terlalu bersusah hati dengannya. Kita tetaplah dengan keyakinan kita bahawa nabi naik ke langit dengan roh dan jasadnya.
  • Perintah solat yang disampaikan kepada nabi kita adalah sebanyak 50 waktu sebelum nabi kita bertemu Musa a.s. dan menasihati baginda untuk merayu kepada Tuhan untuk dikurangkan. Setelah beberapa kali menghadap, jadilah 5 waktu seperti yang kita tunaikan sekarang.
  • Kalau kita orang awam ni mungkin kurang perasan, bahawa itulah satu-satunya perintah ibadah yang nabi terima secara terus daripada Tuhan. Sedangkan ibadah yang lain adalah melalui perantaraan Jibril a.s. Hal itu sudah menjadi bukti bahawa ibadah solat bukan ibadah yang boleh kita remehkan sesuka hati.
  • Solat adalah garis pemisah antara kita dengan mereka yang menganuti agama-agama lain. Jika kita tak solat terus-menerus, tak adalah beza di antara kita dengan mereka.
  • Solat merangkumi tiga elemen utama  iaitu hati, lafaz dan pergerakan anggota badan.
  • Hati adalah perlu untuk niat menunaikan solat, dan setiap amal ibadah kita di dunia ini adalah bermula dengan baik.
  • Lafaz adalah perlu untuk kita alunkan bacaan-bacaan wajib dan sunat di dalam solat seperti yang telah diajarkan baginda. Contohnya, wajib kita membaca surah al-Fatihah untuk setiap rakaat di dalam solat.
  • Pergerakan anggota badan adalah perlu untuk kita kerjakan gerak-geri solat yang telah diwarisi daripada tunjuk ajar baginda kepada keluarganya dan para sahabat lalu diajarkan kepada semua sampailah kepada kita.
  • Solat ini hakikatnya adalah sesuatu yang sangat aneh dan misteri. Kita ini menyembah Tuhan yang tidak dizahirkan dalam bentuk apa pun kerana kita telahpun mengimani dengan teguh bahawa Tuhan itu sama sekali tidak boleh disamakan dengan apa-apa yang diciptakanNya.
  • Justeru, kita menyembahNya dalam keadaan kita tidakpun dapat melihatNya. Kita terangkan apa cara sekalipun kepada mereka yang bukan beragama Islam, kita tetap tidak akan dapat menerangkan dengan jelas perasaan menyembah Tuhan yang tidak kelihatan di mana-mana, tetapi kerana IMAN, kita yakin bahawa DIA sentiasa WUJUD dan MAHA MELIHAT serta MAHA MENDENGAR. 
  • Kita melafazkan kalimah ALLAHUAKBAR (Allah Maha Besar), tetapi kita pun tidak mengetahui sebesar mana Allah itu. Mungkin kita dapat membayangkan alam semesta yang sangat hebat ini dicipta oleh Tuhan, tentulah Tuhan itu jauh lebih besar dari semuanya ini. Pun, kita tidak dapat membayangkannya secara nyata. Dan hakikatnya, kita tidak disuruh pun untuk membayang-bayangkan. Kerana Islam itu amat berkait rapat dengan keyakinan pada yang ghaib, dan Tuhan itu adalah perkara ghaib.
  • Samalah halnya dengan urusan roh. Sedang nabi kita sendiri tidak disampaikan padanya segala pengetahuan tentang roh melainkan sedikit sahaja kerana perihal roh itu adalah urusan mutlak Tuhan, bukan manusia.
  • Kerana itulah, bagi mereka yang tidak memahami perihal roh, mereka tidak akan dapat faham hakikat sebuah kematian. Selepas mati, adakah segala-galanya tamat tanpa sebuah pengadilan ? Itulah perkara ghaib yang tidak kita ketahui kerana hal itu adalah urusan Tuhan.
  • Israk Mikraj ini adalah peristiwa yang amat besar tetapi dewasa kini kian dilupakan oleh kita kerana kita terlalu sibuk dengan dunia. Kalau ingat pun hanyalah kerana ada negeri yang mengambil tarikh tersebut sebagai cuti umum.
  • Ambillah peristiwa Israk Mikraj ini sebagai perangsang untuk kita perbetulkan semula solat kita. Ilmu tentang solat itu bukan setakat apa yang kita belajar di sekolah agama dahulu, bahkan sangat banyak perkara-perkara lain yang tidak kita ketahui. Carilah kitab-kitab yang membicarakan tentang solat dan ambillah tahu sedikit sebanyak solat-solat sunat yang ada supaya dapat kita amalkan sebagai bekalan tambahan untuk dibawa ke timbangan.
  • Selamat mengenang jasa nabi kita, Muhammad s.a.w.
  • Allahumma solli 'ala Muhammad, wa 'ala ali Muhammad...

Tiada ulasan: