Beginilah. Apa sahaja yang melibatkan dana awam, mesti mengambil kira sentimen awam atau kepentingan awam. Sekarang ini, adakah UEC memenuhi piawaian tersebut - memenuhi sentimen awam?
Semua orang tahu UEC langsung tidak menepati dasar pendidikan kebangsaan. Ekosistem pengajaran dan pembelajarannya adalah berkiblatkan Taiwan. Ia tidak membawa semangat kebangsaan atau ke'Malaysia'an. Lebih teruk lagi, ia tidak menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Sekalipun kononnya demi memenuhi tuntutan kerajaan, para pelajarnya ambil juga subjek Bahasa Melayu, tetapi ia sekadar memenuhi kehendak peperiksaan, bukan memenuhi tuntutan pendidikan.
Pendidikan ni bukan sekadar melihat keputusan peperiksaan di atas kertas. Ia adalah medan membentuk jatidiri dan mengenal budaya sendiri. Dengan berkiblatkan Taiwan dan tidak diajar dalam Bahasa Melayu, di mana kita boleh yakin bahawa UEC ini memenuhi keperluan awam yang tertakluk kepada dasar kebangsaan ? Bagaimana pergaulan mereka dengan mahasiswa lain ? Saya yakin mereka akan membentuk 'komuniti' terperuk mereka yang langsung tidak membantu membina negara-bangsa yang kita canang-canangkan.
Dengan pengumuman terbaru KPT yang membenarkan sijil ini digunapakai untuk permohonan ke IPTA melalui kursus-kursus spesifik (bahasa Cina, tentunya), ia telah menjadi satu pertikaian oleh orang awam, termasuklah golongan akademik sendiri (baca: Anuar Ahmad). IPTA ini secara teknikalnya tentulah berbeza dengan IPTS. IPTA hadir dengan dana awam di samping penjanaan kewangan oleh pengurusan IPTA itu sendiri.
Sekali lagi, apabila ia melibatkan dana awam, keseluruhan sistem peperiksaan itu sendiri secara logiknya mestilah berkiblatkan identiti dan falsafah pendidikan negara kita, MALAYSIA, bukan TAIWAN. Apabila sistem yang tidak membawa falsafah negara hendak dicucuk masuk ke dalam institusi pendidikan nasional, munasabah sekali kalau ia ditolak. Kalau mahu, IPTS bolehlah dipertimbangkan. Jika memilih IPTA, anda wajib mengikut cara Malaysia.
Secara peribadi, saya teringin melihat kes UEC ini dibawa ke mahkamah dengan 'political will' yang kuat untuk ia dimuktamadkan sama ada sah mengikut dasar pendidikan negara atau tidak. Jika tidak, ia wajar ditolak sama sekali. Bukan semua benda kita perlu ikut rentak luar sehinggakan kita menggadaikan prinsip pendidikan kita yang sepatutnya menyatupadukan rakyatnya, bukan membina jurang yang kian melebar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan