Sabtu, 15 April 2017

HIMPUNAN AKTIVIS MEDIA SOSIAL 2017 ???

Errr... siapa dia peserta himpunan ni ?

Kalau dirujuk melalui blog Najib Razak, dia kata begini,



"Malam semalam amat bermakna bagi saya kerana dapat berjumpa, berhimpun dan bergaul bersama aktivis media sosial pro Kerajaan Barisan Nasional."

Nah. Baru saya dan anda semua boleh faham kan.

Aktivis apa benda. Rupanya Aktivis Sosial Pro Kerajaan Barisan Nasional. Bahasa mudahnya, penyokong BN.



Sumber: Blog Najib Razak

Selalunya, yang saya faham tentang perangai aktivis ni, dia punya 'cause' bukan mempertahankan dasar kerajaan, tetapi dia memperjuangkan 'cause' yang berkaitan sepenuhnya dengan rakyat marhaen. Contohnya, alam sekitar, agama, kanak-kanak, hak gender, pendidikan, ekonomi kelas bawahan dan sudah tentu, politik. 



Aktivis Syed Azmi

Sehingga entri ini ditulis, saya tak berjumpa lagi seorang aktivis yang beria-ia mempertahankan kerajaan. Kebiasaannya, mereka kritik dan kritis terhadap satu-satu dasar yang dijalankan. Mereka tidak telan bulat-bulat apa yang pak menteri katakan. Mereka akan bidas, mereka akan kritik, mereka akan kritis, bahkan mereka juga boleh bersifat sinis. Tidak begitu mudah untuk sebuah kerajaan bersama aktivis kerana aktivis itu sifatnya melawan. Kadang-kadang, mereka langsung melawan arus dengan norma kebiasaan masyarakat.
Secara jujur, saya sendiri agak takut dengan gerak kerja aktivis. Sangat luar biasa. Apa saja isu yang mereka perjuangkan, mereka 'all out'. Mereka beri habis-habisan. Malah kadangkala gerak kerja mereka jauh lebih baik daripada kerajaan.

Oleh itu, apa yang diperkatakan Najib Razak ini sangat janggal dan tidak menepati rukun seorang aktivis,



"Mereka ini bukanlah calang-calang orangnya, mereka ini panglima di alam maya yang begitu setia mempertahankan dasar Kerajaan Barisan Nasional, mempertahankan maruah parti dan membidas segala pembohongan yang giat dipermainkan oleh pembangkang sejak sekian lama."

Panglima di alam maya ?
Mana cukup di alam maya. Kalau nak jadi panglima dia tidak sahaja hebat di alam maya, tetapi juga di alam nyata.



William Cheah

Setia ?
Come on. Setia yang Najib Razak maksudkan ini apa dia ? Setia membabi buta tanpa mempertikaikan apa-apa ?

Percayalah, kesetiaan membabi buta ini hanya ada pada seorang penjilat yang mahukan keuntungan daripada kerajaan. 

Aktivis sekalipun setia, dia tetap akan memperhalusi. Jika perkara itu dilihatnya tidak betul dan memberi kesan negatif, dia akan persoalkan. Sekiranya kerajaan masih buat bodoh, dia akan lawan. 

Kata kuncinya ini adalah LAWAN.

Perkembangan baru-baru ini agak menarik. Tahun-tahun terdahulu, tak banyak buku-buku yang bersifat melawan ini diterbitkan. Namun, kebelakangan ini ramai penulis muncul dan menulis serta menerbitkan buku yang meresahkan ramai pak menteri dalam kabinet (masih ingat ebook berkaitaan TPPA yang berlatarkan gambar babi dan harimau ?). Agak bengang Mustapha Mohamed ketika itu. Namun, itulah yang sewajarnya berlaku. Para menteri wajib dikejutkan daripada lena yang panjang dan seronok. Mereka tak boleh ingat SEMUA perkara yang mereka buat itu memberi kesan yang baik meskipun mereka beralasan KAJIAN mendalam telah dibuat.

Ada banyak lagi buku-buku yang diterbitkan dan 'menyakitkan hati' kerajaan. Ada ramai penulis yang cuba membawa idea baru yang hendak menerobos sempadan pemikiran sempit orang-orang besar, terutama para agamawan. Mereka menganggap ramai agamawan di Malaysia tersangat selesa dengan pangkat dan pengaruh mereka, lalu mereka dilihat tidak berani untuk membuka lembaran baru dalam perkembangan ilmu agama di negara ini. Kerana itu, wujud buku-buku yang berkisar tentang sesuatu yang sangat sensitif.

Kalau anda rajin membaca, anda mesti tahu satu ketika dahulu ada sebuah buku yang diterbitkan dan langsung diharamkan kerana ianya DILIHAT sensitif oleh kerajaan. Bukunya merupakan tulisan Kassim Ahmad yang berjudul Hadis-Satu Penilaian Semula. 


Kalau saya boleh katakan, himpunan ini tidak semegah mana kerana Najib Razak hanya mengumpulkan 'bala tentera penjilatnya' sahaja. Jadi tajuk himpunan itu terang-terang salah. Sepatutnya dia tulis di situ 'Himpunan Aktivis Media Sosial Pro-BN 2017'. Itu baru betul. Jika dia tulis umum begitu, sepatutnya dia dengan beraninya menjemput penulis-penulis di media sosial yang sangat hebat dan 'berbahaya' kepada kerajaan. Baru kau dikira anak jantan.


Saya berkeyakinan tinggi para aktivis media sosial kita ini juga, akan terus memainkan peranan mempertahankan Kerajaan dan membantu mengekalkan Barisan Nasional di Putrajaya.   
Ini semua kerana mereka, seperti saya dan jutaan rakyat Malaysia lagi, percaya bahawa di bumi Malaysia ini tidak ada pilihan yang lebih baik daripada Barisan Nasional. 
Saya mahu para aktivis media sosial kita juga ada kepercayaan diri dan melihat bahawa anda semua bukan sekadar aktivis tetapi adalah pejuang nasionalis.
Nampak ?
Membantu mengekalkan BN di Putrajaya. Itu sebenarnya objektif himpunan ini. Baik dia letak tajuk 'Himpunan Jentera PRU BN 2017'. Barulah jelas dan terang.
Kemudian Najib Razak katakan lagi bahawa mereka adalah pejuang nasionalis. Aduh, lemah lutut bila disebut begitu. Pejuang nasionalis bukan pejuang pertahankan kerajaan, sebaliknya pejuang yang mempertahankan hak rakyat. Itu pejuang nasionalis. Dan ia tidak memihak kepada satu bangsa, bahkan kepada semua bangsa yang ada di Malaysia.
Kita sudah lama berada dalam ‘defensive mode’. Cukuplah. It is now time to attack !
Attack apa atau attack siapa ?
Kau punya jentera sekarang nak serang sesuatu pun sebenarnya dah jadi serba salah. Kau nak serang salah laku orang, tapi kau punya pemimpin sendiri terpalit skandal yang maha besar. Kau nak serang orang, lagilah nampak jelas yang taktik kau itu adalah taktik lapuk dan ketinggalan zaman.
Lando Zawawi

Jadi, kita boleh ragukan Najib Razak ini sama ada dia ni tahu atau tidak apa yang dia katakan. Ataupun kesemuanya itu telah tertulis cantik-cantik di atas kertas oleh pegawainya dan dia tinggal membacanya sahaja dengan intonasi yang menjengkelkan. Terpekik terlolong macam bercakap dengan orang pekak.
Kesimpulannya, himpunan ini adalah himpunan kosong dan hanya untuk menggertak orang lain konon dia memiliki bala tentera yang ramai dan gagah.

Oh ya, saya kenal beberapa nama yang lebih layak dipanggil aktivis, anda boleh cari nama-nama ini:

a) Syed Azmi (sangat dekat dengan isu wanita dan kanak-kanak)
b) ZF Zamir (isu pendidikan)
c) William Cheah (kebajikan)
d) Lando Brotherhood (keselamatan jalanraya)

Agak menarik, mereka ini tidak mendabik dada dan menggelar diri mereka sebagai seorang aktivis, tetapi mereka cekal dan berani membawa isu yang dekat di hati masing-masing dan bekerja keras untuk membuka mata dan minda masyarakat supaya tidak buta hati terhadap keadaan sekeliling.

Kalau anda tak biasa membaca tulisan seorang aktivis, mungkin anda akan kurang selesa kerana betapa 'straight to the point' bahasa mereka. Tidak bermuka-muka dan tidak berpihak kepada mana-mana orang berkepentingan selain rakyat marhaen seperti kita semua.


Tiada ulasan: