Ahad, 8 September 2024

SIJIL HALAL

Pada saya, dalam hal melibatkan persijilan ini, kesemua pihak harus melihat ia dari sudut pandang yang rasional kerana ia bukan sesuatu yang diwajibkan ke atas semua umat manusia. Mencari yang halal lagi baik itu wajib ke atas umat Islam sahaja.

Saya ni tak peduli sangat dah apa yang orang-orang di dalam DAP ni cakap kerana kebanyakan mereka memang tidak reti bercakap dengan Bahasa Melayu yang betul. Seorang dua je yang boleh diharap seperti Anthony Loke dan Hannah Yeoh. Jadinya, konteks mereka bercakap itu sering membuahkan kemarahan orang-orang Melayu, terutama si Akmal ni yang terkenal dengan lagak samsengnya.

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, menempelak tindakan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang mendakwa cadangan mewajibkan perolehan sijil halal ke atas restoran dan syarikat makanan hanya menambah beban kepada peniaga.

Dr Muhamad Akmal menegaskan perolehan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bukan saja membabitkan larangan kandungan arak dan babi tetapi merangkumi bagaimana sesuatu makanan itu disediakan dan sumber penyediaannya.

"Saya nak beritahu... sijil halal dulu berbulan nak dapat. Hari ini, kita sudah pendekkan sehingga 23 hari saja, sudah dapat sijil halal.

"Jadi, apa masalah kamu dengan sijil halal ini. Kalau kamu tidak suka, ia tidak membabitkan kamu pun," kata beliau melalui TikToknya, hari ini.

Semalam, media melaporkan, Teresa mendakwa, pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan dilaksanakan secara paksa.

Naib Pengerusi DAP itu mendakwa, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan dan beban kepada perniagaan kecil, selain bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya dan mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.

Ia susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, kelmarin yang JAKIM mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal.

Dr Muhamad Akmal, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau mendakwa tindakan Teresa itu yang sebenarnya memalukan negara, yang disifatkan beliau sering mengganggu gugat keharmonian.

"Kalau kamu tak tahu mengenai agama kami, jangan cakap. Kamu diam lebih elok," katanya.

Saya rasa macam si Akmal ni melebih-lebih dan seperti nak tunjuk dia jaguh pembela Melayu dan Islam sejati. JAKIM baru mempertimbangkan saja cadangan tersebut, bukan dah diwajibkan pun. Orang macam Teresa ni memberi maklumbalas kononnya dia bercakap mewakili pengusaha-pengusaha restoran di seluruh negara ini yang dimiliki oleh bukan Islam tetapi tidak menghidang babi dan arak di dalam menunya.

Sebenarnya, perlu atau tidak kita nak marah-marah dalam hal ini ? Hakikatnya tak perlu pun. Orang kita (baca: Muslim) pun ramai yang malas dan tidak cakna dengan apa yang mereka makan dan tempat mereka memesan makanan. Contohnya restoran mamak. Perlu diingat ya bahawasanya halal itu bersekali dengan toyyib. Bermakna ia merangkumi semua aspek kebersihan. Ceritanya, berapa banyak restoran mamak di luar sana yang begitu kotor dapurnya namun orang kita tak pernah peduli dan masih makan dan minum di situ ? Begitu juga dengan restoran tom yam yang dimiliki oleh orang-orang Siam ini ? Pernah jengah keadaan dapurnya ? Kita memesan makanan di FoodPanda pun tak selalu berfikir sama ada kedai yang kita pesan makanannya itu bersih atau tidak meskipun pengusahanya adalah Muslim.

Apa yang lagi menarik, kadangkala orang bukan Islam pula yang bertanya, "Eh you makan sini tak tau ke sini tak ada halal punya logo ?" Dia cakna tetapi kefahamannya dah sedikit tersasar tentang logo halal itu. 

Kita mencari yang halal adalah untuk memastikan sekiranya hidangan masakan melibatkan binatang sembelihan seperti ayam, lembu, kambing dan lain-lain, ia diyakini datang daripada sembelihan yang sah dilakukan oleh orang Islam. Kemudian, kesemua hidangan makan tersebut diproses dengan bersih sama ada peralatan dapurnya mahupun barang-barang masakan di dapur itu. 

Dengan persijilan halal itu, sekurang-kurangnya ada satu badan yang bertanggungjawab telah mengesahkan bahawa pengusaha restoran atau kedai makan itu telah mematuhi kesemua piawaian yang ditetapkan untuk satu-satu restoran diyakini tanpa sebarang keraguan mengenai cara ia memproses makanan.

Jadi Akmal, yang patut kau cakap pada si Teresa memandangkan engkorang ni berada dalam gabungan PH ialah bagaimana silapnya Teresa dalam menanggapi isu ini yang pada dia dilihat sukar namun sebenarnya sangat bagus untuk prospek perniagaan satu-satu pengusaha itu, sekalipun ia dimiliki oleh bukan Islam. Kerana tidak ada larangan mutlak kepada umat Islam untuk tidak memakan masakan oleh orang bukan Islam sekiranya bahan-bahan dan peralatan memasak yang digunakan tidak bercampur dengan yang haram (di sisi Islam, tentunya). Ya , Akmal. Awak boleh tambah lagi kepada Teresa lagi bahawasanya is sebenarnya tidak mengganggu gugat keharmonian Malaysia ya. Ia bahkan menyuburkan lagi peluang perniagaan awak untuk berkembang dengan baik.

*KEMASKINI (8 September 2024)

Kenyataan Teresa hanya keruhkan keadaan, kata PM

SEREMBAN: Kenyataan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dalam isu pensijilan halal tidak mewakili pendirian Pakatan Harapan (PH), kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, kenyataan Naib Presiden DAP itu antara lain mencetuskan kontroversi yang tidak relevan kepada masyarakat di negara ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan juga menasihati mana-mana pemimpin politik untuk mengemukakan sebarang cadangan atau kebimbangan mengenai sesuatu perkara dalam mesyuarat supaya perkara itu boleh diteliti secara menyeluruh.

"Tak payah jadi begini kerana ini menimbulkan kontroversi yang tidak relevan dalam masyarakat kita.

"Ada masalah... peraturan perlu supaya umat Islam tidak rasa was-was. Namun kalau dia (Teresa) rasakan peraturan itu tidak diperlukan di kawasan tertentu, bincanglah secara elok," katanya ketika merasmikan Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban (arah selatan) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Maslan; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Hadir sama, Setiausaha kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zafir Ibrahim; Pengerusi Lembaga Lebuhraya, Datuk Seri Hasni Mohammad; Pengerusi PLUS Malaysia Berhad, Datuk Mohamad Nasir Ab Latif.

Kelmarin, Teres dipetik berkata, pelaksanaan pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan secara paksa.

Ahli Parlimen kerajaan dari DAP itu berkata, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan dan beban kepada perniagaan kecil.

Ini kerana, Teresa mendakwa pengenalan pensijilan halal secara wajib akan menambahkan kos pentadbiran.

Khamis lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na'im Mokhtar, berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal.

Kenyataan Teresa itu mendapat kecaman daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin UMNO, pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Dewan Perniagaan Melayu Malaysia.

Sementara itu, Anwar yang juga Pengerusi PH berkata, Teresa tidak sewajarnya mengeluarkan sebarang kenyataan yang disifatkan tidak membantu untuk menjernihkan keadaan.

"Kalau dia mahu mewakili beberapa pihak, tidak mengapa... tetapi tidak perlu (buat kenyataan sedemikian secara terbuka) kerana ia tidak membantu untuk menjernihkan keadaan.

"Kita kena jaga sentimen muslim dan bukan Islam. Cara dia (adalah) runding secara elok dahulu. Bukan tunjuk kehebatan masing-masing.

"Negara kita sudah dalam keadaan baik sekarang, politik sudah stabil, penghargaan dunia baik, ekonomi naik (justeru) perlu apa perkara ini nak merosakkan (keharmonian dan kesejahteraan negara)," katanya.

Tiada ulasan: