Selasa, 10 September 2024

BANKRAP - PENJAWAT AWAM PUN SAMA ?

Isu bankrap tak boleh dianggap normal dengan alasan kos sara hidup yang tinggi. Apa orang dulu-dulu tak hadap kos sara hidup yang tinggi ke ? Secara relatifnya sama je tak begitu jauh bezanya situasi kita dengan orang dulu-dulu. 

Keadaan orang yang ditimpa status bankrap dalam pengurusan kewangan mereka ini kebanyakannya berpunca daripada faktor kegagalan mengurus kewangan dengan baik. Bukan sebab betul-betul susah pun.

Telefon bimbit nak dibeli secara ansuran.

Kereta nak dibayar secara ansuran. Kereta mewah pulak tu. Tak ada kelas pakai Proton atau Perodua sebab senang rosak katanya. Padahal kereta mewah pun kalau penggunanya bodoh bab penjagaan kereta sama je tersadai di bengkel juga akhirnya.

Water filter cap Coway, Cuckoo nak dibayar secara ansuran. Padahal penapis Joven atau Panasonic yang dipasang di tepi sinki dapur tu dah memadai. Cuma, disebabkan orang kita ni ramainya pemalas nak masak air dan simpan air di dalam bekas, maka terjuallah filter premium ini dengan jayanya dalam jumlah yang banyak.

Rumah nak dibayar secara ansuran. Baiklah, rumah adalah aset sekiranya betul kita nak bermastautin di situ sampai mati. Cuma, dalam beberapa keadaan, ada yang menyesal tak sudah kerana membeli rumah di kawasan yang berisiko seperti mudah ditimpa banjir atau semakin tak selamat kerana struktur tanah yang mudah runtuh dan sebagainya.

Langgan ASTRO ambil pakej paling mahal. Tontonnya taklah sekerap mana pun. Dalam banyak keadaan, ASTRO masih dikira privilege, bukan keperluan.

Netflix nak dilanggan juga. Pun dengan bayaran bulanan. Ambil yang paling mahal sebab boleh dipasang di beberapa 'device' serentak.

Beli barang di Shopee nak dibayar secara ansuran. SpayLater tu selagi dapat diguna sampai habis dia taram beli segala benda yang tidak kritikal pun.

Betapa banyak benda nak dibayar dengan ansuran.

Beli insuran keluarga dibayar bulan-bulan. Ok, ini mungkin ada gunanya dalam beberapa keadaan kecemasan. 

Hal-hal lain seperti melancong, pakaian dan sebagainya belum dikira lagi. Hal-hal anak sekolah belum masuk lagi dalam bajet.

Peringkat awal rasa macam semuanya boleh dibayar dengan gaji yang ada.

Dan ya, KAD KREDIT. Benda ini kalau disalah urus memang terjelepuklah kita melihat penyatanya di hujung bulan. Tapi, rasa macam boleh bayar lagi kot. Pada sangkaan kita. 

Tetapi.

Rupa-rupanya kita lupa perkara-perkara kecemasan seperti jatuh sakit, kereta yang tengah dibayar tu rosak dan rumah yang tengah diduduki tu perlu dibaiki kerosakannya. 

Barang-barang keperluan hidup yang mencanak naik harganya. Mulalah rasa tersepit. Pada masa seperti ini, alternatif yang berisiko mula jadi perhatian iaitu 'personal loan'.

Kebanyakan personal loan yang boleh dimohon sekarang sangat senang diluluskan. Dalam aplikasi E-wallet Touch n Go pun boleh mohon. Dalam aplikasi CIMB Octo pun ada. Pendek kata nak dapat akses kepada institusi kewangan yang tawarkan pinjaman secara sah dah makin senang. Tapi dia punya bunga memang tinggi. Samalah ceritanya, pada peringkat awal rasa macam boleh ikut jadual bayarannya. Tapi pada satu saat dan ketika, semua jadi sangkut dan buntu.

PUTRAJAYA: Kira-kira 10 hingga 13 peratus daripada kes kebankrapan baharu yang didaftarkan antara 2021 hingga tahun ini membabitkan penjawat awam.

Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia (Mdl) Datuk M Bakri Abd Majid, berkata lebih membimbangkan data berkenaan menunjukkan trend peningkatan dari tahun ke tahun walaupun data kebankrapan nasional menunjukkan penurunan.

Berdasarkan data terbuka Mdl, beliau berkata, statistik kebankrapan individu daripada sektor awam adalah sebanyak 12 peratus pada 2020, 2021 (10 peratus), 2022 (11 peratus), 2023 (13 peratus) dan 14 peratus setakat ini bagi tahun ini.

"Kegagalan pegawai awam menguruskan kewangan dengan baik bukan saja memberi kesan kepada individu dan keluarga, malah kepada ekosistem perkhidmatan awam.

"Bagi penjawat awam yang diisytiharkan bankrap, tindakan tatatertib boleh diambil akibat keterhutangan yang serius selain mencemarkan imej perkhidmatan awam.

"Ia sekali gus menjejaskan peluang kenaikan gaji dan pangkat selain kelayakan pembayaran bonus dan bantuan kewangan turut terjejas," katanya dalam kenyataan semalam.

M Bakri menjelaskan, dalam sesetengah kes, terdapat juga penjawat awam yang memohon untuk membangkrapkan diri sendiri bagi mengurangkan tekanan hutang yang berpanjangan.

Di pihak jabatan pula, beliau berkata, ketua jabatan seharusnya memantau tahap keberhutangan petugas di bawah selian masing-masing dan peka terhadap perubahan kelakuan mereka.

"Tindakan pencegahan awal harus dijalankan dengan memperbanyakkan aktiviti berkaitan pengurusan kewangan peribadi dan jabatan juga boleh bekerjasama dengan pakar atau penasihat kewangan bertauliah bagi membincangkan hal berkaitan pengurusan kewangan," katanya.

Beliau menambah kegagalan Ketua Jabatan melaksanakan tanggungjawabnya boleh mengundang gejala rasuah dan salah guna kuasa dalam jabatan.

Mengenai Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dengan pelarasan gaji yang lebih baik, beliau berkata, biarpun ia melegakan keresahan penjawat awam, tidak kurang ada pihak yang bersedia 'menangguk di air keruh' untuk menawarkan pinjaman baharu yang 'tidak sihat' kepada penjawat awam yang lalai.

M Bakri berkata, 'kitaran jahat' berkenaan perlu dihentikan daripada terus merencatkan aliran tunai penjawat awam dan peranan semua pihak termasuk ketua jabatan amat diperlukan bagi mengekang masalah berkenaan.

"Selaras dengan pengumuman gaji baharu, pekerja sektor awam dilihat telah menjanjikan perubahan cara kerja atau tahap produktiviti lebih baik, namun ia bukan sekadar dua perkara itu saja malah pemikiran juga perlu diubah," katanya.


Jadi, berhati-hatilah kita dengan duit kita sendiri. Janganlah berpegang pada mazhab duit aku, aku punya sukalah. Nanti di belakang hari menyesal tak sudah. Mulalah nak berhutang dengan kawan-kawan pulak. Eh, berhutang dengan kawan-kawan ni tak ada masalah sekiranya kita boleh membayar semula. Orang yang tak mahu bayar hutang ni yang celakanya.

Jadi, janganlah jadi manusia yang mencelakakan dirinya sendiri dengan terjebak di dalam kancah hutang yang tak putus-putus. Bersabarlah dengan kemewahan dunia kerana dikhuatiri anak isteri yang kena menanggung malunya. 

Tiada ulasan: