Rabu, 28 Ogos 2024

MAHU ANGKAT MELAKA KE PERSADA ANTARABANGSA - REMY ISHAK

Saya tak tahulah apa perancangan dirinya untuk mengotakan kata-katanya itu, tetapi begitulah kenyataannya kepada media susulan penganugerahan darjah kebesaran Negeri Melaka yang membawa gelaran Datuk di pangkal namanya.

Remy Ishak berasal dari Masjid Tanah, Melaka. Saya kira itu sudah boleh memberi kita sedikit gambaran tentang justifikasi penganugerahan ini. Anak Melaka yang terkenal di persada hiburan tanahair. Sikit-sikit Remy Ishak, sikit-sikit Remy Ishak. Begitulah umpamanya.

Tetapi, popularitinya itu saya kira masih belum cukup meluas. Tidaklah dapat saya pastikan sama ada namanya dikenali di tanah seberang, namun untuk mensabitkan namanya dengan membawa nama Melaka ke persada antarabangsa saya kira adalah mimpi yang sukar dicapai, bukan mustahil. Cuma sukar dicapai berdasarkan status sosialnya sekarang.

Pun begitu, kita boleh ambil begini. 

Beberapa orang pelakon handalan Hollywood juga ada menerima darjah kebesaran dari England yang membawa gelaran 'Sir' di hadapan nama mereka. Kebiasaannya, mereka ini adalah orang yang begitu lama berkecimpung dalam bidang seni dan menyumbang banyak dalam lapangan seni seperti sumbangan kewangan, dan juga ada dari kalangan mereka ini bergerak aktif sebagai aktivis yang membawa suara awam terhadap satu-satu isu seperti pendidikan, kemiskinan, alam sekitar dan sebagainya. Contoh artis yang menerima darjah kebesaran ini adalah Sir Michael Caine. Pada tahun 1992 beliau dianugerahkan Commander of the Most Excellent Order of the British Empire dan pada tahun 2000, beliau dianugerahi Knight Bachelor yang membawa pangkat 'Sir' di pangkal namanya.

Anugerah besar ini diterima beliau kerana sumbangan beliau yang besar di dalam dunia perfileman, sekaligus mengharumkan nama tanah asal kelahirannya. Ya, beliau cemerlang di Hollywood tetapi orang tetap akan bertanya asal-usul kita, "Dia ni asal orang mana ?"

Jadi, cerita Remy Ishak ini lebih kurang begitulah. Kita dah tahu beliau berasal dari Melaka. Dan dengan penganugerahan ini, nama Remy Ishak bukan lagi biasa-biasa. Justeru, beliau perlu mengangkat namanya dulu dalam lapangan seni dengan memilih tawaran lakonan yang lebih baik berbanding drama-drama picisan yang berlambak di stesen TV itu. Ya, industri hiburan kita tidak besar mana. Jadinya, kenalah pandai 'marketing' diri dengan menjual bakat kita ke luar negara. Ataupun, jadi macam Datuk Yusuf Haslam. Bina satu prestij pada nama kita supaya disegani dan jauhkan diri dari terlibat dengan cerita yang bukan-bukan.

Tapi... keluar pula cerita pakai subang di hidung apa cerita beb ? Hehehe...

Tiada ulasan: