Isnin, 26 Ogos 2024

Kasih sayang kepada Syamsul tak pernah berubah - Yusof Haslam

Kadang-kadang, saya rasa kasihan pada Datuk Yusuf Haslam. Pada usianya begini, beliau terpaksa menghadap asakan soalan dari media berkaitan anak jantannya yang satu itu. 

Yang bergaduh-cerai, anaknya.

Yang bermasam muka, anaknya.

Yang menikah di Siam, anaknya.

Yang bercerai sekali lagi, anaknya.

Tapi, ayahnya pula yang diasak media. Yalah, anak kepada seorang pengarah dan penerbit filem terkenal, media hiburan agaknya berpendapat suara ayahnya pasti membuatkan cerita mereka ini lebih laku dari segi jumlah pembaca.

Beberapa ketika sebelum ini, ibunya sendiri tampak jelas berpihak kepada menantunya. Saya rasa hal ini membawa kepada rajuk hati yang berpanjangan pada diri Syamsul kerana dia mungkin menyangkakan bahawa ibu bapanya akan membelanya sehabis daya, macam jantan tak guna seorang lagi itu yang beria dipertahankan ibunya sedangkan anaknya berperangai entah apa-apa.

Tapi, ibu bapa Syamsul amat menyayangi menantu mereka yang seorang itu. Sementelah pula, mereka memperoleh cucu daripada rahim menantunya itu. Apabila diperlakukan sebegitu oleh anak sendiri kepada menantu mereka, mestilah dengan akal yang waras mereka tak boleh terima. Menikah di Siam secara rahsia itu juga adalah kemuncak kepada sebuah pengkhianatan dalam berumahtangga.

Pada satu masa dan ketika, mungkin juga ibunya terbawa-bawa dengan emosi seorang wanita dengan memberikan banyak komentar tentang situasi keluarga anaknya itu. Pada hemat sebahagian orang, ibunya patut biarkan sahaja si Syamsul menguruskan masalahnya sendiri, tak perlu ditambah rencah pedas yang menghangatkan lagi situasi keluarga anaknya.

Lima tahun untuk merajuk itu adalah tempoh yang lama.

"Kita pun sebagai orang tua bukan pengemis kepada anak sendiri. Tetapi, kasih sayang kami sebagai ibu bapa kepadanya (Syamsul) tidak pernah berubah dan berbelah bahagi." [1]

Begitu kata Datuk Yusuf Haslam dan betapa benarnya. Ibu bapa tidak sewajarnya mengemis kasih daripada anak sendiri. Mereka ada amal ibadah yang hendak diberi tumpuan sebelum pulang ke negeri abadi. 

Tapi seperti mana yang kita faham, hati yang merajuk bukan mudah hendak diubati.

Cuma, kalau Syamsul betul hendak berusaha memulihkan semangat dirinya (kita semua tahu hidup kepura-puraaan konon kita kuat dan masih bertahan), dia seharusnya pulang ke pangkuan ibu dan ayahnya.

Isteri boleh bertukar ganti, tapi ayah dan ibu hanya satu dan takkan kembali kalau sudah pergi.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud : “Keredaan Allah terletak pada keredaan kedua ibubapa, dan kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa.”

Riwayat al-Tirmizi (194)

Mungkin dari hadis ni, Syamsul boleh belajar sesuatu tentang perkara yang menimpa dirinya sekarang. 

Tidak ada yang hendak dibanggakan dengan pencapaian duniawi kita kalau nanti di alam barzakh kita diasak oleh malaikat kerana 'bermusuh' dengan ayah dan ibu kita sendiri hanya kerana seorang perempuan.

Wallahua'lam.

[1] Kasih sayang kepada Syamsul tak pernah berubah - Yusof Haslam, 

https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2024/08/1289888/kasih-sayang-kepada-syamsul-tak-pernah-berubah-yusof-haslam

Tiada ulasan: