Ahad, 16 Jun 2024

MENANGGAPI HIDUP - SESAL YANG TIDAK BERPENGHUJUNG

 "He is Sparta's general, but he is also made of flesh and blood. Life cannot be lived without some regrets." 

-Stentor, Assasin's Creed Odyssey, 2018

 



Saya sedang bermalas-malas sambil menonton permainan video di Youtube. Assasin's Creed Odyssey, saya rasa mungkin ada di antara anda tahu benar tentang permainan ini. Sedang karakter-karakter di dalam permaian itu bercakap di dalam satu misi, keluar lontaran dialog yang saya petik di atas ini oleh salah seorang wataknya bernama Stentor, seorang pahlawan Sparta. 

Saya tertarik dengan apa yang dikatakannya itu. Ketika itu wataknya sedang berbicara tentang watak general Sparta yang kuat dan gagah. Namun, katanya meskipun gagah, sesekali pandangannya kosong dan punya maksud kesedihan yang tak terungkap, atau mungkin juga yang tidak dapat ditebus dengan apa pun.

"Life cannot be lived without some regrets"

Secara literalnya mungkin bermaksud begini, "Kehidupan tidak dapat dijalani tanpa sedikit penyesalan." Ertinya, tidak mungkin kita jalani hidup ini tanpa sebarang penyesalan dalam apa jua peristiwa yang telah kita alami.

Saya kira itu tepat, bukan ?


Betapa banyak kekesalan yang kita tanggung dan tidak tertebus. Kita hanya mampu berdamai tanpa melunaskan 'hutang perasaan' yang tidak 'berbayar'.

Pada diri saya sendiri bahkan begitu banyak kekesalan. Ada yang terubat di peredaran masa. Namun, ada yang kekal menjadi 'kenapa aku berbuat begitu?' dalam hidup saya.

Pelajaran.

Pekerjaan.

Hubungan kekeluargaan.

Hubungan cinta.

Keputusan kemajuan hidup. 

Setiap satu daripada perkara ini ada kekesalan yang saya tanggung dan tidak mampu saya tebus. Saya tahu sebagai Muslim, nabi kita telah mengajar supaya jangan berkalau-kalau dengan takdir, kerana ia boleh mendatangkan rasa putus asa dengan rahmat Tuhan. Namun, sebagai manusia biasa yang penuh dengan kekurangan, ia tidak dapat dielakkan. Kerana itu, apa yang tinggal hanyalah memohon ampun kepada Tuhan atas perasaan yang tidak terluah itu.

Hidup dengan penyesalan ini sekurang-kurangnya membuatkan kita sedar akan satu perkara - jiwa kita ini hakikatnya juga dalam jagaan Tuhan. Dia Maha Mengetahui akan segala yang kita kalutkan. Beruntung juga kita punya suatu yang tidak terbayar dengan apa pun harta dunia iaitu iman. Kerana iman, meski kita punya kekesalan namun kita masih waras dalam menanggapi hidup ini. Kita mungkin mencari salah, tetapi tidaklah sampai menyalahkan Tuhan.

Kita tahu bahawa Tuhan menetapkan takdir bukan ikut suka nafsu kita, tetapi atas kebijaksanaanNya. Tuhan tidak akan membawa kita ke lembah kehancuran melainkan kita punya 'free will' untuk menentukan. Dengan 'free will' inilah kita memerlukan iman supaya kita tidak memilih sesuatu yang bersalahan dengan hukum Tuhan. Namun, Tuhan beri juga pada kita suatu yang namanya nafsu. Kebanyakan manusia menjadi hamba kepada nafsunya kerana dia gagal mengurus nafsunya sendiri menurut apa yang Tuhan mahu. Kerana itu, adanya taubat dan penyesalan.

Nafsu itu perlu untuk keterujaan dan semangat dalam menjalani kehidupan. Hatta beribadah juga perlukan nafsu supaya semangat beribadah sentiasa ada. Namun, ia perlu dipandu dengan iman supaya kita tidak melampaui batas normal dalam apa jua keadaan.

Akhir kata, kita semua punya penyesalan. Ada kalanya kita menyesal dahulu. Ada ketikanya kita menyesal kemudian. Kesemuanya itu adalah sebahagian daripada kehidupan. Maka hadapilah ia dengan penuh rasa kehambaan. Barulah kita tidak meletak ego sebagai pilihan untuk menghadapi hari kemudian. Ego akan membentuk kesombongan dan kita tidak akan dapat memaafkan sesiapa pun, bahkan diri kita sendiri. Sebelum hati kita mati dengan kesombongan, eloklah segera dibuang dan diganti dengan nilai keredhaan kepada takdir Tuhan...


Tiada ulasan: