Ahad, 16 Jun 2024

HADIS, SALAM BAITULLAH DAN SEORANG USTAZ

Saya bukan ahli hadis, pakar hadis mahupun pelajar jurusan ilmu hadis di mana-mana universiti tempatan mahupun luar negara. Namun, saya tahu satu hakikat - Merujuk hadis bukan satu kerja yang mudah. Dulu-dulu, saya rajin juga berkongsi hadis itu-ini di dalam blog saya untuk saya gunakan sebagai hujah. Namun, pembacaan demi pembacaan serta penerangan demi penerangan dari orang yang alim dalam ilmu hadis, saya jadi takut dan cukup berhati-hati dalam hal yang melibatkan hadis. Hal ini kerana kalau saya tersalah petik dan saya gunakan sebagai hujah untuk perkara berkaitan agama, haru-biru jadinya. Dan perkara inilah yang menimpa seorang pendakwah selebriti (saya gunakan perkataan selebriti di sini kerana beliau membawa pendekatan popular dari sudut penampilan dan cara berhubung dengan masyarakat) iaitu Don Daniyal Don Biyajid.

Gambar hakmilik Harian Metro

Kalau yang baru ikut perkembangan Ustaz Don kita, isu yang paling popular sekarang ini ialah mengenai beliau yang bercerita tentang riwayat hidup Nabi Muhammad S.A.W. dan seorang wanita bernama Ummu Hani. Kerana bertubi-tubi asakan orang yang meminta beliau kemukakan kitab yang beliau rujuk namun beliau enggan, beliau terpaksa direhatkan sementara daripada program kendaliannya yang sedang hangat iaitu Salam Baitullah kerana RTM tidak mahu terjebak sama dalam pertembungan fikrah yang mengundang kontroversi. Namun begitu, pihak RTM dan JAKIM tetap berjumpa dengan beliau dan beberapa perbincangan telah memuktamadkan persefahaman di antara beliau dan pihak penerbitan, jadi tugas beliau disambung semula. Rasanya selesai dah ni. 

Namun, lagi sekali beliau mengundang kontroversi apabila beliau memetik satu kata-kata yang bagi saya semacam satu bentuk 'ganjaran yang dinyatakan secara berlebih-lebihan'. Dan hal itu adalah salah satu cara yang digariskan ulama dalam usaha hendak mengenal hadis palsu iaitu berlebih-lebihan dalam menghukum dosa dan berlebih-lebihan pula dalam mengganjari pahala untuk amal yang secara relatifnya ciput je impaknya kepada diri. Hal ini sebagai panduan, tapi kalau memang hadis tersebut sememangnya terbukti sahih, maka sahihlah ia tanpa keraguan lagi.

Kesan daripada kata-kata beliau di dalam program Salam Baitullah itu buat kali kedua, beliau akhirnya direhatkan terus daripada program tersebut. Penerbit Salam Baitullah pada hemat saya tentulah berpegang kepada pisang takkan berbuah dua kali. Jadi keputusan itu diambil. Dan percayalah, perkara ini akan berpanjangan sampai hujung tahun ini. Hehehehe.


Salam Baitullah ni asalnya program biasa-biasa sahaja yang diterbitkan RTM untuk mengiringi bulan Zulhijah sebagai pengisian untuk kita mengetahui tentang pergerakan jemaah haji di tanah suci serta perkongsian ilmu oleh para asatizah yang dijemput untuk menghurai atau menjawab salah faham tentang ibadah haji. Lama dah program ni. Tak ramai orang peduli pun. Namun, reformasi yang dijalankan oleh pihak RTM dengan penajaan yang mantap menjadikan program ini semakin berseri, ditambah pula dengan kehadiran pengacaranya yang saya boleh katakan sangat popular lantaran penglibatan beliau di dalam program Hijrah Berselawat di TV Al-Hijrah yang menampilkan kumpulan nasyid yang bernasyid dan berqasidah. Sebelum itu, beliau pun dah terkenal melalui program 30 Minit Bersama Ustaz Don (ada pula netizen yang ketemukan satu kajian tenang isi kandungan rancangan ini yang menggunakan hadis lemah sebagai dalil). Jadi, tak hairanlah 'rating' program ini mencanak naik untuk beberapa tahun ini. Pengaruhnya tak dapat dinafikan. Jadi, saya boleh andaikan yang Ustaz Don juga seronok dan 'excited' kerana pengaruhnya digunakan dengan baik untuk sebuah program yang suam-suam kuku pada asalnya. Kita beri kredit jugalah pada beliau atas perkara itu.



Pun begitu, RTM ada garis panduan. Dimaklumkan bahawa beliau telah dinasihati supaya tumpukan pada tugas sebagai pengacara dengan sedaya upaya mencungkil info atau maklumat tentang ibadah haji daripada asatizah yang dijemput. Dalam erti kata lain, jangan berpanjang lebar mengalahkan ustaz yang dijemput pulak. Itu yang terkeluar kata-kata melihat wajah guru lebih utama tu. Hal ini berlaku selepas peringatan pertama diberikan kepada beliau. 

Mungkin anda menempelak RTM yang 'menyingkirkan' Ustaz Don. Tapi dalam beberapa keadaan, RTM juga perlu praktikal dan menjaga statusnya untuk tidak terjebak dalam 'pertelingkahan' yang melibatkan urusan agama, lebih-lebih lagi pengajian hadis. Dan Ustaz Don bukan kakitangan RTM, jadi tak ada isu RTM jahat ke apa. Mana-mana pihak yang gagal ikut garis panduan yang ditetapkan, anda kenalah berundur diri. Buatlah podcast sendiri dan ceritalah apa yang anda nak cerita, dan tunggulah orang datang untuk menghentam atau menyokong anda. Itulah realiti dunia penyiaran zaman sekarang.

Dan, agak malang jugalah di negara kita ini kerana yang lebih sudu dari kuah itu adalah penyokongnya, bukan tuan punya badan pun. 

Jadi, kepada anda yang belum sempat menonton Salam Baitullah, tontonlah. Jawab kuiz, mana tahu boleh dapat tajaan umrah. Hihihi...

P/s: Kalau orang yang berpendidikan agama juga boleh melakukan kesilapan seperti ini, inikan pula kita orang-orang awam. Jadi jangan poyo sangat dan rasa kita tahu semua benda. Ambil iktibar dan carilah ilmu dari yang hak.



Tiada ulasan: