Isnin, 21 Ogos 2023

MENTERI BESAR SELANGOR - AMIRUDIN SHARI

Sultan Selangor dengan berkat daulat dan kebijaksanaannya telah memperkenankan pelantikan Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor untuk penggal yang baharu, sekaligus menamatkan teka-teki sama ada beliau digugurkan atau tidak. Selangor dalam keadaan sekarang hakikatnya adalah sebuah negeri yang amat istimewa dari sudut kaca mata ahli politik memandangkan ia adalah negeri yang terkaya di semenanjung. Siapa yang tak mahu pegang tampuk pentadbiran (saya lebih suka guna perkataan pentadbiran berbanding pemerintahan kerana pemerintah Selangor adalah sultannya, yang lain itu hanya pentadbir yang mengiringi pemerintah) sebuah negeri yang kaya weyh. 


KLANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua, Datuk Seri Amirudin Shari sekali lagi dilantik sebagai Menteri Besar Selangor dalam satu istiadat di Istana Alam Shah, hari ini.

Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta pengurniaan Surat Cara Lantikan itu diadakan di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Sebelum itu, kehadiran Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor itu di Istana Alam Shah dekat sini, pagi tadi, menamatkan teka teki sama ada beliau kekal menjadi Menteri Besar Selangor bagi penggal baharu.

Amirudin yang berbaju Melayu hitam lengkap bertanjak tiba di Balai Rong Seri Istana Alam Shah bersama isteri, Datin Seri Masdiana Muhamad.

Amirudin turut melafazkan ikrar Aku Janji merangkumi beberapa perkara yang perlu beliau penuhi dan patuhi sepanjang memegang jawatan itu.

Antara Aku Janji itu ialah menyimpan rahsia perbincangan bersama Sultan Selangor dengan pihak luar; menjunjung tinggi Rukun Negara; memelihara dan memastikan agama Islam tidak diganggu gugat serta menghormati agama lain; memelihara institusi raja daripada dicaci dan diganggu; memelihara kedudukan istimewa orang Melayu serta kepentingan sah kaum lain serta melaksanakan tugas dengan penuh integriti dan bertanggungjawab, selain memastikan kemakmuran negeri ini di tahap tertinggi.

Amirudin turut melafazkan untuk bersedia ditimpa bencana diturunkan Allah serta daulat Sultan Selangor jika melanggar sumpah sebagai Menteri Besar Selangor.

Istiadat itu turut disaksikan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Amirudin memegang jawatan Menteri Besar sejak 2018 berjaya mempertahankan kemenangan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor baru-baru ini.

Beliau adalah Menteri Besar Selangor yang termuda dalam sejarah kerajaan negeri apabila dilantik ke jawatan itu pada usia 38 tahun, pada 2018.

Beliau mempertahankan kerusi Sungai Tua berkenaan sejak 2008 dan pernah dilantik sebagai EXCO Pemberdayaan, Generasi Muda dan Sukan, Pembangunan Usahawan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi negeri.

Pada PRN lalu, Amirudin menang dengan jumlah undi 19,678 meninggalkan calon Perikatan Nasional (PN), Hanif Jamaluddin dan calon Bebas, Suman Gopal.

Amirudin yang pernah diumum oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Menteri Besar jika gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya, dilantik ke jawatan itu selepas PH-BN memenangi 34 daripada 56 kerusi DUN pada PRN 12 Ogos lalu.


Dari zaman Barisan Nasional memegang tampuk pentadbiran kerajaan persekutuan lagi mereka telah cuba untuk 'merampas' negeri Selangor dari 'cengkaman' Pakatan Harapan (formerly known as Pakatan Rakyat). Malangnya, secara mutlak mereka gagal. Demografi penduduk di Selangor ini sangat memainkan peranan dalam corak pengundian Pilihanraya Negeri dan juga Pilihanraya Umum. 

Sekarang, Pakatan Harapan - Barisan Nasional berhasil memegang pentadbiran Selangor. Cuma, terdapat peningkatan yang ketara dari Perikatan Nasional. 

Kalau ditanya sama ada PH-BN perlu risau atau tidak dari sudut ketahanan politik mereka, jawapannya ialah YA. Mereka perlu risau. Ia adalah bukti bahawa buatlah apa pun kebajikan dan kebaikan, sentimen yang melibatkan cerita-cerita seperti penindasan kaum, golongan liberal yang dilihat cuba merosakkan Islam akan terus dimainkan secara halus. Kita orang Melayu ni dia ada lemau sikit bab ugama ni. Kau keluarlah berita tentang peguam cabar keputusan mahkamah syariah (contoh), itu sudah cukup untuk dijadikan sentimen bahawa Islam di Malaysia DALAM BAHAYA. Takkan kita nak sokong kerajaan yang biarkan ISLAM di Malaysia dalam bahaya, ye tak ?

Untuk ini, jalan singkat yang akan dipilih ialah dengan menarik sokongan bukan Melayu. Malangnya, mereka ini tidak ramai dan bukan majoriti. Mereka boleh menyokong, tetapi sokongan mereka tidak kuat. MUDA ? Ah, Muda dari awal ambil pendekatan bodoh dengan bertanding solo. Undi orang muda semakin terpecah. Meskipun tidak ramai, tetapi tetap signifikan dalam menentukan corak orang mengundi.

Oh ya, mungkin kita boleh bercakap sedikit tentang Tun Mahathir. Tun Mahathir menyertai pentas PAS baru-baru ini. Katalah apa pun, suara Tun Mahathir ini jangan dibuat main-main. Kempennya dahulu amat memainkan peranan dalam menarik undi orang Melayu luar bandar sehingga BN ditendang jatuh oleh orang Melayu sendiri. Susah woh nak tukar undi orang Melayu luar bandar. Seperti mana orang kata undi orang Cina sudah 'fix' kepada DAP, begitulah juga dengan Melayu luar bandar yang setia dengan UMNO dahulunya. 

Tapi, kalau Tun Mahathir datang dan membawa naratif politiknya kepada pengundi dengan gaya bahasa yang kering, tidak beretorik dan straight to the point, kau rasa ia tak akan tinggalkan kesan kepada minda pengundi ? Hishamuddin Rais sendiri akui aura Mahathir semasa kempennya dahulu yang menyaksikan Pakatan Harapan berjaya menjatuhkan Barisan Nasional yang amat berkuasa dari sudut media dan duit. Bersatu yang diasaskannya dahulu apa pun tak ada. Bertanding pun pinjam logo PKR, tapi boleh menang besar. 

Kemudian berlaku pengkhianatan. Dia keluar bersatu, asaskan Pejuang, Pejuang kalah teruk ketika PRU, dia sertai pulak PN yang ada Bersatu di dalamnya untuk kempen PRN baru-baru ini. Inilah politikus sejati. Tak ada musuh abadi dalam diri aku. Semua boleh jadi kawan asalkan matlamat berjaya dicapai.

Saya kira, ahli politik di Selangor sangat perlu merenung kembali sejarah mereka sendiri. Pelantikan Amirudin Shari ini adalah rasmi, dan lebih banyak benda-benda remeh yang merencatkan kredibilitinya yang bakal menyusul, sebab Perikatan Nasional semakin melebarkan sayapnya di Selangor. Seorang Menteri Besar yang memimpin pentadbiran sebuah negeri yang kaya, kau bayangkan berapa banyak isu yang boleh ditimbulkan ? Zaman arwah Khalid Ibrahim dulu, pengurusan sampah pun boleh jadi cerita yang mencacatkan namanya.

Tahu apa masalah orang kita sekarang ini ? Orang kita sekarang ini suka menyokong orang yang SUKA buat kenyataan BODOH. Sebab orang bodoh yang berani itu nampak lebih berwibawa daripada orang pandai yang diam. Jadi ? Orang pandai pun sekarang kena bising sikit, jangan biar orang bodoh menguasai dan menjadi tarikan media.

Tiada ulasan: