Ahad, 12 Februari 2023

DOMINASI MELAYU ?

Bukan Ramasamy-lah kalau tak keluarkan kenyataan berbaur provokatif. Kadang-kadang orang macam ini kita cukup hairan. Orang tak kacau kau, tak petik nama kau, tak peduli apa yang kau buat, tapi kau tak pasal-pasal buat satu kenyataan yang entah apa-apa.

Apa kenyataannya ?

KUALA LUMPUR: Kerajaan Perpaduan di bawah kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, digesa melakukan reformasi dalam sektor perkhidmatan awam, supaya ia tidak lagi hanya didominasi oleh satu kaum.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr P Ramasamy, berkata perdebatan bahawa penyertaan ramai orang Melayu dalam sektor awam, bagi mengimbangi dominasi kaum Cina dalam ekonomi seperti dinyatakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak lagi boleh diguna pakai.

"Perkhidmatan awam di Malaysia bukan sahaja bertambah dari segi bilangan pekerja, ia terdiri daripada satu kumpulan etnik, kebanyakannya orang Melayu.

"Inilah sebab mengapa Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, meminta perkhidmatan awam dibuka kepada bukan Bumiputera di Sabah dan Sarawak, terutamanya dalam kalangan kaum Cina," katanya menerusi perkongsian di Facebook, hari ini.

Ramasamy yang juga Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, berkata dasar perkauman sedemikian tidak lagi boleh dipertahankan terutama ketika Kerajaan Perpaduan kini berada di tampuk kuasa.

Justeru itu, katanya, Perdana Menteri perlu segera menangani isu dominasi satu kaum dalam perkhidmatan awam.

"Sudah tentu Anwar sendiri menyedari perkara ini dan dalam keadaan politik sedia ada, beliau boleh secara perlahan memastikan perkhidmatan awam mencerminkan komposisi etnik di negara ini.

"Alasan yang sering diulang bahawa orang bukan Melayu menjauhkan diri daripada perkhidmatan awam kerana kekurangan prospek kenaikan pangkat dan sebagainya tidak lagi boleh digunakan kerana ia adalah satu bentuk diskriminasi kaum, sama ada secara terang-terangan mahupun tersembunyi," katanya.

Justeru, beliau berharap agenda reformasi di bawah Kerajaan Perpaduan dengan Pakatan Harapan (PH) sebagai teraju, perlu diteruskan seperti yang dijanjikan kepada rakyat.

"Kepemimpinan baharu di bawah konsep Madani tidak boleh sekadar memberi kata-kata bersifat berat sebelah dalam perkhidmatan awam.

"Saya yakin rakyat akan mengingatkan kerajaan sekarang mengenai janji tadbir urus yang baik," katanya. [1]

Saya tecari-cari juga statistik permohonan kemasukan ke perkhidmatan awam berdasarkan bangsa atau kumpulan etnik, tapi belum jumpa.


Saya ingat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam atau Jabatan Perkhidmatan Awam boleh jawab kenyataan orang tua ini. 

Kenyataan dia tu merujuk kepada data mana ? Statistik apa ? Main serkup-serkup je tu. Mujurlah Anwar Ibrahim lekas beri respon: 

KUALA LUMPUR: Kerajaan Perpaduan tidak melihat isu dominasi kaum Melayu dalam sektor perkhidmatan awam sebagai satu masalah ketika ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sehubungan itu, Perdana Menteri memaklumkan pentadbirannya tidak akan mempertimbangkan cadangan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr P Ramasamy yang meminta kerajaan melakukan reformasi dalam sektor perkhidmatan awam supaya ia tidak lagi hanya didominasi orang Melayu.

Anwar menegaskan cadangan Ramasamy itu hanya pandangan peribadinya dan tidak mewakili pendirian DAP atau mempengaruhi Kerajaan Perpaduan dalam memutuskan dasar berkaitan.

"Itu pandangan peribadi dia. Kalau perlu timbang, kita timbang. Tapi itu pun bukan pandangan DAP.

"Tapi kita jangan melarang orang bercakap, memberi pandangan. Boleh (beri pandangan), tapi ia tidak mempengaruhi keputusan DAP dan tidak mempengaruhi keputusan kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah dan Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Perdana Menteri mengulas kenyataan Ramasamy menerusi Facebook semalam, yang meminta Kerajaan Perpaduan melaksanakan reformasi dalam sektor perkhidmatan awam yang didominasi kaum Melayu ketika ini.

Ramasamy berkata, alasan kononnya penyertaan ramai orang Melayu dalam sektor awam bagi mengimbangi dominasi kaum Cina dalam ekonomi, seperti dinyatakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak lagi boleh diguna pakai.

Katanya, alasan mengatakan orang bukan Melayu menjauhkan diri daripada perkhidmatan awam kerana kekurangan prospek kenaikan pangkat dan sebagainya juga tidak lagi boleh digunakan kerana ia satu bentuk diskriminasi kaum, sama ada secara terang-terangan mahupun tersembunyi.

Justeru, Ramasamy mahu Anwar segera menangani isu dominasi satu kaum dalam perkhidmatan awam, dan boleh secara perlahan memastikan perkhidmatan awam mencerminkan komposisi etnik di negara ini. [2]


Daripada dia sibuk canang tentang dominasi apa segala, baik dia canang kepada orang bukan Melayu supaya beramai-ramai memohon masuk ke dalam sektor awam. Mohonlah. Tak ada siapa yang melarang awak daripada memohon. Mari meriahkan perkhidmatan awam dengan pelbagai kaum. Kita pun jenuh juga nak melayan orang yang sampai ke sudah tak fasih bahasa kebangsaan. Sekarang semua pakai sistem atas talian. Tak ada lagi main asing-asing borang atas meja. Tapi itu permohonan di bawah suruhanjaya-lah. Bawah PBT saya tak tahu. Hehehe...

Saya kira DAP sekarang amat perlu menjaga lidah orang-orang kanannya sebab kalau kau tersalah sikit aje, memang teruk kau kena sapu. Sentimen-sentimen semacam itu dah tak perlu kau besar-besarkan sebab dalam keadaan sekarang, semua orang sedang 'struggle' dengan keadaan ekonomi negara. Baiklah kau suruh orang-orang kau buat kerja diam-diam. Nak canang pun, pastikan PR kau bagus dan cemerlang. Jangan yang tak tentu arah. 

Nah, salah seorang yang saya suka gerak kerjanya adalah Anthony Loke. Berpuluh-puluh tahun kita bergantung kepada stiker LKM yang rendah kualitinya tu. Tup-tup dia mansuhkan dan gantikan dengan stiker digital. Anthony Loke tu kerja dengan siapa ? Dengan orang-orang Melayu-lah. Elok aje tak ada cerita dominasi apa benda semua tu.

Kalau kau kata Perdana Menteri perlu pastikan penjawat awam yang sedia ada sekarang semuanya berkualiti dan tidak culas bekerja, haa yang itu saya setuju sebab memang itu keperluannya. 

Kaum ? Buang masalah main sentimen kaum pada tahun 2023 ni.

Rujukan:

[1] 'Kerajaan Perpaduan perlu hentikan dominasi satu kaum dalam sektor awam negara',  https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/02/1062562/kerajaan-perpaduan-perlu-hentikan-dominasi-satu-kaum-dalam-sektor

[2] Dominasi Melayu dalam sektor awam bukan masalah - PM Anwar,  https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/02/1062752/dominasi-melayu-dalam-sektor-awam-bukan-masalah-pm-anwar


Tiada ulasan: