Khamis, 9 Februari 2023

'DOODLE' BUAT KAMN ISMAIL

 


Sekalipun anda pernah meminati animasi Usop Sontorian dan Keluang Man, belum tentu anda benar-benar ingat pada saudara Kamn Ismail (almarhum). Pada kredit kedua-dua animasi 'lejen' Malaysia ini telah tertera nama beliau sebagai pengarah.

Beliau adalah orang yang bertanggungjawab menceriakan zaman kanak-kanak kita dahulu melalui kedua-dua animasi ini. Itupun sebelum Anak-anak Sidek dan beberapa animasi lain menempa jalan yang sama.

Google pada kali ini telah menghasilkan 'doodle' untuk beliau sebagai tanda penghargaan di atas jasa dan baktinya dalam bidang animasi digital.


Usop Sontorian adalah sebuah siri animasi yang tidak boleh sama sekali diluputkan dari lipatan sejarah kartun negara kerana ia  terhasil daripada langkah berani anak Malaysia yang ketika itu tidak pernah diyakini pun boleh menerbitkan kartun sendiri.

Ya, mungkin kita pernah saksikan siri Sang Kancil, namun ia tidak sebesar Usop Sontorian. Untuk sebuah animasi tempatan mencapai siaran selama 3 musim adalah sesuatu yang amat dibanggakan pada tahun-tahun itu.

Siri Animasi Usop Sontorian

Siri Animasi Keluang Man


Di bawah pengarahan beliau, animasi Usop Sontorian berjaya mengetengahkan suasana kampung dan telatah anak-anak kampung yang sangat dekat di hati rakyat Malaysia (baca: penonton Melayu) ketika itu. Malahan, kampung Parit Sonto yang menjadi latar bagi animasi ini menggunakan ikon utamanya iaitu Usop sebagai gambar di papan tanda jalan masuk utamanya di Batu Pahat satu ketika dahulu.

Dan menariknya, dialog yang digunakan di dalam siri tersebut tersangatlah berbaur 'Majalah Ujang'. Sama seperti siri animasi 'The Amazing Awang Khenit'. Oleh itu, ia tidak kelihatan baku dan kaku sama sekali. 

Kalau ditonton oleh mata anak-anak zaman sekarang, memanglah animasi Usop Sontorian ini sangatlah 'hampeh'. Tetapi, setiap sesuatu itu memang mulanya sentiasa aneh dan meragukan sebelum jalan yang dirintis itu disambung oleh tenaga muda lain yang memiliki kekuatan ilmu dan kepakaran teknologi yang lebih terkini. Namun, jika ia tidak dimulakan oleh mereka ini, kita mungkin tak akan pernah berani sama sekali.

Justeru, usaha arwah Kamn Ismail dan rakan-rakannya amatlah wajar dikenang. Dan kita perlu beritahu pada anak-anak kita, bahawa satu masa dahulu, ada insan yang besar jiwanya dan berani meneroka jalan yang asing bagi rakyat Malaysia, dan orang itu ialah Kamn Ismail.

Semoga Tuhan mencucuri rahmat ke atas rohnya...

Tiada ulasan: