Selasa, 22 Ogos 2023

ABANG TESLA - CERITA TENTANG POLIGAMI

  • Menikah dengan jumlah lebih dari satu (poligami) ini adalah sesuatu yang digeruni para wanita masakini memandangkan kebanyakan lelaki yang mengamalkannya cenderung untuk berlaku sial terhadap isterinya yang pertama. Mereka kononnya menjunjung sunnah nabi yang satu ini, tetapi sunnah berlaku adil itu mereka taklah peduli sangat pun. 
  • Paling teruk, dah dapat kahwin baru, yang baru boleh pulak jadi punca yang pertama diceraikan. Mana tidaknya poligami ini dipandang serong oleh para wanita ? Sebab para pelakunya ramai yang khianat dan bingai sama sekali. Para lelaki yang takut dengan ketidakadilan yang mungkin boleh berlaku pula memilih untuk tidak terjebak dengan perbuatan seperti ini. Kesannya ? Poligami itu teruslah ditularkan dengan kisah-kisah tak senonoh.
  • Oh ya, bukan tak ada lelaki yang menjaga hubungan poligaminya dengan baik (Salih Yaakob sebagai contoh), tetapi hal seperti ini sering terpalit pula dengan satu lagi sentimen iaitu sentimen 'lelaki miang tak cukup satu nak tambah lagi'. Hal ini yang memberatkan lagi keadaan kerana situasi semasa membuktikan bahawa para pengamal poligami ini (termasuk yang baik-baik) cenderung untuk memilih wanita yang cantik dan bergetah berbanding dia mencari para ibu tunggal yang susah dan perlu dibela (sunnah asal poligami adalah ini, bukan semata-mata cantik).
  • Nabi Muhammad s.a.w. adalah contoh terbaik. Ketika Khadijah r.a. masih hidup, ada cerita tentang poligami muncul dalam riwayat hidup baginda ? Bahkan tidak. Menarik lagi, anak dara yang dinikahi baginda hanya Aishah r.a. seorang. Selebihnya adalah janda dan seorang dari kalangan hamba. Nabi menikahi mereka ini bukan atas dasar nabi itu miang tak boleh tengok perempuan cantik, tetapi kesemuanya adalah bertujuan memuliakan dan menjaga para wanita ini.
  • Nabi juga tahu betapa beratnya tanggungjawab pernikahan itu sehinggakan nabi menasihati bahawa sekiranya kamu takut tidak berlaku adil, maka nikahilah seorang sahaja. Jadi, orang-orang yang mengamalkan poligami ini perlu menjawab kepada pesan nabi yang satu ini - engkau semua yakin berlaku adil kepada pasangan-pasangan engkau semua ?
  • Poligami ini sebegitu teruk tercemar imejnya sehinggakan timbul kumpulan para wanita yang hidupnya menentang sistem ini dengan alasan ia karut dan menindas wanita. Nampak tak impaknya ? Mereka bahkan nekad menentang sesuatu yang tidak pernah Allah larang, itukan sudah melibatkan akidah. Jadi para lelaki ini sepatutnya bertanggungjawab memulihkan imej poligami daripada ia dikaitkan dengan soal memuaskan tembolok nafsu masing-masing kepada pemeliharaan maruah dan nasib wanita-wanita malang yang kematian atau kehilangan suami dan tempat bergantung. 
  • Para wanita yang membanting tulang menyara hidup menjaga anak tanpa ditemani suami di sisi yang sepatutnya menjadi perhatian para pencinta poligami. Tetapi, kebiasaan wanita ini pula memilih untuk 'stay single' memandangkan telah selesa mencari rezeki sendiri tanpa perlu mengambilkira pendapat orang atau suami sekiranya berkahwin.
  • Perkahwinan itu dahulunya amat mulia tujuannya demi untuk membina masyarakat yang baik. Hal ini kerana masyarakat yang baik terbentuk dari keluarga yang baik-baik. Dan poligami ini adalah salah satu jalan yang disediakan oleh nabi untuk memastikan para wanita yang kehilangan tempat bergantung mendapat pembelaan sewajarnya daripada para lelaki yang budiman dan mampu memberikan nafkah.
  • Jadi, cerita abang tesla yang beria-ia mencanang dirinya menikah satu lagi sampai isterinya menangis teresak-esak adalah sesuatu yang tidak patut sama sekali dicanangkan kerana ia boleh menimbulkan fitnah yang tidak berkesudahan. Tambahan pula mainan cerita dari media-media sosial yang turut membuka banyak pintu-pintu pertikaian. 
  • Mahu hidup jujur juga perlu cerdik. Jangan jadi bodoh tak tentu arah.
  • Nah, kalau mahu canang parti politik kau memperjuangkan Islam, bawa isu ini ke tengah. Suruh ostat-ostat kau sampaikan pesan kepada para lelaki di luar sana supaya berlaku adil kepada wanita. Hal ini nampak kecil, tapi impaknya besar pada masyarakat. Wanita tidak mahu lagi bergantung harap kepada lelaki dan dari sini, ia boleh pula membuka fitnah kecenderungan seksual yang maha dahsyat balanya kepada kita iaitu LGBTQ.

Tiada ulasan: