Isnin, 30 Januari 2023

TUKAR DEMI SEBUAH KEKUATAN ?

Aduh...

Macamlah tak biasa dengan parti kau ni.

'Timing' engkau selalu tak kena.

JOHOR BAHRU: Peralihan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor dibuat bagi merawat dan membangunkan semula kekuatan UMNO dan bukan untuk menguatkan mana-mana kelompok atau kumpulan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, yang dilantik mengambil alih jawatan itu daripada Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Hasni Mohammad, berkata peralihan jawatan itu bertujuan memastikan perpaduan dan kesatuan UMNO Johor tetap terpelihara.

"Ini satu tanggungjawab yang sangat berat dan saya berterima kasih atas kepercayaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi. Keutamaan saya ialah untuk memastikan perpaduan dan kesatuan UMNO Johor tetap terpelihara.

"Bukan sesekali untuk menguatkan mana-mana kelompok dan kumpulan, tetapi memulih, merawat dan membangunkan semula kekuatan UMNO," katanya menerusi kenyataan media, hari ini. 

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata, sudah menjadi adat berpolitik, pasti ada badai dan geloranya.

"Terimalah ia sebagai pasang surut dalam perjuangan dan akan ada hikmah terpenting daripada keputusan ini.

"Saya menyeru semua pemimpin UMNO Johor bertaut kembali dan bermuafakat demi kelangsungan parti.

"Saya tidak akan menyisih dan meminggirkan sesiapa. Bagi saya, semua adalah sahabat dan keluarga besar UMNO Johor, yang akan dirai dan dihargai," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pelantikan beliau sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor menggantikan Hasni, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut.

Mohamed Khaled, yang juga Menteri Pengajian Tinggi berkata, beliau sangat menghargai sumbangan besar Hasni terhadap UMNO Johor dan akan meneruskan kerja baik yang dilaksanakan pemimpin itu. [1]

Ayat orang dapat kuasa je tu. Betul ke nak memulih dan mengukuh tu ? Ke ada kena-mengena dengan laporan ini:
PONTIAN: UMNO Johor menegaskan, adalah tidak wajar untuk menghalang mana-mana ahli parti itu untuk menawarkan diri bertanding jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, walaupun ketetapan sudah dicapai dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022, semalam.
Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad, berkata ia berikutan kaedah usul tambahan berhubung jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan ketika PAU 2022 semalam, adalah melanggar perlembagaan parti.
Berikutan itu, Hasni yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, berpandangan isu pemilihan jawatan tertinggi parti itu perlu diteliti sewajarnya. 
Beliau berpendapat, cara usul tambahan itu dibawa melanggar kehendak perlembagaan parti, sedangkan usul itu perlu mendapat persetujuan dari Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).
"Ada juga pendapat menyatakan ia tidak mematuhi garis panduan ditetapkan ROS. Sama ada perkara itu benar atau sebaliknya, itu terpulang kepada pentadbiran UMNO menanganinya.
"Oleh itu, UMNO Johor berpandangan tidak perlu wujud sekatan kepada mana-mana pihak yang mahu bertanding atau menawarkan diri walaupun ada ketetapan tiada pertandingan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan akan datang.
"Saya percaya apa pun yang terjadi, Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan bersetuju dan majoriti pemimpin UMNO juga turut bersetuju bahawa tidak ada sekatan untuk mana pihak bertanding atau menawarkan diri walaupun adanya usul tiada pertandingan Presiden dan Timbalan Presiden.

"Malah saya yakin Presiden dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan tiada halangan, kalau ada ahli yang menawarkan diri untuk bertanding. Ini kerana saya percaya itu dibenarkan dalam perlembagaan dan itu adalah hak ahli yang dijamin melalui perlembagaan parti," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas acara mengangkat sumpah Ketua Kampung Daerah Pontian, di sini, hari ini.

Semalam, perwakilan UMNO dari Johor dilaporkan melahirkan rasa pelik apabila usul tambahan mengenai jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan yang dibawa oleh perwakilan Negeri Sembilan kelmarin boleh diterima dan dibahaskan.

Jurucakap UMNO Johor yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Datuk Pandak Ahmad, dilaporkan berkata mungkin parti itu kini telah menjadi 'pasti asal boleh'.

Usul tambahan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang seterusnya diluluskan pada PAU 2022.

Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil, dilaporkan berkata, usul berkenaan disokong hampir kesemua perwakilan yang hadir.

Dalam pada itu, Hasni yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian, berkata imej parti terutama selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pastinya mempunyai kesan pada pemilihan akan datang.

"UMNO Johor berpandangan masyarakat di luar terutama pimpinan parti di peringkat cawangan memandang tentang imej parti selepas PRU15. Kita tidak melihat selain daripada mahu menguatkan kedudukan parti.

"Oleh itu, parti seolah-olah digambarkan tidak menjunjung demokrasi atau kebebasan lebih-lebih lagi apabila ada ahli-ahli yang bertanya berhubung kelulusan usul tiada pertandingan Presiden dan Timbalan Presiden," katanya. [2]

Kalau aku jadi orang awam, bila baca kedua-dua laporan ini, boleh nampak ada yang panas bontot dengan kenyataan Hasni, weh.Tup-tup kau gugurkan dia dari jawatan pengerusi. Nampak sangat, tau tak ? Tak payahlah sembang 'ini hal dalaman parti'. 

Bila orang awam pertikai, kau kata jangan masuk campur. Tapi engkau jugak yang sangap muka tak tau malu minta rakyat (baca: orang Melayu) menyokong kau demi untuk sebuah kekuasaan macam dulu-dulu. Bila orang Melayu respon dan berikan komentar, kau kata ini hal dalaman. Kalau nak disokong, hal dalaman tu mesti mau cantik, brader. 

Ini kau kata nak mengukuhkan semula ? Kah kah kah. Selagi kuasa jadi rebutan, UMNO akan dirobek sedikit demi sedikit. 

Rujukan:

[1] Tukar pengerusi untuk bangunkan semula kekuatan UMNOhttps://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/01/1057548/tukar-pengerusi-untuk-bangunkan-semula-kekuatan-umno

[2] Langkah halang tanding jawatan Presiden, Timbalan tidak wajar - UMNO Johorhttps://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/01/1052229/langkah-halang-tandingan-jawatan-presiden-timbalan-tidak-wajar-umno

Tiada ulasan: