Ahad, 29 Januari 2023

TAK BOLEH KRITIK ?

Dalam perkhidmatan awam, manusia yang tidak sanggup menerima kritikan itu memang wujud dan kebanyakan daripada mereka ini adalah terdiri daripada golongan yang berjawatan tinggi. Contohnya macam lelaki di dalam laporan BH ini:

KUALA LUMPUR: Langkah tidak mengenakan tindakan kepada penjawat awam yang membuat kritikan secara terbuka di media sosial dikhuatiri akan menyebabkan perbuatan itu semakin berleluasa.

Ia seolah-olah memberi 'lampu hijau' kepada penjawat awam untuk mengkritik secara terbuka walaupun kritikan atau aduan yang dibuat itu mungkin tidak sahih.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (KONGRES), Jasni Md Kechik, berkata tindakan itu akan memburukkan sesuatu keadaan dan menyebabkan rakyat hilang kepercayaan kepada sistem atau dasar yang ditetapkan kerajaan.

Beliau berkata, banyak situasi boleh dijadikan contoh, antaranya kes Cikgu Fahdli yang sebelum ini hendak dilucutkan jawatan kerana membuat kritikan secara terbuka, namun tindakan itu tidak diteruskan disebabkan campur tangan pelbagai pihak.

Akibatnya, beliau berkata, perkara itu menjadi rujukan dan dilihat seolah-olah memberi 'lampu hijau' kepada penjawat awam untuk terus membuat kritikan di media sosial."Kadang kala apa yang dikritik itu belum tentu betul. Jadi, seeloknya, perbuatan ini tidak digalakkan kerana ia boleh memburukkan keadaan.

"Keadaan boleh menjadi huru-hara kalau semua orang nak kritik di media sosial. Kalau tak nak patuh peraturan, boleh keluar daripada menjadi penjawat awam.

"Sudah ada pekeliling dan ikutlah peraturan yang ditetapkan. Jika amaran sudah diberikan tetapi masih melakukan perkara sama, sepatutnya dikenakan tindakan.

"Apabila menjadi penjawat awam, mereka sudah berikrar untuk patuh kepada peraturan yang ditetapkan. Ini bukan soal demokrasi," katanya kepada BH.

Semalam, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, mahu budaya memberi amaran kepada guru yang menyuarakan kebimbangan berhubung sesuatu isu di media sosial dihentikan dengan segera.

Ini susulan daripada hantaran guru pendidikan khas, Hasmadi Hamdan, yang menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) mengutamakan kepentingan dan kebajikan guru serta murid ketika memutuskan dasar utama pendidikan.

Mengulas lanjut, Jasni berkata, apabila kritikan dilakukan secara terbuka, ia secara tidak langsung ia akan mencemarkan sistem pendidikan negara, perguruan, jabatan dan kementerian itu sendiri hingga membuatkan masyarakat hilang kepercayaan.

Beliau berkata, sebarang kritikan atau aduan sepatutnya disampaikan menerusi saluran yang betul dan pihak berkaitan perlu menjalankan siasatan lanjut bagi mengesahkan aduan itu.

Katanya, KPM boleh mewujudkan satu portal untuk menerima sebarang aduan untuk tindakan lanjut.

Kalau tak nak patuh peraturan, boleh keluar daripada menjadi penjawat awam. Hello, pak cik ? Bukan semua pekeliling tu suci murni daripada segala kekurangan. 

Orang macam awak kalau bercakap selalunya selamat sebab awak orang besar. Kritikan terbuka ini semua selalunya berpunca daripada apa ? Daripada orang macam awaklah yang tak mahu menerima kritikan. Bila diarahkan menghadap, awak beri kata dua yang selalunya berbaur 'diam dan patuh atau dikenakan tindakan'.

Pergilah jahanam sama kau punya 'saluran yang betul' itu. Cikgu Fadhli tu sudah melalui saluran yang betul yang sengaja dibuat berbelok-belok yang akhirnya tersumbat di penghujung tanpa ada jalan keluar. Jadi jalan apa yang dia pilih ? Media sosiallah. Hanya melalui media sosial, suaranya yang ditekan dan ditindas itu sampai kepada Menteri Pendidikan. Barulah PPD dan JPN tahu tinggi rendah langit tu.

Akhirnya, apa yang datang dari kepala kau tu ? 

'KPM boleh mewujudkan satu portal untuk menerima sebarang aduan untuk tindakan lanjut.'

Alahai, ini cadangan tahun 2005 bolehlah. Portal aduan konon. Portal masukkan data pelajar pun 'down' memanjang. Inikan pula portal aduan. Memang kau sengaja je nanti tutup portal tu dan tak boleh diakses.

Bila kritikan banyak itu maknanya orang peduli dan cakna tentang isu pendidikan. Anak kami ini nak bersekolah dengan tenang dan gembira. Dan itu hanya boleh dicapai melalui para guru yang gembira, bodoh. Kau kalau memanjang tekan guru dengan pekeliling yang entah apa-apa, mana nak datang gembiranya.

'Tak suka boleh berhenti.'

Hah, itulah saja tahap pemikiran hampas kau. Tak suka berhenti. Orang yang tinggal jadilah pak turut sampai pencen. Akhirnya mana dia perubahan yang KPM nak buat ? Tak jadi apalah.

Rujukan:

Tiada ulasan: