Ahad, 29 Januari 2023

GOPAL SRI RAM MENINGGAL DUNIA

Nama ini tentulah digeruni Najib-Rosmah. Tapi dikhabarkan bahawa beliau telahpun meninggal dunia. Ceritanya adalah seperti berikut:

KUALA LUMPUR: Bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, 79, meninggal dunia di sebuah hospital swasta di sini, hari ini.

Difahamkan, mendiang yang juga Timbalan Pendakwa Raya Kanan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib Razak, dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) hospital berkenaan minggu lalu bagi menerima rawatan, dipercayai akibat jangkitan paru-paru.

Pada 23 November tahun lalu, ketika prosiding kes rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB, pasukan pendakwaan memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa pemeriksaan utama membabitkan saksi utama kes akan dikendalikan oleh Sri Ram.

Sementara itu, BERNAMA melaporkan, berita kematian Sri Ram disahkan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustafa P Kunyalam."Ya, benar. Beliau disahkan meninggal dunia pada jam 12.15 tengah hari tadi di sebuah hospital swasta di sini," katanya ketika dihubungi.

Mendiang juga adalah pendakwa raya utama bagi perbicaraan rasuah isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, membabitkan projek hibrid solar bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak dan pengubahan wang haram.

Kita ini, tak berapa reti undang-undang. Tapi kalau orang seperti Najib berjaya dipenjarakan setelah bertahun-tahun cubaan untuk menyembunyikan jenayahnya, itu seakan-akan 'restoration' kepercayaan kita terhadap institusi kehakiman dan badan perundangan di dalam negara kita.

Kita memang mahu orang yang tak tahu malu macam Najib dan bakal menyusul si Rosmah dipenjarakan. Mereka wajib bertanggungjawab di atas perbuatan mereka. Sudah telan duit negara, patutkah dibiarkan bebas ? Tidak. 

Tidak ada kasihan untuk orang seperti ini. Dia memperagakan susuk kebaikan pada namanya demi untuk menyembunyikan kejahatannya.

Oleh itu, terima kasih kita kepada manusia seperti Gopal Sri Ram kerana dengan kewibawaannya, undang-undang negara tertegak dengan bangganya. Mudah-mudahan ada legasi yang ditinggalkan oleh beliau demi untuk memastikan tidak ada penyangak negara terlepas dari cengkaman undang-undang.

Undang-undang kita memang buatan manusia. Ia tidak sempurna. Tetapi manusia berintegriti sahajalah yang boleh mengangkat undang-undang yang tidak sempurna ini ke tahap yang sewajarnya dihormati dan dimuliakan.

Salam takziah.

Rujukan:

Pendakwa kes 1MDB, Gopal Sri Ram meninggal duniahttps://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/01/1057377/pendakwa-kes-1mdb-gopal-sri-ram-meninggal-dunia

Tiada ulasan: