Ahad, 26 Mac 2017

FACEBOOK DAN SEBUAH PERTIMBANGAN PERASAAN

Ada orang baru kongsi perihal dirinya yang baru lepas makan di sebuah restoran steamboat terkenal dari Korea.

Sangat 'class'.
Sangat gembira.

Tetapi.
Ada orang yang melihat perkongsiannya itu sedang berkira-kira duitnya untuk sarapan pagi.
Ada rasa cemburu.

Ada rasa iri hati.

Ada orang baru kongsi perihal dirinya yang baru lepas pulang dari bercuti di sebuah pulau indah di Thailand.

Sangat seronok.
Sangat gembira.
Bergambar ketawa ceria.


Tetapi.
Ada orang yang melihat perkongsiannya itu teringin sekali pergi berjalan-jalan dengan keluarganya namun rezekinya terhambat.
Ada rasa sedih.
Ada rasa kecewa.

Ada orang baru berkongsi perihal dirinya yang baru sahaja mendirikan rumahtangga pada usia yang sangat muda.

Sangat indah.
Sangat bahagia.

Sangat ceria.
Cinta dua insan bersatu sudah.


Tetapi.
Ada orang yang melihat perkongsiannya itu baru sahaja kecewa dan sengsara dengan perhubungannya.

Ada orang yang melihat perkongsiannya itu belum ketemu jodohnya sedang usia semakin berkurangan.
Ada rasa cemburu.
Ada rasa sengsara.
Ada rasa sunyi.

Contoh-contoh di atas hanyalah sebahagian.

Namun, itulah hakikat kehidupan di laman sosial.



Kita tidak dapat lari daripada melihat orang lain bercerita, berkisah, bergambar malah mengagung-agungkan kebahagiaan yang sedang mereka alami.

Bagi setiap insan, dinding sosial tempat mereka 'menampal' apa sahaja peristiwa kehidupan mereka itu adalah hak mereka. Tak ada orang lain yang berhak mempertikaikannya (kecuali yang benar-benar menyalahi undang-undang negara).

Namun begitu, jarang-jarang kita dapat ingat dengan baik, bahawa apabila dinding-dinding kehidupan peribadi itu sudah dipanggil 'sosial', maka secara tidak langsung dapatlah orang mengetahuinya, membacanya lalu mempersembahkan perasaan masing-masing terhadap kehidupan peribadi.

Kadangkala, apa yang kita kongsikan itu sangat bertentangan dengan perasaan orang yang mengetahuinya.

Kita berasa sangat bahagia dengan sesuatu peristiwa, sedangkan ada pula orang yang sedang berdukacita dengan peristiwa yang hampir sama.

Kita jarang berfikir akan perkara ini.

Rezeki kita sememangnya tidak menjadi salah untuk dizahirkan kerana itu rahmat Tuhan.
Namun, pertimbangkanlah baik-baik tentangnya apabila ianya hendak masuk ke dalam laman sosial.


Kerana tidak semua orang bersama kegembiraan kita.

Ataupun, mungkin kita seharusnya sama-sama berfikir dan bersetuju untuk tidak menghebahkan semua perkara kepada dunia maya.

Dunia maya bukan sebuah tempat untuk kita serahkan segala peristiwa kehidupan.

Tiada ulasan: