Jumaat, 21 Ogos 2015

MULA SEMULA

Saya fikir, saya wajar memulakan semula entri baru di blog ini. Setelah begitu lama saya mendiamkan diri kerana faktor kesibukan, saya kira ini adalah masa yang baik untuk memulakan sesuatu. Tambahan pula, situasi politik dan ekonomi negara kita kian meruncing kerana kebodohan pemerintahnya (menggunapakai istilah yang sering digunakan media Indonesia). Maka, kebodohan mereka itu boleh kita jadikan lawak jenaka melampau bagi meredakan ketegangan.

Kita marah.
Kita sangat marah. Sebab apa ? Sebab mereka sangat tidak jujur dengan kita yang mengundi mereka ni. Kita ada kebimbangan. Dan kebimbangan kita itu sangatlah berasas. Bukan sebab kita semata-mata membaca laporan portal pro pembangkang. Apa ingat rakyat Malaysia bodoh sangat ke sampai tak tahu menilai mana yang kaca, dan mana yang intan. Ataupun, kedua-dua belah pihak sama saja. Iaitu kaca yang menusuk tapak kaki yang penat melangkah mencari rezeki.

Boo.

Engkorang semua tak boleh pakai punya manusia.

Ok. Berbalik kepada cerita mengenai Da Di Du. Blog ini, kalau saya tak salah telahpun diwujudkan sekitar tahun 2009. Di saat saya sangatlah kemaruk menulis, Maka DaDiDu adalah tempat untuk saya menaip apa saja. Tapi, sebelum itu saya telahpun mula menulis di blog Friendster, sekitar tahun 2007. Ketika itu, blog Friendster sangat mudah untuk dibaca dan saya belum begitu mahir menggunakan blogspot seperti sekarang. Namun demikian, pada tahun yang sama juga, saya cuba untuk menerbitkan satu lagi blog di blogspot sebagai cubaan pertama saya, yang saya namakan Pena Menulis.

Dalam Pena Menulis, saya menggunakan bahasa yang sangatlah skema dan penuh nilai keimanan. Dan, blog itu mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Kebanyakan orang yang membacanya adalah orang yang sedang mencari nilai jatidiri. Cewahh. Setelah Friendster ditransformasikan menjadi medan main game yang entah apa-apa, maka kekallah saya menulis di Pena Menulis. Rasa sedih pun ada kerana segala entri yang saya tulis Friendster hilang begitu saja. Kemudian, hati saya terdetik. Boleh tak kalau saya terbitkan satu lagi blog, tetapi dengan gaya bahasa yang jauh lebih santai. Setelah berkira-kira, maka terbitlah pula DaDiDu dan linknya saya tetapkan dengan nama santaisahaja.blogspot.com. Dari situ, ianya akan mengingatkan saya supaya menulis dengan gaya bahasa yang santai.

Pun begitu, lama-kelamaan usia kita semakin meningkat. Apabila saya cuba menulis kembali dengan gaya bahasa santai yang saya gunakan dahulu (ketika masih belajar), semuanya serba tak menjadi. Saya sendiri tak suka dengan apa yang saya tulis. Maka, terpaksalah saya berhenti menulis seketika, mencari-cari kembali rentak yang hilang. The lost ryhtm, bak kata orang putih.

Kemudian, apabila saya seolah-olah mendapat ilham, saya merasakan yang saya memang tidak akan dapat menulis seperti dulu semula. Namun begitu, apa yang dapat saya lakukan ialah, mula menulis dengan cara yang matang sedikit. Sikit je. Saya tak akan mampu menulis macam Tun Mahathir yang sangat saya hormati itu. Dan, tak mungkin pula saya nak menulis macam Najib menjawab soalan. Najib punya perangai, soalan bodoh dia bagi jawapan bodoh, soalan pandai pun dia bagi jawapan bodoh. Hal ini diwarisi dengan jelas oleh anak buahnya Ahmad Maslan, kemudian disusuli pula oleh Salleh Keruak. Oh ya, seolah-olah penyakit berjangkit, ianya merebak pula kepada Zahid Hamidi.

Jadi, saya akan mencuba menulis dengan gaya saya (di mana saya yakin juga dikongsi oleh ribuan rakan blogger di luar sana) yang cuba untuk matang, tapi dengan bahasa yang santai. Kata orang, nilai kematangan itu kita boleh tengok dari segi ejaan kesemua perkataannya. Kalau 'aku' pun nak ditulis 'aq', tak tau nak cakap apalah. Karang saya komen banyak-banyak, nanti minah-minah yang blog stail gitu marah pulak kat saya.

Oh ya, ke mana semuanya entri lama saya ? Telah pun saya buang kesemuanya. Saya mahu lupakan buku yang lama, dan buka buku yang baru. Semoga yang baru ini jauh lebih baik isinya daripada yang lama.

Terima kasih dan selamat membaca.

Tiada ulasan: