Isnin, 26 April 2021

LAGU RAYA SI ALEP

  • Sepanjang kita hidup di atas dunia yang penuh dengan nilai kebendaan ini, semakin ramai dari kalangan manusia itu merasakan bahawa kalau dia ada duit, dia boleh buat ikut suka mak bapak dia. Dan itulah masalahnya.
  • Kenapa ? Kerana dalam banyak keadaan, tuan punya badan tahu bahawa dia tak patut pun buat benda-benda sebegitu, tetapi disebabkan dia banyak duit dan hidup diulit materi, dia merasakan bahawa dia tak akan punya masalah untuk buat apa sahaja sebab segala-galanya hanya perlukan duit. Dia boleh bayar sesiapa pun untuk memastikan apa yang dia mahukan itu tercapai.
  • Dalam kes seorang lelaki yang nak menyanyi tetapi suaranya sikit lagi nak sama dengan itik yang dicekik lehernya, dia tak punya masalah untuk membayar mana-mana studio rakaman untuk menerbitkan 'single'nya. Tetapi, apakah dia sedar bahawa dia itu haram sekuman tak pandai menyanyi ?
  • Dulu-dulu, penyanyi 'melutut' pada komposer untuk menghasilkan lagu untuk mereka. Sebagai contoh, mana-mana penyanyi pun sanggup buat apa sahaja sekiranya M. Nasir mahu menghasilkan sebuah 'killer song' buat mereka. Dan M. Nasir pula kita tahu selalu 'mendengki' si penyanyi dengan memastikan bahawa mereka itu 'menggelupur' ketika membuat rakaman dan akhirnya sedar bahawa menyanyi itu kerja susah, bukan kerja main-main. Dan seorang penulis lirik seperti arwah Rosli Khamis atau lebih terkenal dengan pseudonym Loloq adalah dambaan ramai komposer untuk memastikan lagu mereka berjalan seiringi dengan lirik yang berkualiti.
  • Kolaborasi di antara seorang komposer, penulis lirik dan penyanyi adalah mutlak dan tidak boleh dipisahkan. Sekiranya pincang satu, hancurlah semuanya.
  • Persoalannya, si mamat ni sedar ke tak sedar akan hakikat ini ?
  • Ia bukan sebab duit kau banyak, jadi kau rasa "Owh, ramailah yang merindukan nyanyian aku. Aku nak terbitkan satu lagi lagulah."
  • Orang bukan rindu, orang sebenarnya tengah menunggu nak menaji kau dari atas sampai ke bawah. Matematik mudah aje tu.
Lagu-lagu raya yang berkualiti itu hampir boleh dinyanyikan pada bila-bila masa kerana ia pasti menggamit kerinduan beraya

  • Dulu-dulu, menghasilkan lagu raya bukan pakai tangkap muat sahaja. Ada perasaannya, ada jiwanya dan ada santunnya. Kerana itulah, Suara Takbir ciptaan P. Ramlee kekal malar segar sehingga sekarang. Kerana itulah, Dari Jauh Ku Pohon Maaf kekal, buah tangan S. Atan kekal didendangkan sehingga sekarang. Satu Hari Di Hari Raya kekal dimainkan sehingga sekarang. Orang dahulu mencipta lagu untuk dikenang sepanjang zaman, bukan sekadar nak tular dan popular dek kerana kebebalan kita dalam menilai diri sendiri.
  • Ada satu artikel pendek yang ditulis di Sinar Harian yang memang terang-terangan ditujukan kepada si mamat perasan tak sudah ini:

MERAK Jalanan tertarik dengan hasrat seorang jutawan kosmetik terkenal di negara ini untuk menerbitkan sebuah lagu sempena Aidilfitri.

Menerusi satu kenyataan, usahawan tersebut bertekad untuk keluarkan lagu raya yang baru setelah dia rasa ‘ramai yang rindu kesedapan nyanyiannya’.

Merak Jalanan tidak mahu sebut nama usahawan itu tapi tentu ramai yang tahu lelaki berusia 34 tahun itu pernah menerbitkan sebuah lagu sempena hari lebaran beberapa tahun lalu.
Bukan saja tak sedap, bahkan ibunya sendiri memberi komen jujur mengatakan nyanyian anaknya ‘sumbang dan tunggang-langgang’.

Seorang sahabat Merak Jalanan berkata, orang Malaysia sudah cukup hiba, perit dan terseksa dengan Covid-19 dan PKP, janganlah tambah lagi azab derita yang sedia ada.

“Terimalah hakikat anda memang tiada bakat menyanyi. Kalau minat menyanyi sekalipun, menyanyilah untuk halwa telinga sendiri. Jangan tambah kemurungan rakyat Malaysia,” katanya.

Sebelum ini, dia pernah muncul dengan beberapa single yang turut menjadi sasaran kecaman netizen.

Peliknya, walaupun teruk menerima kecaman tetapi lagu-lagu nyanyian usahawan bergelar Datuk Seri itu tetap trending di media sosial.

Merak Jalanan tahu dia banyak duit tetapi adalah lebih baik duit yang ada itu digunakan untuk tujuan yang lebih berfaedah.

Terimalah hakikat anda memang tidak boleh menyanyi. Sebaiknya kekal sahaja dalam bidang perniagaan.

“Biarlah orang yang bersuara sedap saja yang menyanyi. Aku sanggup diketuk sampai pengsan daripada dengar suara kepit tu,” kata seorang rakan lagi.

Bak kata Datuk Hattan dalam status di Facebook beliau, “Jangan jadikan nyanyian sumbang mambang marketing...itu melacurkan seni namanya...”

Merak Jalanan harap ada orang yang boleh menyedarkan usahawan berkenaan daripada lamunan.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/135459/SUARA-SINAR/Pojok/Tolonglah-jangan-tambah-kemurungan-di-hari-raya

  • Menyanyi bukan sekadar reti mengalunkan lagi. Ia melibatkan kawalan suara, pernafasan, vokal yang disebut, perkataan yang diungkap, harmoni yang tepat dan penghayatan.
  • Oleh itu, sedar dirilah weyhh... Bukan kena bayar ribu-riban pun untuk sedar diri. Bahkan, sedar diri itu jauh lebih berharga dari wang ringgit yang kau punya itu.

Tiada ulasan: