Ahad, 26 Februari 2017

SUDAH TUA

"By outward appearance, you're ten years older than you were a year ago." 
-U.S. Grant to Lincoln, Lincoln (2012)-

Kalau sesiapa yang melihat wajah saya dan bertanyakan umur saya, biasanya semua akan terkejut. Ya, saya kelihatan jauh lebih tua berbanding umur saya. Sewajarnya saya dipanggil 'abang', tetapi ada budak-budak sudah memanggil 'pak cik'.



Ah, saya tidak begitu mempedulikan hal tersebut. Kerana bukan menjadi satu dosa untuk kelihatan lebih tua berbanding umur sebenar. Mungkin begitu tubuh badan kita memberi respon terhadap kudrat kita yang sedaya upaya melawan nasib.

Bagi saya, nasib bukan sesuatu yang perlu kita terima bulat-bulat tanpa mengambil hikmah, melainkan kematian. Adalah sesuatu yang tidak kena seandainya seseorang itu membiarkan dirinya dalam kemisikinan tanpa sedaya-upaya memperbaiki kehidupannya, melainkan dirinya sudah tewas dengan nasib.

"Apa boleh buat, nasib badaannnn..." -P.Ramlee dan rakan-rakan-


Sekarang ini, saya lebih banyak bergaul dengan para senior, yang pada saya jauh lebih menyenangkan berbanding rakan-rakan muda yang penuh tenaga dan sering cenderung untuk silap dalam memperhitungkan sesuatu keputusan.

Ya, saya tahu dan sedar para senior ini juga pernah cergas dan bertenaga serta pernah juga membuat kesilapan. Namun, mereka telah kumpul kesemuanya dan dibalut dengan kemasan yang dipanggail 'pengalaman'. Pengalaman mereka itu adalah umpama harta karun yang sukar ditemukan melainkan kita cuba menggalinya sendiri. Adalah mahal sekiranya mereka sendiri menyerahkan pengalaman mereka kepada kita demi untuk memperingatkan kita supaya tidak melakukan kesilapan yang sama seperti mereka.

Jalan cerita kita mungkin berbeza, malah kita sendiri tak tahu bagaimana pengakhiran hidup kita. Namun, pengalaman mereka itu sedikit sebanyak boleh membantu kita dalam membuat keputusan supaya tidak tersasar jauh daripada kebenaran. Untuk berada dalam kesilapan buat kali yang kedua adalah satu kebodohan. Mungkin keterlaluan, tapi ada juga benarnya.

Kesemua hal ini membuatkan saya berasa sangat tua. Saya seakan-akan kehilangan semangat muda. Mungkin panas darah muda masih ada, tapi berasa bertenaga untuk meneroka sesuatu yang baru semakin berkurangan. Ada masa dan ketikanya, saya biarkan sahaja kehidupan saya ini membawa saya ke mana-mana destinasi persinggahan yang saya tidak tahu apa indah dan cantiknya ataupun buruk dan hinanya.

Saya mencuba-cuba untuk bersukan semula, kerana dengan bersukan kita dapat rasakan seberapa banyak tenaga muda yang ada pada diri kita. Namun begitu, apa yang menariknya ialah saya bersukan dengan orang yang jauh lebih tua daripada saya. Melihat mereka yang masih bersemangat, saya fikir tidak sepatutnya saya menghampakan mereka dengan mempersembahkan sebuah kemalasan. Dari situ juga, saya merasakan bahawa saya sudah tua untuk dapat berfikir seperti ini.

Berasa tua juga merupakan nikmat. Kadangkala kita merasakan bahawa kita telah melalui liku kehidupan yang panjang untuk kita berupaya berbicara dengan waras dan hikmah. Selain itu, kita juga sudah mula mengabaikan perkara-perkara yang menyusahkan tubuh badan kita, Kita kembali suka menonton filem-filem lama dan mendengar lagu-lagu malar segar. Alasan kita, "Aku pernah tonton dan dengar semua ini satu ketika dulu..."

Menjadi tua bukanlah satu kutukan, sebaliknya satu rahmat. Apa yang tinggal ialah kita hidup secara sihat dan tenang,..

Psstt... Tun Mahathir sudah menjangkau umur 90-an. Tapi lihatlah impak yang beliau berikan terhadap negara sekarang ini. Itulah berkat tua dan kayanya ilmu beliau.

Tiada ulasan: