Jumaat, 22 Mei 2026
MASIH TAK NAMPAK ?
Khamis, 21 Mei 2026
ORANG MELAYU DAN RAJANYA
Kepada orang bukan Melayu di Malaysia, fahamkan satu hakikat ini.
Raja dan rakyat berpisah tiada.
Lebih dalam lagi, orang Melayu dan rajanya berpisah tiada.
Pantang Melayu derhaka pada rajanya. Itu pegangan nenek moyang Melayu. Tetapi, bukan tidak ada sejarah yang menunjukkan bahawa Melayu itu menolak raja yang zalim. Kerana itu, ada peribasa Melayu berbunyi,
Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah.
Megat Seri Rama taat pada sultannya. Namun, setelah sultan sendiri berlaku zalim kepada isteri laksamananya, maka Megat Seri Rama memilih untuk menamatkan riwayat sultan yang disembahnya dahulu. Ceritera itu bahkan tidak disorok oleh nenek moyang kita. Malah dicatat pula buruk laku sultan itu yang entah apa-apa perangainya.
Pun begitu, orang Melayu tetap memuliakan raja-rajanya kerana raja dianggap payung rakyat, khususnya orang Melayu. Perilaku ini pastinya gagal difahami orang bukan Melayu dan mereka tentunya menganggap kesetiaan itu adalah kebodohan.
Tetapi.
Hakikatnya kesetiaan itu adalah pemisah antara sabar dan amuk orang-orang Melayu. Kalau raja-rajanya dahulu hendak dibuang melalui Malayan Union, orang-orang Melayulah yang menyelamatkan keadaan dan menolak semahu-mahunya.
Kini.
Orang-orang Melayu melihat ada orang-orang bukan Melayu yang dengan beraninya bersikap biadab dengan raja-raja, walaupun dengan cara yang halus sekalipun. Lebih malang lagi, kerajaan yang dilantik mentadbir negara tidak menguruskan isu ini dengan bijaksana, bahkan mencurahkan pula cuka pada luka yang memburuk. Yang biadab dibiar-biarkan, yang mempertahankan disekat dan ditahan-tahan. Lebih teruk lagi, ada orang kerajaan sendiri yang bersama-sama dengan puak-puak biadab ini.
Kesemua ini, berupaya mengumpul jiwa amuk orang-orang Melayu. Tetapi, ia tidak semestinya ditumpahkan dengan keganasan, tetapi ia akan diterjemahkan dengan pengundian. Kau bekerjalah bagus macam mana sekalipun, orang yang marah akan berkata, "Pergi mampuslah kau."
Satu masa dahulu, pentadbir negara yang bertahun sejak zaman merdeka boleh tumbang pada tahun 2018. Inikan pula pentadbir yang baru naik sepenggal.
Sabtu, 16 Mei 2026
UEC DAN IPTA
Beginilah. Apa sahaja yang melibatkan dana awam, mesti mengambil kira sentimen awam atau kepentingan awam. Sekarang ini, adakah UEC memenuhi piawaian tersebut - memenuhi sentimen awam?
Semua orang tahu UEC langsung tidak menepati dasar pendidikan kebangsaan. Ekosistem pengajaran dan pembelajarannya adalah berkiblatkan Taiwan. Ia tidak membawa semangat kebangsaan atau ke'Malaysia'an. Lebih teruk lagi, ia tidak menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Sekalipun kononnya demi memenuhi tuntutan kerajaan, para pelajarnya ambil juga subjek Bahasa Melayu, tetapi ia sekadar memenuhi kehendak peperiksaan, bukan memenuhi tuntutan pendidikan.
Pendidikan ni bukan sekadar melihat keputusan peperiksaan di atas kertas. Ia adalah medan membentuk jatidiri dan mengenal budaya sendiri. Dengan berkiblatkan Taiwan dan tidak diajar dalam Bahasa Melayu, di mana kita boleh yakin bahawa UEC ini memenuhi keperluan awam yang tertakluk kepada dasar kebangsaan ? Bagaimana pergaulan mereka dengan mahasiswa lain ? Saya yakin mereka akan membentuk 'komuniti' terperuk mereka yang langsung tidak membantu membina negara-bangsa yang kita canang-canangkan.
Dengan pengumuman terbaru KPT yang membenarkan sijil ini digunapakai untuk permohonan ke IPTA melalui kursus-kursus spesifik (bahasa Cina, tentunya), ia telah menjadi satu pertikaian oleh orang awam, termasuklah golongan akademik sendiri (baca: Anuar Ahmad). IPTA ini secara teknikalnya tentulah berbeza dengan IPTS. IPTA hadir dengan dana awam di samping penjanaan kewangan oleh pengurusan IPTA itu sendiri.
Sekali lagi, apabila ia melibatkan dana awam, keseluruhan sistem peperiksaan itu sendiri secara logiknya mestilah berkiblatkan identiti dan falsafah pendidikan negara kita, MALAYSIA, bukan TAIWAN. Apabila sistem yang tidak membawa falsafah negara hendak dicucuk masuk ke dalam institusi pendidikan nasional, munasabah sekali kalau ia ditolak. Kalau mahu, IPTS bolehlah dipertimbangkan. Jika memilih IPTA, anda wajib mengikut cara Malaysia.
Secara peribadi, saya teringin melihat kes UEC ini dibawa ke mahkamah dengan 'political will' yang kuat untuk ia dimuktamadkan sama ada sah mengikut dasar pendidikan negara atau tidak. Jika tidak, ia wajar ditolak sama sekali. Bukan semua benda kita perlu ikut rentak luar sehinggakan kita menggadaikan prinsip pendidikan kita yang sepatutnya menyatupadukan rakyatnya, bukan membina jurang yang kian melebar.
Rabu, 13 Mei 2026
PBAKL 2026
Satu ketika dahulu, kalau saya bertandang, saya berhajat untuk bertemu dengan Faisal Tehrani (Tuhan telahpun beberapa kali mengkabulkan hajat saya ini). Sekarang, saya lebih selesa mengambil rasa rambang sahaja, kerana dengan rasa sebegitu, saya lebih teruja dan tidak menjangkakan apa-apa atau sesiapa. Ada masa dan ketikanya, saya akan bertemu dengan beberapa penulis yang saya tidak jangkakan mereka akan ada di situ (sama ada sebagai pengunjung mahupun sedang mempromosi buku mereka). Ada ketikanya, saya bertemu selebriti terkenal yang turut mengambil peluang berjualan di situ (Contohnya Datuk Imuda yang pasti saya beli baju yang tercetak lukisannya setiap kali singgah di reruainya) atau sama-sama terlibat dalam sesi bertemu ramah dengan peminat (saya sempat berjumpa dengan Sabri Yunus dan menyampaikan rasa kekaguman pada upaya kreatifnya). Tak ketinggalan juga, figur-figur agama yang berada di reruai buku-buku islamik di samping mereka turut menyampaikan pesan-pesan kepada para pengunjung. Saya berkesempatan bertemu dengan Dr. Zulkifli (terkenal dengan Bayan Linnas) dan meminta beliau untuk mendoakan saya agar diringankan dari bebanan hutang.
Di pesta ini juga, ada buku-buku yang dahulunya sangat mahal tetapi dijual murah pula oleh penerbitnya kerana hendak menghabiskan stok buku yang tidak terjual pada tahun lepas. Biasanya, buku-buku ini amat berharga tetapi tidak begitu mendapat sambutan kerana harganya yang mahal. ITBM adalah antara penerbit yang kerap berbuat begini dalam tahun-tahun terkini penganjuran PBAKL ini. Ada juga penerbit-penerbit muda yang semakin mendapat tempat di hati penggemar buku kerana aktifnya mereka menerbitkan bahan bacaan dan promosi yang cukup kuat di medsos. Contohnya The Patriots.
PBAKL juga bagi saya bukan sekadar pesta itu, tetapi suasana sepanjang perjalanan menuju ke pesta tersebut. Sebelum ini, saya memandu kereta ke PWTC dan sering menghadapi masalah untuk mencari tempat letak kereta. Tetapi, dengan sedikit pencarian maklumat pergerakan kenderaan ke PWTC, saya memilih untuk menggunakan pengangkutan awam bersama-sama keluarga saya, dan secara jujurnya, ia lebih mengujakan meskipun kesesakan pengguna itu boleh dijangkakan.
Saya berharap PBAKL ini kekal di PWTC, kerana di situlah auranya teguh dan kukuh. Dan dengan izin Tuhan, saya akan ke sini, tidak lama lagi. Insya Allah...
Selasa, 12 Mei 2026
SAHABAT NABI
Bukan perkara baru sebenarnya mereka yang berada di dalam PAS berkata sesuatu hal agama yang meminta untuk dikecam, yang kita tahu sedang hangat sekarang iaitu mengaitkan sahabat nabi (dalam kes ini Abu Bakar r.a. dan Umar al-Khattab r.a.) Dengan cerita-cerita buruk dan tidak semenggah sama sekali.
Di dalam tradisi Sunni, kita maklum bahawa sebarang bentuk ceritera yang berbaur celaan dan penghinaan kepada para sahabat nabi adalah dilarang, sementelah pula ada hadis nabi yang melarang kita untuk mencela sahabat-sahabat. Oleh itu, ulama sunni mengambil langkah untuk memelihara ceritara sahabat nabi daripada elemen-elemen celaan. Pun begitu, bukan tidak ada kisah para sahabat yang melakukan sesuatu yang menyebabkan turunnya wahyu Allah untuk memperbetulkan apa yang sewajarnya. Dalam kes Abu Bakar r.a. sendiri, beliau pernah dek kerana marah atas fitnah yang berlaku kepada anakandanya, beliau bersumpah tidak mahu membantu lagi Mistah bin Uthathah dek kerana terbabit sama dengan hal fitnah tersebut, memandangkan Mistah adalah dari keluarganya sendiri. Masakan keluarga sendiri menyebarkan fitnah yang membabitkan keluarganya.
Dek kerana sumpah Abu Bakar r.a., turunlah wahyu Allah swt yang melarang orang-orang berharta daripada bersumpah tidak mahu menghulurkan bantuan kepada kaum kerabatnya.
TAPI.
Di sinilah bezanya di antara celaan dan iktibar.
Kisah ini langsung tidak mencacatkan kredibiliti Abu Bakar r.a. sebagai sahabat nabi, tetapi datang pula kepada kita satu pengajaran yang besar, bahkan munasabah kerana beliau juga manusia biasa yang turut membuat pertimbangan berdasarkan nilai-nilai manusiawi yang normal.
Masalah kita sekarang, kita mencari cerita-cerita buruk begitu untuk apa ? Punya banyak contoh yang baik boleh diberi, yang buruk juga kita canang. Dan lebih malang lagi, saya percaya kalau orang seperti itu (yang sedang hangat menerima kecaman itu) bercerita tentang kisah di atas ini, kaedah pembawaan ceritanya juga akan menjadi buruk dan terlihat seperti Abu Bakar r.a. itu buruk lakunya.
Ahad, 10 Mei 2026
M'SIA ?
Ya, baru-baru ini orang mula perasan satu 'trend' penulisan di laman-laman media sosial yang mengeja Malaysia menjadi M'sia. Menjadi sedikit kegusaran di hati awam akan perkara ini kerana kebanyakan yang menulis sebegini adalah media berbahasa Inggeris yang cenderung ditadbir lamannya oleh orang bukan Melayu. Kalau ada orang Melayu juga berbuat begitu, lagilah sial perangainya.
Negara kita ni tak ada kependekan untuk namanya seperti USA, UK, UAE semua tu. Kita mengeja penuh dengan bangga, M-A-L-A-Y-S-I-A. Dengan 8 huruf ini, hampir mustahil untuk kita mendefiniskan mereka ini sebagai malas nak mampus, melainkan ada satu teori lain yang sedikit menyakitkan hati - mereka tak sudi mengeja perkataan Malay di situ. Kerana apa ? Kerana Malay itu tentu-tentulah bermaksud Melayu.
"Ah, tak sanggup ku menyamakan nama negara ini dengan orang-orang Melayu. Tak ada kelas !!!"
Mungkinkah begini di pemikiran mereka ? Lebih teruklah lagi kalau orang Melayu sendiri mengambil langkah yang sama, langsung tak ada nilai patriotik di dalam diri. Kalau orang-orang sebegini sememangnya wujud dan berbangga dengan pendirian mereka, jelaslah bahawa mereka ini buta sejarah negara bangsanya sendiri. Sudahlah buta, bodoh pula tu dengan tak mahu terima sejarah yang sebenar, tetapi memilih sejarah yang menggunakan naratif ahli politik bangsat yang tak sedar diri. Itu bukan sejarah, itu namanya serakah. Serakah ahli politik tak pernah cukup. Mereka diberi kuasa pada sekian-sekian tahap, kemudian mereka akan mahukan lebih lagi. Kalau perlu melanggar batas dan norma kebiasaan, mereka akan langgar.
Berbalik kepada penulisan M'sia tadi, saya kira MCMC (haaa... kau sekarang bukan main ligat dan lincah mencari salah orang di alam maya kan ?) boleh dah menggerakkan tenaga kerjanya memadam sebarang tulisan yang menulis nama negara dengan kependekan sial seperti itu. Kalau nak dibenci itu adalah kerajaan yang memerintah, bukan negara. Negara itu mulia, kerana tanpa negara, kita menjadi hina. Berapa ramai manusia tak bernegara nak jadi warganegara kita sekalipun dengan cara haram. Tapi warganya sendiri ? Menghinakan nama negaranya dengan tak ada rasa malu. Bangga pun mungkin sudah tak ada lagi. Benda yang dia tahu, nak pulun atau sakau duit banyak-banyak, kemudian pindah Singapura. Keh keh keh. Bila dia jadi warga Singapura, dia pergi ke Johor Bahru isi minyak murah Malaysia. Ptuih.
Kau tengok ya, bila kita menegur begini, nanti politikus bangsatnya akan mempertahankan perkara ini dengan alasan 'hanya sekadar ejaan, isu kecil sahaja'. Inilah kerja mereka, menghalalkan segala perbuatan yang cenderung kepada ideologi mereka iaitu menyingkirkan bangsa Melayu dengan cara apa sahaja, sama ada halus mahupun kasar. Kasar sangat mungkin mendatangkan masalah, maka cara halus digunakan. Dalam Malaysia ada Malay, itu hakikat. Tak payahlah sembang berbelit-belit.
Cuma satu pesan kepada orang-orang Melayu pula, jangan sampai jadi paranoid. Paranoid tak membantu dalam membina jatidiri dan nilai patriotisme dalam diri. Perkara yang perlu kita tumpukan ialah penambahan ilmu pengetahuan (umum ataupun khusus), banyakkan membaca bacaan berkualiti dan meninggalkan perkara yang lagha dan mudarat (mat rempit bersepah mampus atas jalan menyusahkan orang). Orang Melayu perlu berusaha membawa imej yang baik dalam segenap sudut kehidupan dan kerjaya. Tengok sekumpulan manusia itu, sampaikan nak menyewa rumah pun orang tak sudi menawarkan tempat sebab kisah-kisah perangai yang terpalit pada mereka. Kita tak mahu sampai jadi begini.
Jadilah manusia berpekerti tinggi, namun tetap tak melupakan pesan nenek moyang, buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.
P/s: Tapi, saya suka juga cara orang seperti Haji Pawi (yang tahu, tahulah) yang berkata, "Kami terhormat hanya pada yang terhormat sahaja. Pada yang jahat, kami lebih jahat."
Sabtu, 9 Mei 2026
BABI
Kalau sayalah.
Ini kalau sayalah.
Saya pun tahu kekuatan saya bukan pada majoriti, dan saya pula tinggal di sebuah negeri yang beraja Melayu dan demografi penduduk negeri itu masih majoritinya dipegang oleh bangsa Melayu. Oleh itu, kenapa saya nak ambil risiko membuatkan majoriti membenci saya sesungguh hati ? Bukankah politik itu cerita tentang ambil hati dan meraih sokongan? Kalau nak bermusuh, musuhnya adalah dari kalangan ahli politik sendiri, bukan dari kalangan pengundi. Mengapa mencari musuh dengan para pengundi ?
Ekonomi ?
Alahai, kita semua bukan bodohlah nak percaya kenyataan bahawa ia semata-mata potensi ekonomi yang kononnya bakal merugikan hasil negeri sekiranya dibatalkan. Mengapa tak mengambil peluang dalam industri makanan halal ? Ini lebih menguntungkan. Sijil halal tu kalau kau dah dapat, kau dah berjaya membuka potensi kehadiran para pembeli daripada kalangan majoriti. Tengok sajalah bangsa kau yang berjualan di medsos itu. Dengan berbahasa Melayu, mereka telah membuka peluang niaga yang jauh lebih besar sasaran pembelinya. Bahasa Melayu adalah bahasa duit kalau kau gunakan dengan betul di dalam negara ini. Kenapa nak menafikan hakikat ini? Kau mencipta ekosistem perniagaan sesama kau sahaja konon nak pegang tengkuk ekonomi negara, namun kau tetap perlu bergantung kepada kuasa pembeli dari kalangan majoriti. Majoriti tetap majoriti, itu hal yang tidak boleh dinafikan sama sekali.
Darihal ceritera babi ini. Sultan Selangor telah mengeluarkan 'ultimatum' kepada pentadbir kerajaan negeri supaya yang dikatakan cukup itu bererti cukuplah. Baginda sultan tak akan membenarkan perniagaan seperti itu beroperasi di negerinya. Daripada kau beria-ia menggunakan politikus untuk membantah dan dilihat kurang ajar di mata orang-orang Melayu, mengapa tidak kau mengambil jalan berwibawa dengan menunjukkan bahawa sebenarnya kau ni 'baik jugalah' dengan 'mentaati' perintah sultan. Adakah engkau semua dah terlalu sombong untuk melihat beberapa lapis kesan dan akibat daripada perbuatan engkau sendiri ? Apa yang kau takutkan dengan sebuah 'ketaatan' ? Tak biasa dengar perkataan 'taat' ke ?
Sebenarnya perihal menghormati titah sultan ni, ada peribahasa Melayu yang engkau boleh pakai iaitu 'ibarat tarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak'. Orang Melayu ni pemikiran dia sebenarnya mudah saja - jangan buat perkara yang dilihat mencabar maruah orang Melayu dan jangan memperlekehkan agama Islam. Dua perkara ni kau berhati-hati, orang boleh anggap kau OK jugalah. Setakat ini, tak ada satu pun dari kalangan politikus kau yang menegur sesama sendiri supaya jangan melampaui batas. Kerana batas yang telah dilanggar akan memberi kesan kepada jangka masa kekuasaan engkau. Peduli apa dengan status ekonomi, 'ranking' dan pandangan orang luar terhadap potensi negara di bawah pentadbiran engkau. Asalkan batas itu telah dirempuh, maka itu boleh mengundang bahaya kepada 'survival' politik engkau. Dan masalahnya ialah, mereka yang berfikiran begini adalah MAJORITI, bukan minoriti.
Orang Melayu pernah buang UMNO, jadi apa yang menghalang mereka daripada membuang engkau orang semua ? Hanya dengan alasan 'di bawah pentadbiran kami, Malaysia jauh lebih baik'? Mereka akan mempersetankan kesemuanya. Dan isu babi inilah salah satu daripadanya.
Khamis, 2 Oktober 2025
FLOTILLA - KEMANUSIAAN YANG TERHALANG

Tetapi.
Mereka mahu merasa jalan mujahadah. Jalan yang sukar untuk merasa rahmat Tuhan pada sebuah kehidupan nan sekejap.
Beberapa nama yang terkenal dari tanah air kita sentiasa menghantar kemaskini perjalanan mereka melalui media sosial dan mengharapkan kita bersama-sama berdoa untuk kejayaan mereka, sedangkan kita dan mereka juga tahu bahawa kejayaan itu sukar untuk menjadi realiti. Entah kenapa, bahkan kita rasa bahawa perjalanan ini pun Tuhan tidak akan memudahkan.
Penahanan ini mengingatkan saya misi flotilla satu ketika dahulu sekitar tahun 2009-2010 di mana skop laser senapang Zionis telah ditala tepat ke dahi salah seorang peserta misi ketika itu. Pengalaman itu diceritakan kepada kami ketika mereka mengadakan ceramah di Masjis Sultan Ismail UTM.
Bayangkan, yang tinggal hanyalah kiraan detik sebelum peluru menembusi kepala kita. Dia peduli apa, dia boleh buat kalau dia mahu buat.
Tetapi.
Kita diajar untuk tidak berputus asa dengan rahmat Tuhan. Setiap satu yang berlaku itu pasti ada rahmat dan belas di dalamnya. Apatah lagi yang sedang diusahakan adalah untuk membantu manusia yang tertindas, di sebuah bumi yang menyaksikan kesakitan dan kepayahan yang tidak pernah padam semenjak berlakunya perjanjian pengkhianatan paling celaka itu.
Meski kita tahu bahawa ranapnya Palestin adalah petanda munculnya Imam Mahdi, namun untuk membiarkan kehancuran itu berlaku bukanlah sesuatu yang kita mahu lakukan. Resmi manusia, kalau ditindas akan bangkit melawan. Dunia sedang melawan, meski suara kita sumbang kerana veto celaka si US menghalang segala, namun sedikit demi sedikit, nama mereka semakin kotor dan hitam.
Dan kita tahu, hari di mana setiap satu makhluk Tuhan yang wujud di tanah itu akan berkata, "Di belakangku ada si Yahudi!" pasti akan hadir...
Selasa, 10 September 2024
BANKRAP - PENJAWAT AWAM PUN SAMA ?
Isu bankrap tak boleh dianggap normal dengan alasan kos sara hidup yang tinggi. Apa orang dulu-dulu tak hadap kos sara hidup yang tinggi ke ? Secara relatifnya sama je tak begitu jauh bezanya situasi kita dengan orang dulu-dulu.
Keadaan orang yang ditimpa status bankrap dalam pengurusan kewangan mereka ini kebanyakannya berpunca daripada faktor kegagalan mengurus kewangan dengan baik. Bukan sebab betul-betul susah pun.
Telefon bimbit nak dibeli secara ansuran.
Kereta nak dibayar secara ansuran. Kereta mewah pulak tu. Tak ada kelas pakai Proton atau Perodua sebab senang rosak katanya. Padahal kereta mewah pun kalau penggunanya bodoh bab penjagaan kereta sama je tersadai di bengkel juga akhirnya.
Water filter cap Coway, Cuckoo nak dibayar secara ansuran. Padahal penapis Joven atau Panasonic yang dipasang di tepi sinki dapur tu dah memadai. Cuma, disebabkan orang kita ni ramainya pemalas nak masak air dan simpan air di dalam bekas, maka terjuallah filter premium ini dengan jayanya dalam jumlah yang banyak.
Rumah nak dibayar secara ansuran. Baiklah, rumah adalah aset sekiranya betul kita nak bermastautin di situ sampai mati. Cuma, dalam beberapa keadaan, ada yang menyesal tak sudah kerana membeli rumah di kawasan yang berisiko seperti mudah ditimpa banjir atau semakin tak selamat kerana struktur tanah yang mudah runtuh dan sebagainya.
Langgan ASTRO ambil pakej paling mahal. Tontonnya taklah sekerap mana pun. Dalam banyak keadaan, ASTRO masih dikira privilege, bukan keperluan.
Netflix nak dilanggan juga. Pun dengan bayaran bulanan. Ambil yang paling mahal sebab boleh dipasang di beberapa 'device' serentak.
Beli barang di Shopee nak dibayar secara ansuran. SpayLater tu selagi dapat diguna sampai habis dia taram beli segala benda yang tidak kritikal pun.
Betapa banyak benda nak dibayar dengan ansuran.
Beli insuran keluarga dibayar bulan-bulan. Ok, ini mungkin ada gunanya dalam beberapa keadaan kecemasan.
Hal-hal lain seperti melancong, pakaian dan sebagainya belum dikira lagi. Hal-hal anak sekolah belum masuk lagi dalam bajet.
Peringkat awal rasa macam semuanya boleh dibayar dengan gaji yang ada.
Dan ya, KAD KREDIT. Benda ini kalau disalah urus memang terjelepuklah kita melihat penyatanya di hujung bulan. Tapi, rasa macam boleh bayar lagi kot. Pada sangkaan kita.
Tetapi.
Rupa-rupanya kita lupa perkara-perkara kecemasan seperti jatuh sakit, kereta yang tengah dibayar tu rosak dan rumah yang tengah diduduki tu perlu dibaiki kerosakannya.
Barang-barang keperluan hidup yang mencanak naik harganya. Mulalah rasa tersepit. Pada masa seperti ini, alternatif yang berisiko mula jadi perhatian iaitu 'personal loan'.
Kebanyakan personal loan yang boleh dimohon sekarang sangat senang diluluskan. Dalam aplikasi E-wallet Touch n Go pun boleh mohon. Dalam aplikasi CIMB Octo pun ada. Pendek kata nak dapat akses kepada institusi kewangan yang tawarkan pinjaman secara sah dah makin senang. Tapi dia punya bunga memang tinggi. Samalah ceritanya, pada peringkat awal rasa macam boleh ikut jadual bayarannya. Tapi pada satu saat dan ketika, semua jadi sangkut dan buntu.
PUTRAJAYA: Kira-kira 10 hingga 13 peratus daripada kes kebankrapan baharu yang didaftarkan antara 2021 hingga tahun ini membabitkan penjawat awam.
Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia (Mdl) Datuk M Bakri Abd Majid, berkata lebih membimbangkan data berkenaan menunjukkan trend peningkatan dari tahun ke tahun walaupun data kebankrapan nasional menunjukkan penurunan.
Berdasarkan data terbuka Mdl, beliau berkata, statistik kebankrapan individu daripada sektor awam adalah sebanyak 12 peratus pada 2020, 2021 (10 peratus), 2022 (11 peratus), 2023 (13 peratus) dan 14 peratus setakat ini bagi tahun ini.
"Kegagalan pegawai awam menguruskan kewangan dengan baik bukan saja memberi kesan kepada individu dan keluarga, malah kepada ekosistem perkhidmatan awam.
"Bagi penjawat awam yang diisytiharkan bankrap, tindakan tatatertib boleh diambil akibat keterhutangan yang serius selain mencemarkan imej perkhidmatan awam.
"Ia sekali gus menjejaskan peluang kenaikan gaji dan pangkat selain kelayakan pembayaran bonus dan bantuan kewangan turut terjejas," katanya dalam kenyataan semalam.
M Bakri menjelaskan, dalam sesetengah kes, terdapat juga penjawat awam yang memohon untuk membangkrapkan diri sendiri bagi mengurangkan tekanan hutang yang berpanjangan.
Di pihak jabatan pula, beliau berkata, ketua jabatan seharusnya memantau tahap keberhutangan petugas di bawah selian masing-masing dan peka terhadap perubahan kelakuan mereka.
"Tindakan pencegahan awal harus dijalankan dengan memperbanyakkan aktiviti berkaitan pengurusan kewangan peribadi dan jabatan juga boleh bekerjasama dengan pakar atau penasihat kewangan bertauliah bagi membincangkan hal berkaitan pengurusan kewangan," katanya.
Beliau menambah kegagalan Ketua Jabatan melaksanakan tanggungjawabnya boleh mengundang gejala rasuah dan salah guna kuasa dalam jabatan.
Mengenai Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dengan pelarasan gaji yang lebih baik, beliau berkata, biarpun ia melegakan keresahan penjawat awam, tidak kurang ada pihak yang bersedia 'menangguk di air keruh' untuk menawarkan pinjaman baharu yang 'tidak sihat' kepada penjawat awam yang lalai.
M Bakri berkata, 'kitaran jahat' berkenaan perlu dihentikan daripada terus merencatkan aliran tunai penjawat awam dan peranan semua pihak termasuk ketua jabatan amat diperlukan bagi mengekang masalah berkenaan.
"Selaras dengan pengumuman gaji baharu, pekerja sektor awam dilihat telah menjanjikan perubahan cara kerja atau tahap produktiviti lebih baik, namun ia bukan sekadar dua perkara itu saja malah pemikiran juga perlu diubah," katanya.
Jadi, berhati-hatilah kita dengan duit kita sendiri. Janganlah berpegang pada mazhab duit aku, aku punya sukalah. Nanti di belakang hari menyesal tak sudah. Mulalah nak berhutang dengan kawan-kawan pulak. Eh, berhutang dengan kawan-kawan ni tak ada masalah sekiranya kita boleh membayar semula. Orang yang tak mahu bayar hutang ni yang celakanya.
Jadi, janganlah jadi manusia yang mencelakakan dirinya sendiri dengan terjebak di dalam kancah hutang yang tak putus-putus. Bersabarlah dengan kemewahan dunia kerana dikhuatiri anak isteri yang kena menanggung malunya.
Ahad, 8 September 2024
SIJIL HALAL
Pada saya, dalam hal melibatkan persijilan ini, kesemua pihak harus melihat ia dari sudut pandang yang rasional kerana ia bukan sesuatu yang diwajibkan ke atas semua umat manusia. Mencari yang halal lagi baik itu wajib ke atas umat Islam sahaja.
Saya ni tak peduli sangat dah apa yang orang-orang di dalam DAP ni cakap kerana kebanyakan mereka memang tidak reti bercakap dengan Bahasa Melayu yang betul. Seorang dua je yang boleh diharap seperti Anthony Loke dan Hannah Yeoh. Jadinya, konteks mereka bercakap itu sering membuahkan kemarahan orang-orang Melayu, terutama si Akmal ni yang terkenal dengan lagak samsengnya.
KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, menempelak tindakan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang mendakwa cadangan mewajibkan perolehan sijil halal ke atas restoran dan syarikat makanan hanya menambah beban kepada peniaga.
Dr Muhamad Akmal menegaskan perolehan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bukan saja membabitkan larangan kandungan arak dan babi tetapi merangkumi bagaimana sesuatu makanan itu disediakan dan sumber penyediaannya.
"Saya nak beritahu... sijil halal dulu berbulan nak dapat. Hari ini, kita sudah pendekkan sehingga 23 hari saja, sudah dapat sijil halal.
"Jadi, apa masalah kamu dengan sijil halal ini. Kalau kamu tidak suka, ia tidak membabitkan kamu pun," kata beliau melalui TikToknya, hari ini.
Semalam, media melaporkan, Teresa mendakwa, pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan dilaksanakan secara paksa.
Naib Pengerusi DAP itu mendakwa, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan dan beban kepada perniagaan kecil, selain bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya dan mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.
Ia susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, kelmarin yang JAKIM mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal.
Dr Muhamad Akmal, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau mendakwa tindakan Teresa itu yang sebenarnya memalukan negara, yang disifatkan beliau sering mengganggu gugat keharmonian.
"Kalau kamu tak tahu mengenai agama kami, jangan cakap. Kamu diam lebih elok," katanya.
Saya rasa macam si Akmal ni melebih-lebih dan seperti nak tunjuk dia jaguh pembela Melayu dan Islam sejati. JAKIM baru mempertimbangkan saja cadangan tersebut, bukan dah diwajibkan pun. Orang macam Teresa ni memberi maklumbalas kononnya dia bercakap mewakili pengusaha-pengusaha restoran di seluruh negara ini yang dimiliki oleh bukan Islam tetapi tidak menghidang babi dan arak di dalam menunya.
Sebenarnya, perlu atau tidak kita nak marah-marah dalam hal ini ? Hakikatnya tak perlu pun. Orang kita (baca: Muslim) pun ramai yang malas dan tidak cakna dengan apa yang mereka makan dan tempat mereka memesan makanan. Contohnya restoran mamak. Perlu diingat ya bahawasanya halal itu bersekali dengan toyyib. Bermakna ia merangkumi semua aspek kebersihan. Ceritanya, berapa banyak restoran mamak di luar sana yang begitu kotor dapurnya namun orang kita tak pernah peduli dan masih makan dan minum di situ ? Begitu juga dengan restoran tom yam yang dimiliki oleh orang-orang Siam ini ? Pernah jengah keadaan dapurnya ? Kita memesan makanan di FoodPanda pun tak selalu berfikir sama ada kedai yang kita pesan makanannya itu bersih atau tidak meskipun pengusahanya adalah Muslim.
Apa yang lagi menarik, kadangkala orang bukan Islam pula yang bertanya, "Eh you makan sini tak tau ke sini tak ada halal punya logo ?" Dia cakna tetapi kefahamannya dah sedikit tersasar tentang logo halal itu.
Kita mencari yang halal adalah untuk memastikan sekiranya hidangan masakan melibatkan binatang sembelihan seperti ayam, lembu, kambing dan lain-lain, ia diyakini datang daripada sembelihan yang sah dilakukan oleh orang Islam. Kemudian, kesemua hidangan makan tersebut diproses dengan bersih sama ada peralatan dapurnya mahupun barang-barang masakan di dapur itu.
Dengan persijilan halal itu, sekurang-kurangnya ada satu badan yang bertanggungjawab telah mengesahkan bahawa pengusaha restoran atau kedai makan itu telah mematuhi kesemua piawaian yang ditetapkan untuk satu-satu restoran diyakini tanpa sebarang keraguan mengenai cara ia memproses makanan.
Jadi Akmal, yang patut kau cakap pada si Teresa memandangkan engkorang ni berada dalam gabungan PH ialah bagaimana silapnya Teresa dalam menanggapi isu ini yang pada dia dilihat sukar namun sebenarnya sangat bagus untuk prospek perniagaan satu-satu pengusaha itu, sekalipun ia dimiliki oleh bukan Islam. Kerana tidak ada larangan mutlak kepada umat Islam untuk tidak memakan masakan oleh orang bukan Islam sekiranya bahan-bahan dan peralatan memasak yang digunakan tidak bercampur dengan yang haram (di sisi Islam, tentunya). Ya , Akmal. Awak boleh tambah lagi kepada Teresa lagi bahawasanya is sebenarnya tidak mengganggu gugat keharmonian Malaysia ya. Ia bahkan menyuburkan lagi peluang perniagaan awak untuk berkembang dengan baik.
*KEMASKINI (8 September 2024)
Kenyataan Teresa hanya keruhkan keadaan, kata PM
SEREMBAN: Kenyataan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dalam isu pensijilan halal tidak mewakili pendirian Pakatan Harapan (PH), kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.Perdana Menteri berkata, kenyataan Naib Presiden DAP itu antara lain mencetuskan kontroversi yang tidak relevan kepada masyarakat di negara ini.Beliau yang juga Menteri Kewangan juga menasihati mana-mana pemimpin politik untuk mengemukakan sebarang cadangan atau kebimbangan mengenai sesuatu perkara dalam mesyuarat supaya perkara itu boleh diteliti secara menyeluruh."Tak payah jadi begini kerana ini menimbulkan kontroversi yang tidak relevan dalam masyarakat kita."Ada masalah... peraturan perlu supaya umat Islam tidak rasa was-was. Namun kalau dia (Teresa) rasakan peraturan itu tidak diperlukan di kawasan tertentu, bincanglah secara elok," katanya ketika merasmikan Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban (arah selatan) di sini, hari ini.Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Maslan; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.Hadir sama, Setiausaha kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zafir Ibrahim; Pengerusi Lembaga Lebuhraya, Datuk Seri Hasni Mohammad; Pengerusi PLUS Malaysia Berhad, Datuk Mohamad Nasir Ab Latif.Kelmarin, Teres dipetik berkata, pelaksanaan pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan secara paksa.Ahli Parlimen kerajaan dari DAP itu berkata, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan dan beban kepada perniagaan kecil.Ini kerana, Teresa mendakwa pengenalan pensijilan halal secara wajib akan menambahkan kos pentadbiran.Khamis lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na'im Mokhtar, berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal.Kenyataan Teresa itu mendapat kecaman daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin UMNO, pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Dewan Perniagaan Melayu Malaysia.Sementara itu, Anwar yang juga Pengerusi PH berkata, Teresa tidak sewajarnya mengeluarkan sebarang kenyataan yang disifatkan tidak membantu untuk menjernihkan keadaan."Kalau dia mahu mewakili beberapa pihak, tidak mengapa... tetapi tidak perlu (buat kenyataan sedemikian secara terbuka) kerana ia tidak membantu untuk menjernihkan keadaan."Kita kena jaga sentimen muslim dan bukan Islam. Cara dia (adalah) runding secara elok dahulu. Bukan tunjuk kehebatan masing-masing."Negara kita sudah dalam keadaan baik sekarang, politik sudah stabil, penghargaan dunia baik, ekonomi naik (justeru) perlu apa perkara ini nak merosakkan (keharmonian dan kesejahteraan negara)," katanya.
Khamis, 5 September 2024
CERAI
Alah, macamlah artis-artis lain tak ada yang bercerai. Jadi, kenapa cerita Syamsul ini mendapat perhatian media ?
Sebenarnya, bukan Syamsul sahaja yang pernah mengalami liputan media sebegini darihal perkahwinan. Rita Rudaini tu punyalah panjang ceritanya daripada perceraian sampailah kepada isu nafkah. Semua hendak diambil tahu oleh media. Ingat tak lama dahulu kisah Jimmy Shanley ? Pun begitu juga media mengasak untuk mendapatkan cerita daripadanya. Radhi OAG dahulu pun begitulah juga cerita. Semua mendapat perhatian media.
Cuma, saya berani katakan cerita Syamsul ini menjadi sedikit lebih besarnya kerana dia adalah anak kepada Datuk Yusuf Haslam yang terkenal dengan pekertinya sebagai 'family man' yang luhur. Ditambah pula dengan 'rempah ratus' pergolakan oleh ibunya yang banyak menyebelahi menantunya yang dikasihi, nah itulah sebab Syamsul punya cerita lain macam 'coverage'nya.
Hari ini dilaporkan dia sah bercerai talak satu dengan isterinya yang baru ini.
Tak ada apa yang nak dikatakan sangat tentang perkara ini.
Tetapi, saya teringatkan ada satu pesanan dari seorang ustaz. Katanya, "Perkahwinan yang berdiri di atas kekecewaan orang tua kita, potensi untuk bahagia amat tipis."
Saya kira, Syamsul pasti banyak belajar kali ini betapa restu orang tua itu penting dalam hal perkahwinan ini kerana tanpa redha ibu dan bapa kita, sukarlah juga untuk kita mendapat redha Tuhan.
Semua orang melakukan kesilapan dan kesalahan. Cuma yang membezakan adalah bagaimana seseorang itu hendak mengambil iktibar daripadanya dan bangkit menebus kesalahan diri sendiri.
Rabu, 28 Ogos 2024
MAHU ANGKAT MELAKA KE PERSADA ANTARABANGSA - REMY ISHAK
Saya tak tahulah apa perancangan dirinya untuk mengotakan kata-katanya itu, tetapi begitulah kenyataannya kepada media susulan penganugerahan darjah kebesaran Negeri Melaka yang membawa gelaran Datuk di pangkal namanya.
Remy Ishak berasal dari Masjid Tanah, Melaka. Saya kira itu sudah boleh memberi kita sedikit gambaran tentang justifikasi penganugerahan ini. Anak Melaka yang terkenal di persada hiburan tanahair. Sikit-sikit Remy Ishak, sikit-sikit Remy Ishak. Begitulah umpamanya.
Tetapi, popularitinya itu saya kira masih belum cukup meluas. Tidaklah dapat saya pastikan sama ada namanya dikenali di tanah seberang, namun untuk mensabitkan namanya dengan membawa nama Melaka ke persada antarabangsa saya kira adalah mimpi yang sukar dicapai, bukan mustahil. Cuma sukar dicapai berdasarkan status sosialnya sekarang.
Pun begitu, kita boleh ambil begini.
Beberapa orang pelakon handalan Hollywood juga ada menerima darjah kebesaran dari England yang membawa gelaran 'Sir' di hadapan nama mereka. Kebiasaannya, mereka ini adalah orang yang begitu lama berkecimpung dalam bidang seni dan menyumbang banyak dalam lapangan seni seperti sumbangan kewangan, dan juga ada dari kalangan mereka ini bergerak aktif sebagai aktivis yang membawa suara awam terhadap satu-satu isu seperti pendidikan, kemiskinan, alam sekitar dan sebagainya. Contoh artis yang menerima darjah kebesaran ini adalah Sir Michael Caine. Pada tahun 1992 beliau dianugerahkan Commander of the Most Excellent Order of the British Empire dan pada tahun 2000, beliau dianugerahi Knight Bachelor yang membawa pangkat 'Sir' di pangkal namanya.
Anugerah besar ini diterima beliau kerana sumbangan beliau yang besar di dalam dunia perfileman, sekaligus mengharumkan nama tanah asal kelahirannya. Ya, beliau cemerlang di Hollywood tetapi orang tetap akan bertanya asal-usul kita, "Dia ni asal orang mana ?"
Jadi, cerita Remy Ishak ini lebih kurang begitulah. Kita dah tahu beliau berasal dari Melaka. Dan dengan penganugerahan ini, nama Remy Ishak bukan lagi biasa-biasa. Justeru, beliau perlu mengangkat namanya dulu dalam lapangan seni dengan memilih tawaran lakonan yang lebih baik berbanding drama-drama picisan yang berlambak di stesen TV itu. Ya, industri hiburan kita tidak besar mana. Jadinya, kenalah pandai 'marketing' diri dengan menjual bakat kita ke luar negara. Ataupun, jadi macam Datuk Yusuf Haslam. Bina satu prestij pada nama kita supaya disegani dan jauhkan diri dari terlibat dengan cerita yang bukan-bukan.
Tapi... keluar pula cerita pakai subang di hidung apa cerita beb ? Hehehe...
Isnin, 26 Ogos 2024
Kasih sayang kepada Syamsul tak pernah berubah - Yusof Haslam
Kadang-kadang, saya rasa kasihan pada Datuk Yusuf Haslam. Pada usianya begini, beliau terpaksa menghadap asakan soalan dari media berkaitan anak jantannya yang satu itu.
Yang bergaduh-cerai, anaknya.
Yang bermasam muka, anaknya.
Yang menikah di Siam, anaknya.
Yang bercerai sekali lagi, anaknya.
Tapi, ayahnya pula yang diasak media. Yalah, anak kepada seorang pengarah dan penerbit filem terkenal, media hiburan agaknya berpendapat suara ayahnya pasti membuatkan cerita mereka ini lebih laku dari segi jumlah pembaca.
Beberapa ketika sebelum ini, ibunya sendiri tampak jelas berpihak kepada menantunya. Saya rasa hal ini membawa kepada rajuk hati yang berpanjangan pada diri Syamsul kerana dia mungkin menyangkakan bahawa ibu bapanya akan membelanya sehabis daya, macam jantan tak guna seorang lagi itu yang beria dipertahankan ibunya sedangkan anaknya berperangai entah apa-apa.
Tapi, ibu bapa Syamsul amat menyayangi menantu mereka yang seorang itu. Sementelah pula, mereka memperoleh cucu daripada rahim menantunya itu. Apabila diperlakukan sebegitu oleh anak sendiri kepada menantu mereka, mestilah dengan akal yang waras mereka tak boleh terima. Menikah di Siam secara rahsia itu juga adalah kemuncak kepada sebuah pengkhianatan dalam berumahtangga.
Pada satu masa dan ketika, mungkin juga ibunya terbawa-bawa dengan emosi seorang wanita dengan memberikan banyak komentar tentang situasi keluarga anaknya itu. Pada hemat sebahagian orang, ibunya patut biarkan sahaja si Syamsul menguruskan masalahnya sendiri, tak perlu ditambah rencah pedas yang menghangatkan lagi situasi keluarga anaknya.
Lima tahun untuk merajuk itu adalah tempoh yang lama.
"Kita pun sebagai orang tua bukan pengemis kepada anak sendiri. Tetapi, kasih sayang kami sebagai ibu bapa kepadanya (Syamsul) tidak pernah berubah dan berbelah bahagi." [1]
Begitu kata Datuk Yusuf Haslam dan betapa benarnya. Ibu bapa tidak sewajarnya mengemis kasih daripada anak sendiri. Mereka ada amal ibadah yang hendak diberi tumpuan sebelum pulang ke negeri abadi.
Tapi seperti mana yang kita faham, hati yang merajuk bukan mudah hendak diubati.
Cuma, kalau Syamsul betul hendak berusaha memulihkan semangat dirinya (kita semua tahu hidup kepura-puraaan konon kita kuat dan masih bertahan), dia seharusnya pulang ke pangkuan ibu dan ayahnya.
Isteri boleh bertukar ganti, tapi ayah dan ibu hanya satu dan takkan kembali kalau sudah pergi.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud : “Keredaan Allah terletak pada keredaan kedua ibubapa, dan kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa.”
Riwayat al-Tirmizi (194)
Mungkin dari hadis ni, Syamsul boleh belajar sesuatu tentang perkara yang menimpa dirinya sekarang.
Tidak ada yang hendak dibanggakan dengan pencapaian duniawi kita kalau nanti di alam barzakh kita diasak oleh malaikat kerana 'bermusuh' dengan ayah dan ibu kita sendiri hanya kerana seorang perempuan.
Wallahua'lam.
[1] Kasih sayang kepada Syamsul tak pernah berubah - Yusof Haslam,
Ahad, 16 Jun 2024
MENANGGAPI HIDUP - SESAL YANG TIDAK BERPENGHUJUNG
"He is Sparta's general, but he is also made of flesh and blood. Life cannot be lived without some regrets."
-Stentor, Assasin's Creed Odyssey, 2018
![]() |
Saya sedang bermalas-malas sambil menonton permainan video di Youtube. Assasin's Creed Odyssey, saya rasa mungkin ada di antara anda tahu benar tentang permainan ini. Sedang karakter-karakter di dalam permaian itu bercakap di dalam satu misi, keluar lontaran dialog yang saya petik di atas ini oleh salah seorang wataknya bernama Stentor, seorang pahlawan Sparta.
Saya tertarik dengan apa yang dikatakannya itu. Ketika itu wataknya sedang berbicara tentang watak general Sparta yang kuat dan gagah. Namun, katanya meskipun gagah, sesekali pandangannya kosong dan punya maksud kesedihan yang tak terungkap, atau mungkin juga yang tidak dapat ditebus dengan apa pun.
"Life cannot be lived without some regrets"
Secara literalnya mungkin bermaksud begini, "Kehidupan tidak dapat dijalani tanpa sedikit penyesalan." Ertinya, tidak mungkin kita jalani hidup ini tanpa sebarang penyesalan dalam apa jua peristiwa yang telah kita alami.
Saya kira itu tepat, bukan ?
Betapa banyak kekesalan yang kita tanggung dan tidak tertebus. Kita hanya mampu berdamai tanpa melunaskan 'hutang perasaan' yang tidak 'berbayar'.
Pada diri saya sendiri bahkan begitu banyak kekesalan. Ada yang terubat di peredaran masa. Namun, ada yang kekal menjadi 'kenapa aku berbuat begitu?' dalam hidup saya.
Pelajaran.
Pekerjaan.
Hubungan kekeluargaan.
Hubungan cinta.
Keputusan kemajuan hidup.
Setiap satu daripada perkara ini ada kekesalan yang saya tanggung dan tidak mampu saya tebus. Saya tahu sebagai Muslim, nabi kita telah mengajar supaya jangan berkalau-kalau dengan takdir, kerana ia boleh mendatangkan rasa putus asa dengan rahmat Tuhan. Namun, sebagai manusia biasa yang penuh dengan kekurangan, ia tidak dapat dielakkan. Kerana itu, apa yang tinggal hanyalah memohon ampun kepada Tuhan atas perasaan yang tidak terluah itu.
Hidup dengan penyesalan ini sekurang-kurangnya membuatkan kita sedar akan satu perkara - jiwa kita ini hakikatnya juga dalam jagaan Tuhan. Dia Maha Mengetahui akan segala yang kita kalutkan. Beruntung juga kita punya suatu yang tidak terbayar dengan apa pun harta dunia iaitu iman. Kerana iman, meski kita punya kekesalan namun kita masih waras dalam menanggapi hidup ini. Kita mungkin mencari salah, tetapi tidaklah sampai menyalahkan Tuhan.
Kita tahu bahawa Tuhan menetapkan takdir bukan ikut suka nafsu kita, tetapi atas kebijaksanaanNya. Tuhan tidak akan membawa kita ke lembah kehancuran melainkan kita punya 'free will' untuk menentukan. Dengan 'free will' inilah kita memerlukan iman supaya kita tidak memilih sesuatu yang bersalahan dengan hukum Tuhan. Namun, Tuhan beri juga pada kita suatu yang namanya nafsu. Kebanyakan manusia menjadi hamba kepada nafsunya kerana dia gagal mengurus nafsunya sendiri menurut apa yang Tuhan mahu. Kerana itu, adanya taubat dan penyesalan.
Nafsu itu perlu untuk keterujaan dan semangat dalam menjalani kehidupan. Hatta beribadah juga perlukan nafsu supaya semangat beribadah sentiasa ada. Namun, ia perlu dipandu dengan iman supaya kita tidak melampaui batas normal dalam apa jua keadaan.
Akhir kata, kita semua punya penyesalan. Ada kalanya kita menyesal dahulu. Ada ketikanya kita menyesal kemudian. Kesemuanya itu adalah sebahagian daripada kehidupan. Maka hadapilah ia dengan penuh rasa kehambaan. Barulah kita tidak meletak ego sebagai pilihan untuk menghadapi hari kemudian. Ego akan membentuk kesombongan dan kita tidak akan dapat memaafkan sesiapa pun, bahkan diri kita sendiri. Sebelum hati kita mati dengan kesombongan, eloklah segera dibuang dan diganti dengan nilai keredhaan kepada takdir Tuhan...
HADIS, SALAM BAITULLAH DAN SEORANG USTAZ
Saya bukan ahli hadis, pakar hadis mahupun pelajar jurusan ilmu hadis di mana-mana universiti tempatan mahupun luar negara. Namun, saya tahu satu hakikat - Merujuk hadis bukan satu kerja yang mudah. Dulu-dulu, saya rajin juga berkongsi hadis itu-ini di dalam blog saya untuk saya gunakan sebagai hujah. Namun, pembacaan demi pembacaan serta penerangan demi penerangan dari orang yang alim dalam ilmu hadis, saya jadi takut dan cukup berhati-hati dalam hal yang melibatkan hadis. Hal ini kerana kalau saya tersalah petik dan saya gunakan sebagai hujah untuk perkara berkaitan agama, haru-biru jadinya. Dan perkara inilah yang menimpa seorang pendakwah selebriti (saya gunakan perkataan selebriti di sini kerana beliau membawa pendekatan popular dari sudut penampilan dan cara berhubung dengan masyarakat) iaitu Don Daniyal Don Biyajid.
![]() |
| Gambar hakmilik Harian Metro |
Kalau yang baru ikut perkembangan Ustaz Don kita, isu yang paling popular sekarang ini ialah mengenai beliau yang bercerita tentang riwayat hidup Nabi Muhammad S.A.W. dan seorang wanita bernama Ummu Hani. Kerana bertubi-tubi asakan orang yang meminta beliau kemukakan kitab yang beliau rujuk namun beliau enggan, beliau terpaksa direhatkan sementara daripada program kendaliannya yang sedang hangat iaitu Salam Baitullah kerana RTM tidak mahu terjebak sama dalam pertembungan fikrah yang mengundang kontroversi. Namun begitu, pihak RTM dan JAKIM tetap berjumpa dengan beliau dan beberapa perbincangan telah memuktamadkan persefahaman di antara beliau dan pihak penerbitan, jadi tugas beliau disambung semula. Rasanya selesai dah ni.
Namun, lagi sekali beliau mengundang kontroversi apabila beliau memetik satu kata-kata yang bagi saya semacam satu bentuk 'ganjaran yang dinyatakan secara berlebih-lebihan'. Dan hal itu adalah salah satu cara yang digariskan ulama dalam usaha hendak mengenal hadis palsu iaitu berlebih-lebihan dalam menghukum dosa dan berlebih-lebihan pula dalam mengganjari pahala untuk amal yang secara relatifnya ciput je impaknya kepada diri. Hal ini sebagai panduan, tapi kalau memang hadis tersebut sememangnya terbukti sahih, maka sahihlah ia tanpa keraguan lagi.
Kesan daripada kata-kata beliau di dalam program Salam Baitullah itu buat kali kedua, beliau akhirnya direhatkan terus daripada program tersebut. Penerbit Salam Baitullah pada hemat saya tentulah berpegang kepada pisang takkan berbuah dua kali. Jadi keputusan itu diambil. Dan percayalah, perkara ini akan berpanjangan sampai hujung tahun ini. Hehehehe.
P/s: Kalau orang yang berpendidikan agama juga boleh melakukan kesilapan seperti ini, inikan pula kita orang-orang awam. Jadi jangan poyo sangat dan rasa kita tahu semua benda. Ambil iktibar dan carilah ilmu dari yang hak.
Khamis, 6 Jun 2024
80 TAHUN, BAYI COMEL DAN KISAH NABI-NABI
Ahh... lama tak menyinggah blog sendiri. Tak elok dibiarkan medan meluahkan rasa 'bersawang' tanpa fikrah, ya tak ? Yalah saya bukanlah seorang pemikir agung, namun saya juga berhak berfikir dan menterjemahkan fikiran saya dalam bentuk tulisan sebegini.
Di mana saya hendak mulakan ? Oh ya, mari kita bercerita tentang seorang suami berumur 80 tahun yang baru sahaja menimang cahaya. Di bawah adalah laporan daripada Berita Harian:
KEPALA BATAS: "Memang tak sangka dapat anak dalam usia begini, tapi bukan sebab saya 'kuat', Allah SWT yang berkuasa. Lahirnya anak saya pun atas kurniaan dan kehendakNya," kata pesara FELDA, Yob Ahmad yang dapat menimang cahaya mata pada usia 80 tahun.
Bayi perempuan diberi nama Nur itu dilahirkan pada 31 Mei lalu dan anak hasil perkahwinan dengan Zaleha Zainul Abidin, 42.
Berkongsi kisahnya, Yob berkata, dia tidak terlalu memikirkan soal anak kerana sedar keadaan dirinya yang sudah lanjut usia malah sudah mempunyai empat anak hasil perkahwinan terdahulu. "Saya berserah kepada Allah SWT kerana hanya mampu usaha, selebihnya kehendak Dia, kehendakNya kita tak ada daya nak halang.
"Tapi bila Allah SWT izinkan isteri mengandung sampai dapat anak, saya bersyukur sangat serta anggap satu rezeki. "Saya harap anak membesar dengan sihat jadi insan yang solehah, itu saja" katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Ditanya rahsianya kekal sihat, Yob berkata, dia jarang bersenam namun ada mengamalkan pengambilan herba. "Itu saja, makan dan tidur pun tak sangat kerana pada malam hari pun, saya tak lena (tidur) sangat kerana lagi suka habiskan masa dengan berzikir," katanya yang mempunyai tujuh cucu.
Sementara itu, isterinya, Zaleha berkata, dia dan suaminya tidak pernah membincangkan soal zuriat walaupun sudah 10 tahun berumah tangga.Zaleha berkata, dia juga tidak terlalu mengharap kerana sedar faktor umur mungkin menjadi halangan untuk mendapatkan zuriat. "Saya pernah hamil lima tahun lalu tetapi tak ada rezeki selepas mengalami keguguran. Tapi bila dapat tahu hamil lagi waktu kandungan hampir tiga bulan, memang terkejut dan macam tak percaya kerana ingatkan sudah menopaus."Dalam erti kata lain, saya ingatkan tak boleh mengandung lagi sampai nak berangan pun tak memikirkan soal umur."Tapi ini yang dinamakan rezeki, syukur sangat malah anak saya dan suami yang sudah besar pun teruja kerana sudah lama tak dapat adik," katanya yang mempunyai tiga anak berumur 12,14 dan 16 tahun hasil perkahwinan terdahulu.Berhubung perkongsian di TikTok, Zaleha berkata, niatnya berkongsi sekadar dijadikan kenangan dan terkejut apabila videonya tular memandangkan tidak mempunyai ramai pengikut di platform berkenaan."Ramai yang beri komen positif, kebanyakannya daripada mereka yang belum ada anak malah ada juga kongsi kisah ibu mereka bersalin pada usia 50 an."Ada satu dua saja kecam ingatkan cucu dan bukannya anak tapi saya terima saja kerana selama ini hanya berserah kepada Allah SWT dalam soal rezeki."Setakat mana Allah SWT nak bagi, saya terima dan berharap perkongsian saya itu menyuntik semangat orang di luar sana supaya tidak berputus asa walaupun belum dikurniakan zuriat."Terima kasih kepada yang mendoakan dan berharap doa yang baik juga berbalik kepada mereka," katanya yang masih berada di Hospital Kepala Batas, di sini. - BERITA HARIAN
Khamis, 14 Disember 2023
MAKKAH AL-MUKARRAMAH PUN BANYAK PENIPU, INIKAN PULA SERAMBINYA
Hidup sudahlah menipu, sakau makanan dan barang-barang dapur pulak lagi. Kau rasa benda yang kau makan tu halal ke haram ? Kemudian sembang kerajaan menipulah, menindas. Dia sendiri jadi rakyat celaka menipu dan mengambil hak orang lain. Ptuih.
Hal ini berlaku di negeri serambi Mekah tau. Bukan negeri-negeri 'tak islamik' macam kita ni. Kita ni kalau jahat tak hairan, tapi kalau penduduk serambi Mekah buat perangai macam ini, mana penghayatan kau tentang Islam yang kau kata tertindas tu ?
Tapi macam biasalah, kalau di negeri dia, itu namanya ujian dari Allah sebab Allah sayang.
Tapi kalau negeri orang lain, itu namanya bala dari Allah sebab Allah murka.
Lantak kaulah.
Kasihan pada rakyat yang berhak mendapatkan bantuan tetapi gagal sebab orang-orang jahat ni dah ambil dahulu.
Orang macam ni patutlah dikenakan hudud. Cepat tangkap dan potong tangan mereka sebab mereka mencuri. Mencuri hukumnya potong tangan. Lebih-lebih lagi orang yang mampu tapi mencuri.
Mungkin ada yang nak juga bagi alasan, "Alaaaa... mana kita tahu dia orang susah."
Woi, itu bantuan untuk mangsa banjir. Kalau susah minta bantuan zakat, minta bantuan masjid, minta bantuan wakil rakyat kau. Bukan dengan mengambil hak orang lain.
Patutnya orang macam ni biarkan mati hanyut dek banjir senang cerita.
RANTAU PANJANG: Sebilangan penduduk di Kelantan didakwa sanggup menipu dengan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) semata-mata untuk mendapatkan bantuan banjir, sedangkan kediaman mereka tidak terkesan bencana itu atau setakat dinaiki air pada paras amat cetek.
Malah, ada dalam kalangan mereka dikatakan turut memanggil anak mereka yang berada di luar daerah lokasi banjir supaya pulang ke kampung halaman dan berpindah ke PPS untuk 'merebut' bantuan RM3,500 bagi setiap keluarga yang disediakan oleh kerajaan.
Tindakan tidak bertanggungjawab itu dipercayai menyumbang kepada situasi pendaftaran di hampir semua PPS di Pasir Mas kini dikatakan penuh, sedangkan cuaca semakin baik sejak beberapa hari lalu dan banjir baru-baru ini masih dianggap tahap biasa berbanding tahun sebelumnya.
Keadaan itu didakwa menyebabkan terdapat penduduk yang sepatutnya berpindah ke PPS dan benar-benar layak menerima bantuan berikutan rumah ditenggelami banjir, sebaliknya terpaksa menumpang di pondok dan surau berdekatan.
Lebih menyedihkan, golongan menipu itu dipercayai menggunakan pelbagai taktik, termasuk hanya hadir mendaftar untuk mendapatkan kupon makanan disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), manakala khemah disediakan terbiar kosong tanpa mereka tidur di PPS berkenaan.
Tinjauan BH di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To' Deh, di sini, lewat malam kelmarin, mendapati ada khemah hanya dihuni seorang individu dalam sesebuah khemah, seolah-olah sekadar 'cukup syarat' wakil keluarga tidur di PPS berkenaan.
Malah, kawasan sekitar khemah berkenaan juga dilihat kosong tanpa barang-barang dan pakaian bergantungan, tidak seperti suasana khemah mangsa banjir yang sebenar.
Keberadaan mereka yang dilihat setakat 'cukup syarat' itu dipercayai dibuat susulan langkah pihak berkuasa melakukan pemeriksaan pada waktu tengah malam atau awal pagi sejak Ahad lalu bagi memastikan hanya mangsa banjir yang benar-benar terkesan berlindung di PPS terbabit.
Penduduk Kampung Tersang, Mohd Irwan Faizal, 40, yang ditempatkan di PPS SK Gual To' Deh, ketika mendedahkan perkara itu mendakwa situasi yang berlaku kini sangat mengecewakan kerana ramai sanggup mengambil kesempatan demi mendapatkan bantuan banjir yang dianggap lumayan.
"Saya sudah sebati berpindah ke PPS kerana rumah dilanda banjir setiap tahun. Sebagai contoh di PPS SK To' Deh, selalunya bilangan paling ramai berpindah ke sini setiap kali banjir hanya sekitar 300 penduduk yang rumah mereka benar-benar ditenggelami banjir. Ketika itu, bantuan diberikan tidak lumayan sebagaimana tahun ini.
"Namun kali ini, jumlah itu meningkat sangat mendadak apabila penduduk yang berpindah hingga semalam (kelmarin) mencecah lebih 800 mangsa dalam tempoh tiga hari banjir. Tidak tahulah dari mana mereka datang sedangkan gelombang banjir kali ini dianggap sangat biasa.
"Ada yang saya kenal, rumah mereka tidak terkesan banjir tetapi sanggup berpindah ke sini dan lebih kecewa lagi, mereka tidak tinggal pun di PPS. Banyak khemah dianggarkan hampir separuh dilihat terbiar kosong, sedangkan ramai lagi mangsa banjir lebih layak berpindah ke PPS ini," dakwanya.
Malah, Mohd Irwan berkata, ketika hadir ke PPS itu beberapa hari lalu, beliau pada awalnya dimaklumkan ia sudah penuh.
Bagaimanapun, katanya, beliau bertegas untuk berlindung di pusat itu memandangkan paras air yang menenggelami rumahnya telah mencecah 0.5 meter.
"Justeru, saya turut membuat laporan kepada JKM dan pihak berkaitan supaya membuat siasatan serta pemeriksaan kerana ramai pihak disyaki mengambil kesempatan.
"Mereka dipercayai hanya hadir untuk mengambil makanan serta bantuan jika ada pihak yang datang membantu, dan kemudian pulang semula ke rumah masing-masing," katanya.
Seorang lagi mangsa banjir, Ariffin Ismail, 55, turut menzahirkan perkara sama apabila melihat banyak khemah kosong dan suasana di PPS begitu sunyi sedangkan bilangan mangsa banjir di pusat berkenaan direkodkan mencecah lebih 800 orang.
"Baru dua malam khemah nampak dihuni kerana mereka tahu mulai malam kelmarin (Ahad lalu), pihak berkuasa membuat pemeriksaan. Itu pun mereka hanya datang untuk tidur pada waktu malam.
"Kita faham apa yang berlaku bukan kesilapan kakitangan JKM kerana mereka tidak tahu rumah siapa dilanda banjir atau sebaliknya. Namun, saya sangat berharap pihak berkaitan dapat mencari jalan terbaik supaya hanya mereka yang benar-benar mangsa banjir dibenarkan ke PPS," katanya.
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengaku ramai yang mendaftar sebagai mangsa banjir, termasuk menggunakan pelbagai taktik untuk ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan pada musim tengkujuh kali ini.
Pengarah JKM negeri, Said Sidup, berkata situasi itu bukan perkara baharu tetapi ia semakin ketara yang dikatakan berpunca daripada bantuan banjir yang banyak.
Beliau berkata, apabila kerajaan mengumumkan mangsa banjir wajib berpindah ke PPS bagi membolehkan mereka mendapat bantuan, ramai dipercayai mengambil kesempatan walaupun kediaman mereka tidak ditenggelami banjir.
"Kita sendiri pun agak musykil. Cuaca semakin baik sejak beberapa hari lalu, namun mangsa banjir meningkat hingga mencecah 6,009 orang. Malah, berlaku kekecohan di sebuah PPS di sini kerana terlalu ramai berebut untuk mendaftar menyebabkan kita terpaksa meminta bantuan polis bagi menyuraikan keadaan.
"Memang kita juga banyak menerima aduan dan desakan penduduk supaya mengekang situasi yang berlaku, namun ia bukan bawah bidang kuasa JKM. Ia bawah bidang kuasa Ketua Jajahan.
"Lagipun, kita sendiri tidak tahu rumah siapa yang ditenggelami banjir ataupun tidak, dan hanya menguruskan proses kemasukan pendaftaran bagi mereka yang hadir untuk berpindah," katanya kepada BH.
Said berkata, sebagai contoh di PPS SK Gual Tinggi, jumlah mangsa banjir direkodkan adalah 296 keluarga, setakat kelmarin.
Namun, beliau berkata, hampir 50 keluarga gagal dikesan pada waktu siang kelmarin ketika proses pengagihan bantuan keperluan asas yang disumbangkan oleh PETRONAS.
"Ini bermakna mereka dipercayai hanya mendaftar dan tidak tinggal pun di PPS itu. Disebabkan ada sebilangan mengambil kesempatan, kita tahu terdapat mangsa banjir terpaksa tidur di surau kerana PPS berdekatan rumah mereka sudah penuh.
"Kita sendiri kecewa dengan sikap segelintir penduduk yang sanggup mengambil kesempatan. Bayangkan kos makan setiap mangsa banjir adalah RM25 seorang sehari dan bagi 6,009 mangsa banjir, kerajaan membelanjakan lebih RM150,000 sehari," katanya.
Justeru, Said berkata, beliau akan mengusulkan permasalahan terbabit kepada Ketua Jajahan dan kerajaan negeri supaya pendekatan tertentu dilaksanakan dalam menangani isu banjir selepas ini bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan.
Ahad, 27 Ogos 2023
VIDEO SANUSI
Masalah yang sering kita hadapi di media sosial ialah kesahihan sebuah peristiwa. Sedangkan media cetak puluhan tahun seperti Harakah pun banyak kali disaman dan kalah, inikan pula media sosial yang sentiasa segar dengan cerita baru tetapi diambil daripada 'cerita lama'. Contohnya seperti inilah:
JOHOR BAHRU: Polis Johor menafikan ada sebarang penganjuran sambutan untuk Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) yang juga Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, di Johor.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata hasil siasatan pihaknya mendapati video mengandungi dakwaan itu yang tular melalui laman sosial TikTok, sebenarnya adalah berkaitan program KL Munajat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, pada 15 Julai lalu.
Katanya, video itu telah disunting dengan memasukkan sorakan 'luaskan kuasamu Johor' untuk perkongsian oleh pengguna media sosial lain.
Susulan itu, beliau berkata, polis membuka kertas siasatan dan sedang mengesan individu bertanggungjawab bagi membantu siasatan.
"Hal ini dilihat berunsur provokasi dan fitnah yang boleh mendatangkan tanggapan buruk masyarakat.
"Perbuatan menyebarkan serta membuat spekulasi palsu adalah menyalahi undang-undang dan boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.
Selain itu, boleh didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya.
"Polis menasihati orang ramai agar tidak mudah mempercayai dakwaan diperoleh daripada sumber tidak sah dan berkongsi maklumat itu sehingga boleh menjejaskan keharmonian serta kesejahteraan masyarakat," katanya. - BERITA HARIAN-
Video semacam ini dua saja puncanya:
a) Dia nak tunjuk pada lawan dia yang kononnya sekarang dia sedang kuat
b) Lawan dia nak tunjuk konon orang-orang ni biadap di tempat orang.
Nampak tak ? Sentimen memainkan peranan dalam kempen setiap pilihanraya yang ada di Malaysia ini. Sangat jaranglah kempen matang dan berwibawa berjalan di sana-sini. Masa Rafizi terangkan tentang isu air tempoh hari tu adalah sikit ilmu tambah yang kita dapat. Tapi itulah, kempen seperti itu tidak banyak dijalankan.
Apa yang ada hanyalah dia mengeji si dia dan janji-jani bersifat 'ugutan' di mana kalau lawan dia menang, perkara pertama yang akan dia laungkan ialah Melayu terancam. Perkara kedua agama Islam tertindas. Tapi kan, kempen seperti ini kalau dahulu ia sangat berbaur UMNO kan kan kan ? Hehehehe.
Selasa, 22 Ogos 2023
ABANG TESLA - CERITA TENTANG POLIGAMI
- Menikah dengan jumlah lebih dari satu (poligami) ini adalah sesuatu yang digeruni para wanita masakini memandangkan kebanyakan lelaki yang mengamalkannya cenderung untuk berlaku sial terhadap isterinya yang pertama. Mereka kononnya menjunjung sunnah nabi yang satu ini, tetapi sunnah berlaku adil itu mereka taklah peduli sangat pun.
- Paling teruk, dah dapat kahwin baru, yang baru boleh pulak jadi punca yang pertama diceraikan. Mana tidaknya poligami ini dipandang serong oleh para wanita ? Sebab para pelakunya ramai yang khianat dan bingai sama sekali. Para lelaki yang takut dengan ketidakadilan yang mungkin boleh berlaku pula memilih untuk tidak terjebak dengan perbuatan seperti ini. Kesannya ? Poligami itu teruslah ditularkan dengan kisah-kisah tak senonoh.
- Oh ya, bukan tak ada lelaki yang menjaga hubungan poligaminya dengan baik (Salih Yaakob sebagai contoh), tetapi hal seperti ini sering terpalit pula dengan satu lagi sentimen iaitu sentimen 'lelaki miang tak cukup satu nak tambah lagi'. Hal ini yang memberatkan lagi keadaan kerana situasi semasa membuktikan bahawa para pengamal poligami ini (termasuk yang baik-baik) cenderung untuk memilih wanita yang cantik dan bergetah berbanding dia mencari para ibu tunggal yang susah dan perlu dibela (sunnah asal poligami adalah ini, bukan semata-mata cantik).
- Nabi Muhammad s.a.w. adalah contoh terbaik. Ketika Khadijah r.a. masih hidup, ada cerita tentang poligami muncul dalam riwayat hidup baginda ? Bahkan tidak. Menarik lagi, anak dara yang dinikahi baginda hanya Aishah r.a. seorang. Selebihnya adalah janda dan seorang dari kalangan hamba. Nabi menikahi mereka ini bukan atas dasar nabi itu miang tak boleh tengok perempuan cantik, tetapi kesemuanya adalah bertujuan memuliakan dan menjaga para wanita ini.
- Nabi juga tahu betapa beratnya tanggungjawab pernikahan itu sehinggakan nabi menasihati bahawa sekiranya kamu takut tidak berlaku adil, maka nikahilah seorang sahaja. Jadi, orang-orang yang mengamalkan poligami ini perlu menjawab kepada pesan nabi yang satu ini - engkau semua yakin berlaku adil kepada pasangan-pasangan engkau semua ?
- Poligami ini sebegitu teruk tercemar imejnya sehinggakan timbul kumpulan para wanita yang hidupnya menentang sistem ini dengan alasan ia karut dan menindas wanita. Nampak tak impaknya ? Mereka bahkan nekad menentang sesuatu yang tidak pernah Allah larang, itukan sudah melibatkan akidah. Jadi para lelaki ini sepatutnya bertanggungjawab memulihkan imej poligami daripada ia dikaitkan dengan soal memuaskan tembolok nafsu masing-masing kepada pemeliharaan maruah dan nasib wanita-wanita malang yang kematian atau kehilangan suami dan tempat bergantung.
- Para wanita yang membanting tulang menyara hidup menjaga anak tanpa ditemani suami di sisi yang sepatutnya menjadi perhatian para pencinta poligami. Tetapi, kebiasaan wanita ini pula memilih untuk 'stay single' memandangkan telah selesa mencari rezeki sendiri tanpa perlu mengambilkira pendapat orang atau suami sekiranya berkahwin.
- Perkahwinan itu dahulunya amat mulia tujuannya demi untuk membina masyarakat yang baik. Hal ini kerana masyarakat yang baik terbentuk dari keluarga yang baik-baik. Dan poligami ini adalah salah satu jalan yang disediakan oleh nabi untuk memastikan para wanita yang kehilangan tempat bergantung mendapat pembelaan sewajarnya daripada para lelaki yang budiman dan mampu memberikan nafkah.
- Jadi, cerita abang tesla yang beria-ia mencanang dirinya menikah satu lagi sampai isterinya menangis teresak-esak adalah sesuatu yang tidak patut sama sekali dicanangkan kerana ia boleh menimbulkan fitnah yang tidak berkesudahan. Tambahan pula mainan cerita dari media-media sosial yang turut membuka banyak pintu-pintu pertikaian.
- Mahu hidup jujur juga perlu cerdik. Jangan jadi bodoh tak tentu arah.
- Nah, kalau mahu canang parti politik kau memperjuangkan Islam, bawa isu ini ke tengah. Suruh ostat-ostat kau sampaikan pesan kepada para lelaki di luar sana supaya berlaku adil kepada wanita. Hal ini nampak kecil, tapi impaknya besar pada masyarakat. Wanita tidak mahu lagi bergantung harap kepada lelaki dan dari sini, ia boleh pula membuka fitnah kecenderungan seksual yang maha dahsyat balanya kepada kita iaitu LGBTQ.
Isnin, 21 Ogos 2023
KEPAKARAN MISBUN
Kenapa setiap kali kita memiliki permata, permata tersebut akan hilang kemilaunya sebelum ia diambil dan 'dimanjakan' oleh ORANG LAIN dan kita jelas kerugian?
Saya benci dengan keadaan ini di negara kita, terutamanya dalam bidang sukan. Memandangkan saya suka pada sukan badminton, jadi berita ini sangat mengecewakan saya.
PETALING JAYA: Bekas pengendali badminton negara, Datuk Misbun Sidek tidak menolak kemungkinan untuk berhijrah ke negara luar buat julung kali dalam kariernya.
Bagaimanapun Misbun belum dapat memberikan sebarang kata putus mengenai tawaran yang diterimanya memandangkan masih mahu berehat selepas berpisah dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Biarpun dia tidak mendedahkan butiran lanjut tawaran yang diterimanya, difahamkan negara jiran seperti Singapura dan Thailand sedang berusaha untuk melantik pengendali berusia 63 tahun itu serta tiga buah negara lagi.
Seandainya dia bersedia untuk ke luar negara, Misbun mahu negara tersebut bersedia dengan kaedah latihannya tanpa ada campur tangan birokrasi.
“Memang hati saya untuk negara, tetapi kalau khidmat saya masih ditagih oleh luar negara, mereka mahukan ideologi saya untuk membentuk pemain mereka, apa salahnya?
“Kalau ikutkan tawaran itu untuk pasukan senior, yang mereka mahukan adalah dari segi sentuhan penyudah, untuk mengajar mereka bagaimana mahu mencapai kemenangan.
“Saya belum keputusan yang muktamad, kerana ia bergantung kepada beberapa syarat tertentu yang saya telah kemukakan, tetapi untuk buat masa sekarang, saya mahu berehat terlebih dahulu kerana sudah lama saya tidak berehat,” jelas Misbun dalam satu sidang media di ibu kota semalam.
Sekiranya dia bersetuju, Misbun turut bercadang untuk membawa bersama adiknya, Datuk Seri Jalani Sidek sebagai penganalisa.
Dalam masa yang sama, Misbun juga menjelaskan faktor utama dia enggan menerima semula tawaran dikemukakan BAM adalah tidak mahu mengganggu perancangan skuad remaja yang bersiap untuk menghadapi Kejohanan Remaja Dunia yang akan berlangsung di Washington, Amerika Syarikat (AS) 23 September depan.
“Saya telah membuat keputusan untuk menolak tawaran itu kerana saya tidak mahu ganggu persiapan skuad remaja ke kejohanan dunia, mungkin perancangan sudah diatur.
“Memang saya yang aturkan program, sejak dari kejohanan dunia tahun lalu. Tetapi kali ini saya akur, kerana dalam tempoh dua minggu ini banyak perkara telah berlaku dan kesuntukan waktu,” tambahnya.-UTUSAN
Bagi negara-negara yang sedang memburu orang terbaik bagi membimbing skuad badminton mereka, keadaan Misbun sekarang ini adalah 'their loss is our gain'. Bagi mereka, Malaysia telah menolak satu permata negara mereka, jadi kita ambillah permata itu dan gilap mengikut acuan kita. Rashid Sidek pun sudah 'blah' dari BAM. Tapi tengok dia melatih atlit paralimpik apa jadi ? Bukan main membanggakan keputusannya. Kita pun terkejut dengan kemenangan Cheah Liek Hou.
Misbun adalah permata negara. Kalau orang lain dah 'rembat' dan akhirnya mereka memalukan kita di pentas antarabangsa, tahulah kita apa yang telah kita lepaskan hanya kerana perkara-perkara bersifat politik.
-
Nah, saya mahu santai-santai sahaja. Kalau kita biasa menonton filem P.Ramlee, kita pasti pernah menonton salah sebuah filemnya yang sanga...
-
Telah ku terima suratMu Yang telah Kau utus dahulu Ayat-ayat cinta dari cahayaMu Menyelimuti seluruh hatiku Telah ku ter...
-
Entah. Saya tengok di media sosial, warganet memang handal dalam hal mengutuk, mencerca, memaki dan menghina. Sebab apa ? Sebab mulut tak p...











