Ahad, 16 Jun 2024

MENANGGAPI HIDUP - SESAL YANG TIDAK BERPENGHUJUNG

 "He is Sparta's general, but he is also made of flesh and blood. Life cannot be lived without some regrets." 

-Stentor, Assasin's Creed Odyssey, 2018

 



Saya sedang bermalas-malas sambil menonton permainan video di Youtube. Assasin's Creed Odyssey, saya rasa mungkin ada di antara anda tahu benar tentang permainan ini. Sedang karakter-karakter di dalam permaian itu bercakap di dalam satu misi, keluar lontaran dialog yang saya petik di atas ini oleh salah seorang wataknya bernama Stentor, seorang pahlawan Sparta. 

Saya tertarik dengan apa yang dikatakannya itu. Ketika itu wataknya sedang berbicara tentang watak general Sparta yang kuat dan gagah. Namun, katanya meskipun gagah, sesekali pandangannya kosong dan punya maksud kesedihan yang tak terungkap, atau mungkin juga yang tidak dapat ditebus dengan apa pun.

"Life cannot be lived without some regrets"

Secara literalnya mungkin bermaksud begini, "Kehidupan tidak dapat dijalani tanpa sedikit penyesalan." Ertinya, tidak mungkin kita jalani hidup ini tanpa sebarang penyesalan dalam apa jua peristiwa yang telah kita alami.

Saya kira itu tepat, bukan ?


Betapa banyak kekesalan yang kita tanggung dan tidak tertebus. Kita hanya mampu berdamai tanpa melunaskan 'hutang perasaan' yang tidak 'berbayar'.

Pada diri saya sendiri bahkan begitu banyak kekesalan. Ada yang terubat di peredaran masa. Namun, ada yang kekal menjadi 'kenapa aku berbuat begitu?' dalam hidup saya.

Pelajaran.

Pekerjaan.

Hubungan kekeluargaan.

Hubungan cinta.

Keputusan kemajuan hidup. 

Setiap satu daripada perkara ini ada kekesalan yang saya tanggung dan tidak mampu saya tebus. Saya tahu sebagai Muslim, nabi kita telah mengajar supaya jangan berkalau-kalau dengan takdir, kerana ia boleh mendatangkan rasa putus asa dengan rahmat Tuhan. Namun, sebagai manusia biasa yang penuh dengan kekurangan, ia tidak dapat dielakkan. Kerana itu, apa yang tinggal hanyalah memohon ampun kepada Tuhan atas perasaan yang tidak terluah itu.

Hidup dengan penyesalan ini sekurang-kurangnya membuatkan kita sedar akan satu perkara - jiwa kita ini hakikatnya juga dalam jagaan Tuhan. Dia Maha Mengetahui akan segala yang kita kalutkan. Beruntung juga kita punya suatu yang tidak terbayar dengan apa pun harta dunia iaitu iman. Kerana iman, meski kita punya kekesalan namun kita masih waras dalam menanggapi hidup ini. Kita mungkin mencari salah, tetapi tidaklah sampai menyalahkan Tuhan.

Kita tahu bahawa Tuhan menetapkan takdir bukan ikut suka nafsu kita, tetapi atas kebijaksanaanNya. Tuhan tidak akan membawa kita ke lembah kehancuran melainkan kita punya 'free will' untuk menentukan. Dengan 'free will' inilah kita memerlukan iman supaya kita tidak memilih sesuatu yang bersalahan dengan hukum Tuhan. Namun, Tuhan beri juga pada kita suatu yang namanya nafsu. Kebanyakan manusia menjadi hamba kepada nafsunya kerana dia gagal mengurus nafsunya sendiri menurut apa yang Tuhan mahu. Kerana itu, adanya taubat dan penyesalan.

Nafsu itu perlu untuk keterujaan dan semangat dalam menjalani kehidupan. Hatta beribadah juga perlukan nafsu supaya semangat beribadah sentiasa ada. Namun, ia perlu dipandu dengan iman supaya kita tidak melampaui batas normal dalam apa jua keadaan.

Akhir kata, kita semua punya penyesalan. Ada kalanya kita menyesal dahulu. Ada ketikanya kita menyesal kemudian. Kesemuanya itu adalah sebahagian daripada kehidupan. Maka hadapilah ia dengan penuh rasa kehambaan. Barulah kita tidak meletak ego sebagai pilihan untuk menghadapi hari kemudian. Ego akan membentuk kesombongan dan kita tidak akan dapat memaafkan sesiapa pun, bahkan diri kita sendiri. Sebelum hati kita mati dengan kesombongan, eloklah segera dibuang dan diganti dengan nilai keredhaan kepada takdir Tuhan...


HADIS, SALAM BAITULLAH DAN SEORANG USTAZ

Saya bukan ahli hadis, pakar hadis mahupun pelajar jurusan ilmu hadis di mana-mana universiti tempatan mahupun luar negara. Namun, saya tahu satu hakikat - Merujuk hadis bukan satu kerja yang mudah. Dulu-dulu, saya rajin juga berkongsi hadis itu-ini di dalam blog saya untuk saya gunakan sebagai hujah. Namun, pembacaan demi pembacaan serta penerangan demi penerangan dari orang yang alim dalam ilmu hadis, saya jadi takut dan cukup berhati-hati dalam hal yang melibatkan hadis. Hal ini kerana kalau saya tersalah petik dan saya gunakan sebagai hujah untuk perkara berkaitan agama, haru-biru jadinya. Dan perkara inilah yang menimpa seorang pendakwah selebriti (saya gunakan perkataan selebriti di sini kerana beliau membawa pendekatan popular dari sudut penampilan dan cara berhubung dengan masyarakat) iaitu Don Daniyal Don Biyajid.

Gambar hakmilik Harian Metro

Kalau yang baru ikut perkembangan Ustaz Don kita, isu yang paling popular sekarang ini ialah mengenai beliau yang bercerita tentang riwayat hidup Nabi Muhammad S.A.W. dan seorang wanita bernama Ummu Hani. Kerana bertubi-tubi asakan orang yang meminta beliau kemukakan kitab yang beliau rujuk namun beliau enggan, beliau terpaksa direhatkan sementara daripada program kendaliannya yang sedang hangat iaitu Salam Baitullah kerana RTM tidak mahu terjebak sama dalam pertembungan fikrah yang mengundang kontroversi. Namun begitu, pihak RTM dan JAKIM tetap berjumpa dengan beliau dan beberapa perbincangan telah memuktamadkan persefahaman di antara beliau dan pihak penerbitan, jadi tugas beliau disambung semula. Rasanya selesai dah ni. 

Namun, lagi sekali beliau mengundang kontroversi apabila beliau memetik satu kata-kata yang bagi saya semacam satu bentuk 'ganjaran yang dinyatakan secara berlebih-lebihan'. Dan hal itu adalah salah satu cara yang digariskan ulama dalam usaha hendak mengenal hadis palsu iaitu berlebih-lebihan dalam menghukum dosa dan berlebih-lebihan pula dalam mengganjari pahala untuk amal yang secara relatifnya ciput je impaknya kepada diri. Hal ini sebagai panduan, tapi kalau memang hadis tersebut sememangnya terbukti sahih, maka sahihlah ia tanpa keraguan lagi.

Kesan daripada kata-kata beliau di dalam program Salam Baitullah itu buat kali kedua, beliau akhirnya direhatkan terus daripada program tersebut. Penerbit Salam Baitullah pada hemat saya tentulah berpegang kepada pisang takkan berbuah dua kali. Jadi keputusan itu diambil. Dan percayalah, perkara ini akan berpanjangan sampai hujung tahun ini. Hehehehe.


Salam Baitullah ni asalnya program biasa-biasa sahaja yang diterbitkan RTM untuk mengiringi bulan Zulhijah sebagai pengisian untuk kita mengetahui tentang pergerakan jemaah haji di tanah suci serta perkongsian ilmu oleh para asatizah yang dijemput untuk menghurai atau menjawab salah faham tentang ibadah haji. Lama dah program ni. Tak ramai orang peduli pun. Namun, reformasi yang dijalankan oleh pihak RTM dengan penajaan yang mantap menjadikan program ini semakin berseri, ditambah pula dengan kehadiran pengacaranya yang saya boleh katakan sangat popular lantaran penglibatan beliau di dalam program Hijrah Berselawat di TV Al-Hijrah yang menampilkan kumpulan nasyid yang bernasyid dan berqasidah. Sebelum itu, beliau pun dah terkenal melalui program 30 Minit Bersama Ustaz Don (ada pula netizen yang ketemukan satu kajian tenang isi kandungan rancangan ini yang menggunakan hadis lemah sebagai dalil). Jadi, tak hairanlah 'rating' program ini mencanak naik untuk beberapa tahun ini. Pengaruhnya tak dapat dinafikan. Jadi, saya boleh andaikan yang Ustaz Don juga seronok dan 'excited' kerana pengaruhnya digunakan dengan baik untuk sebuah program yang suam-suam kuku pada asalnya. Kita beri kredit jugalah pada beliau atas perkara itu.



Pun begitu, RTM ada garis panduan. Dimaklumkan bahawa beliau telah dinasihati supaya tumpukan pada tugas sebagai pengacara dengan sedaya upaya mencungkil info atau maklumat tentang ibadah haji daripada asatizah yang dijemput. Dalam erti kata lain, jangan berpanjang lebar mengalahkan ustaz yang dijemput pulak. Itu yang terkeluar kata-kata melihat wajah guru lebih utama tu. Hal ini berlaku selepas peringatan pertama diberikan kepada beliau. 

Mungkin anda menempelak RTM yang 'menyingkirkan' Ustaz Don. Tapi dalam beberapa keadaan, RTM juga perlu praktikal dan menjaga statusnya untuk tidak terjebak dalam 'pertelingkahan' yang melibatkan urusan agama, lebih-lebih lagi pengajian hadis. Dan Ustaz Don bukan kakitangan RTM, jadi tak ada isu RTM jahat ke apa. Mana-mana pihak yang gagal ikut garis panduan yang ditetapkan, anda kenalah berundur diri. Buatlah podcast sendiri dan ceritalah apa yang anda nak cerita, dan tunggulah orang datang untuk menghentam atau menyokong anda. Itulah realiti dunia penyiaran zaman sekarang.

Dan, agak malang jugalah di negara kita ini kerana yang lebih sudu dari kuah itu adalah penyokongnya, bukan tuan punya badan pun. 

Jadi, kepada anda yang belum sempat menonton Salam Baitullah, tontonlah. Jawab kuiz, mana tahu boleh dapat tajaan umrah. Hihihi...

P/s: Kalau orang yang berpendidikan agama juga boleh melakukan kesilapan seperti ini, inikan pula kita orang-orang awam. Jadi jangan poyo sangat dan rasa kita tahu semua benda. Ambil iktibar dan carilah ilmu dari yang hak.



Khamis, 6 Jun 2024

80 TAHUN, BAYI COMEL DAN KISAH NABI-NABI

Ahh... lama tak menyinggah blog sendiri. Tak elok dibiarkan medan meluahkan rasa 'bersawang' tanpa fikrah, ya tak ? Yalah saya bukanlah seorang pemikir agung, namun saya juga berhak berfikir dan menterjemahkan fikiran saya dalam bentuk tulisan sebegini.

Di mana saya hendak mulakan ? Oh ya, mari kita bercerita tentang seorang suami berumur 80 tahun yang baru sahaja menimang cahaya. Di bawah adalah laporan daripada Berita Harian:

KEPALA BATAS: "Memang tak sangka dapat anak dalam usia begini, tapi bukan sebab saya 'kuat', Allah SWT yang berkuasa. Lahirnya anak saya pun atas kurniaan dan kehendakNya," kata pesara FELDA, Yob Ahmad yang dapat menimang cahaya mata pada usia 80 tahun. 

Bayi perempuan diberi nama Nur itu dilahirkan pada 31 Mei lalu dan anak hasil perkahwinan dengan Zaleha Zainul Abidin, 42. 

Berkongsi kisahnya, Yob berkata, dia tidak terlalu memikirkan soal anak kerana sedar keadaan dirinya yang sudah lanjut usia malah sudah mempunyai empat anak hasil perkahwinan terdahulu. "Saya berserah kepada Allah SWT kerana hanya mampu usaha, selebihnya kehendak Dia, kehendakNya kita tak ada daya nak halang.

"Tapi bila Allah SWT izinkan isteri mengandung sampai dapat anak, saya bersyukur sangat serta anggap satu rezeki. "Saya harap anak membesar dengan sihat jadi insan yang solehah, itu saja" katanya ketika dihubungi Harian Metro. 

Ditanya rahsianya kekal sihat, Yob berkata, dia jarang bersenam namun ada mengamalkan pengambilan herba. "Itu saja, makan dan tidur pun tak sangat kerana pada malam hari pun, saya tak lena (tidur) sangat kerana lagi suka habiskan masa dengan berzikir," katanya yang mempunyai tujuh cucu.

Sementara itu, isterinya, Zaleha berkata, dia dan suaminya tidak pernah membincangkan soal zuriat walaupun sudah 10 tahun berumah tangga. 

Zaleha berkata, dia juga tidak terlalu mengharap kerana sedar faktor umur mungkin menjadi halangan untuk mendapatkan zuriat. "Saya pernah hamil lima tahun lalu tetapi tak ada rezeki selepas mengalami keguguran. Tapi bila dapat tahu hamil lagi waktu kandungan hampir tiga bulan, memang terkejut dan macam tak percaya kerana ingatkan sudah menopaus. 

"Dalam erti kata lain, saya ingatkan tak boleh mengandung lagi sampai nak berangan pun tak memikirkan soal umur. 

"Tapi ini yang dinamakan rezeki, syukur sangat malah anak saya dan suami yang sudah besar pun teruja kerana sudah lama tak dapat adik," katanya yang mempunyai tiga anak berumur 12,14 dan 16 tahun hasil perkahwinan terdahulu. 

Berhubung perkongsian di TikTok, Zaleha berkata, niatnya berkongsi sekadar dijadikan kenangan dan terkejut apabila videonya tular memandangkan tidak mempunyai ramai pengikut di platform berkenaan. 

"Ramai yang beri komen positif, kebanyakannya daripada mereka yang belum ada anak malah ada juga kongsi kisah ibu mereka bersalin pada usia 50 an. 

"Ada satu dua saja kecam ingatkan cucu dan bukannya anak tapi saya terima saja kerana selama ini hanya berserah kepada Allah SWT dalam soal rezeki. 

"Setakat mana Allah SWT nak bagi, saya terima dan berharap perkongsian saya itu menyuntik semangat orang di luar sana supaya tidak berputus asa walaupun belum dikurniakan zuriat. 

"Terima kasih kepada yang mendoakan dan berharap doa yang baik juga berbalik kepada mereka," katanya yang masih berada di Hospital Kepala Batas, di sini. - BERITA HARIAN

REZEKI dari ALLAH. Kena ingat hakikat itu. Kalau Allah nak memberi rezeki, tak ada satu benda di dunia ini yang dapat menghalangnya kerana rezeki itu mutlak daripadaNya. Saya percaya tentu ada yang mempertikaikan kemampuan pak cik ini (saya kira lebih tepat atuk kerana usianya memang lanjut benar) untuk menjaga bayi kecilnya itu. Apa kau susah ? Bukan dia mintak kau yang jaga pun. 

Peristiwa menggembirakan ini mengingatkan saya pada kisah Nabi Zakaria AS yang menimang cahaya mata pada usianya yang telah lanjut. Meskipun baginda adalah seorang nabi, namun Allah tetap menguji keimanannya dengan lambat memperoleh zuriat sedangkan di zamannya itu, memiliki zuriat (terutamanya lelaki) adalah hal yang sangat besar untuk dibangga-banggakan.

Tapi Allah Maha Merancang, di usia tuanya pula baru dikurniakan zuriat, iaitu Yahya AS yang juga akhirnya diangkat Allah menjadi seorang nabi. 

Hal yang sama juga berlaku kepada Nabi Ibrahim AS yang menimang zuriatnya yang mulia iaitu Nabi Ismail AS juga pada usia yang sudah lanjut. Ditakdirkan Allah SWT, anaknya juga diangkat menjadi nabi yang mulia yang darinya lahirlah penamat segala nabi dan rasul iaitu Nabi Muhammad SAW.

Jadi, kita perlu raikan rezeki yang dikurniakan Allah kepada pak cik ini dengan mengucapkan tahmid dan mendoakan kemurahan rezeki buat seluruh keluarganya. Jangan difikirkan sangat tentang kudratnya yang tua itu kerana semuanya boleh berjalan dengan baik atas IZIN ALLAH. Itu hal yang pasti.

Dan percayalah, perkara yang dilalui atuk ini sememangnya menjadi impian kepada semua pasangan di luar sana yang masih menunggu zuriat untuk tumbuh sihat di dalam rahim seorang ibu dan lahir menjadi seorang bayi yang comel dan penuh dengan cahaya kegembiraan. Semoga anda semua dikurniakan rezeki tersebut tidak lama lagi...