Khamis, 2 Oktober 2025

FLOTILLA - KEMANUSIAAN YANG TERHALANG


Orang-orang yang merentas lautan jauh itu demi untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke Palestin adalah orang-orang yang berani. Kita berhenti sejenak bercakap tentang ceritera mereka di tanah air, tetapi kita fikirkan keberanian mereka memilih untuk menghadapi kesukaran itu, sedangkan mereka boleh memilih untuk berada di sini, di bawah payung keamanan yang utuh dan mengirim belanja sahaja.

Tetapi.

Mereka mahu merasa jalan mujahadah. Jalan yang sukar untuk merasa rahmat Tuhan pada sebuah kehidupan nan sekejap.

Beberapa nama yang terkenal dari tanah air kita sentiasa menghantar kemaskini perjalanan mereka melalui media sosial dan mengharapkan kita bersama-sama berdoa untuk kejayaan mereka, sedangkan kita dan mereka juga tahu bahawa kejayaan itu sukar untuk menjadi realiti. Entah kenapa, bahkan kita rasa bahawa perjalanan ini pun Tuhan tidak akan memudahkan. 


Perjalanan kapal-kapal mereka telah dipintas, malah telah ada isi kapal yang telah ditahan oleh tentera Zionis laknatullah. Mereka menahan rakyat kita, orang Malaysia dan rakyat negara-negara lain yang ikut sama di dalam misi ini.

Penahanan ini mengingatkan saya misi flotilla satu ketika dahulu sekitar tahun 2009-2010 di mana skop laser senapang Zionis telah ditala tepat ke dahi salah seorang peserta misi ketika itu. Pengalaman itu diceritakan kepada kami ketika mereka mengadakan ceramah di Masjis Sultan Ismail UTM.

Bayangkan, yang tinggal hanyalah kiraan detik sebelum peluru menembusi kepala kita. Dia peduli apa, dia boleh buat kalau dia mahu buat.

Tetapi.

Kita diajar untuk tidak berputus asa dengan rahmat Tuhan. Setiap satu yang berlaku itu pasti ada rahmat dan belas di dalamnya. Apatah lagi yang sedang diusahakan adalah untuk membantu manusia yang tertindas, di sebuah bumi yang menyaksikan kesakitan dan kepayahan yang tidak pernah padam semenjak berlakunya perjanjian pengkhianatan paling celaka itu.



Kata nenek moyang kita, ibarat melepaskan anjing tersepit. Begitulah Zionis laknatullah memainkan skrip hidup mereka. Sehingga kini, Palestin tidak menunjukkan tanda-tanda akan kembali reda, kerana memang mereka mahu menghancurkan terus negara itu dan mendirikan negara haram mereka dengan darah dan air mata bangsa yang tidak berdaya.

Meski kita tahu bahawa ranapnya Palestin adalah petanda munculnya Imam Mahdi, namun untuk membiarkan kehancuran itu berlaku bukanlah sesuatu yang kita mahu lakukan. Resmi manusia, kalau ditindas akan bangkit melawan. Dunia sedang melawan, meski suara kita sumbang kerana veto celaka si US menghalang segala, namun sedikit demi sedikit, nama mereka semakin kotor dan hitam.

Dan kita tahu, hari di mana setiap satu makhluk Tuhan yang wujud di tanah itu akan berkata, "Di belakangku ada si Yahudi!" pasti akan hadir...